Rabu, September 15, 2010

Kodak ISO 100 (12)

Dalam perjalanan hendak membuang kotak filem yang aku baru isi ke dalam kamera, aku berhenti. Setelah 5 hari terperap di dalam bilik, petang tadi aku keluar menaiki Jobot-ku bagi menghidupkan kembali kamera Hi Matic G aku yang sudah bertahun-tahun terperap. Aku ke kedai hardware beli sebutir bateri LR44 dengan harga RM4, kemudian menyeberang jalan ke kedai gambar yang tak pernah aku sedari kewujudannya selama ini. Aku tidak expect C41 ataupun Portra, cukup sekadar filem konsumer biasa. Dalam hati, aku mahu ISO 100 (12), cukup sekadar aku hidupkan kamera ini dengan 12 keping gambar. Tiba di kaunter, yang kelihatan hanya ada dua jenis filem iaitu Kodak ISO 400 (36) dan ISO 100 (12). Yang 36 sekadar ada 2-3 kotak sahaja manakala yang 12 ada berpuluh-puluh kotak. Tuan kedai, merangkap seorang apek dalam lingkungan usia 50-an yang sedang duduk membaca surat khabar, datang berdiri di hadapan aku. Aku meletakkan jari telunjuk aku ke atas permukaan cermin kaunter. Di bawahnya kelihatan Kodak ISO 100 (12). Apek itu lantas berkata, “Oh yang ni tarak jual, sudah expired la, ini saja ada,” sambil menunjuk ke arah Kodak ISO 400 (36). Aku angguk tanda setuju sambil menunjukkan angka satu dengan jari telunjuk. “Sebelas ringgit sembilan—sebelas saja-lah,” kata apek itu. Sebelum sempat berjalan keluar aku ternampak sebuah rak kaca di belakang apek itu. Di dalamnya tersusun beratus-ratus kotak Kodak ISO 100 (12). Aku pasti semua filem-filem itu sudah expired sekadar dijadikan ornament. Aku tidak expect semua ini. Apek itu sambung duduk membaca surat khabarnya, perasaan aku pula yang tidak nyaman. Apalah nasib kedai gambar ini di dunia serba digital kini. Tiba-tiba bertalu-talu memori-memori lama kedai-kedai gambar yang pernah aku terokai meresapi jiwaku. Saat aku berbedak dan berminyak rambut bagi foto saiz passport untuk I.C aku semasa di darjah enam, foto passport bagi lesen-lesen L, P dan penuh, bagi borang-borang masuk U(-U), bagi borang-borang minta kerja(-kerja), saat aku berpapan selaju, saat aku bersubjek fotografi, saat aku dihadiahi kamera pertama serta dan dan dan. Aku patah balik ke bilik tidak jadi buang kotak filem itu.


Ridhwan Saidi