Jumaat, Julai 30, 2010

Dilema Panggung (2010)

Satu-satunya perkara baik yang saya perasan daripada filem Dilema Panggung ini adalah look filem ini yang saya rasakan sesuai ditayangkan di kaca televisyen. Saya jarang-jarang tonton televisyen (entahlah) tapi yang pasti, jika filem ini dipancarkan pada layar melalui projektor, it's not worth it. Nilai sinematiknya sifar, unlike Aku, Dia dan Tong Sampah yang sekurang-kurangnya ada dua atau tiga frame imej yang mempunyai kualiti sinema, yang ini tidak. 

Masalah terbesar yang dihadapi oleh filem ini adalah susunan bagaimana ia digarap. Serius filem ini nampak seperti ada hujung dan pangkal, tetapi sebenarnya takde hujung dan pangkal pun. Sepanjang filem ini berlangsung, saya (dan saya syak semua audiens kecuali mereka yang terlibat) tak dapat engage dengan filem ini, karakter-karakter diperkenalkan secara semberono, tempo filem 'thriller' ini tidak dikawal, malah filem ini tidak bernafas. Filem genre thriller seharusnya memanipulasi nafas audiens, jika tidak saya hanya mampu gelak setiap kali karakter manusia bertopeng lakonan Sofi Jikan itu muncul, lawak gila.

Dengan susunan yang maha terrible ini, pelakon-pelakon berbakat yang ada potensi untuk pergi jauh for god's sake kelihatan seperti badut. Samada susunan ini berlaku semasa suntingan atau lakonlayar itu saya tidak mahu ambil tahu. Jika TMBF pakar filem genre tengok filem ini, sah kena sumpah seranah, jika Fadz & geng pakar filem seram tengok filem ini sah kena hambur. 

Filem ini diklaim oleh pembikinnya sebagai jenis filem pertama di Malaysia ("Belum ada lagi filem macam Dilema Panggung ini kat Malaysia"), filem yang diwar-warkan membawa dimensi baru. I don't get it, tak faham. Filem ini berlandaskan skema Blok 404 dengan sedikit sentuhan Gadoh (Mislina sebagai cikgu beri kata-kata semangat kepada anak murid tu), cuma kedua-dua filem ini (Blok 404 & Gadoh) stay true kepada formula genre. Ia takkan jadi filem yang hebat tapi sekurang-kurangnya ok, ianya mesra audiens. Berbeza dengan filem Dilema Panggung ini yang diklaim oleh Yusof Haslam sebagai filem seni. "This is art film" bak katanya seraya menceritakan hal ehwal Syamsul.

Filem ini adalah sebuah filem yang keliru, sebagai filem seni ianya kantoi, tiada apa yang seninya. Filem ini sebenarnya lebih berkiblatkan genre thriller yang komersial. Cuma mereka tidak faham makna 'nilai'. Komersialisme ada nilai, seni pun ada nilai, semestinya dua-duanya dinilai dalam bentuk yang berbeza. Dalam kes ini, perletakan nilai mereka kepada komersialisme begitu juling. Ketika sesi diskusi mereka labelkan pelakon seperti Mislina, Sofi Jikan dan Aziz Satar sebagai 'komersial'. Kemudian mereka menambah bahawa filem ini juga mempunyai unsur-unsur teater bangsawan yang juga komersial. Err... pelakon-pelakon tersebut dan teater bangsawan tiada nilai komersial dik. Perkara yang fundamental ini pun sudah salah, apatah lagi garapan yang mereka sangka 'komersial' tadi, iaitu satu bentuk kenaifan yang berlarutan.

Reviu: Utusan


Ridhwan Saidi