Selasa, Mei 18, 2010

Filem Budak Melayu

Chungking Express (1994) merupakan filem kedua Wong Kar Wai yang saya tonton, sebelum itu saya pernah tonton In the Mood for Love (2000) beberapa tahun dulu. Saya beli DVD In the Mood for Love ini di kedai Speedy Video, yang entah di dalam kompleks apa. Saya suka filem ini – malah saya pernah bawa DVD ini ke Jertih untuk dipertontonkan kepada arwah Jimmy – tapi... tidak sehingga Chungking Express yang merupakan filem paling romantik pernah saya tonton.

Di dalam dunia akademik perfileman tempatan, nama Wong Kar Wai ini lebih kerap saya dengari. Ada yang bersuara mengatakan bahawa filem pendek Sinkronis (2009) arahan Jaja Kadir tak ubah seperti In the Mood For Love, selain itu RonaMaya (2010) oleh Muz Amer juga katanya banyak mempunyai pengaruh Wong Kar Wai. Ianya tidak salah jika sesebuah karya itu menyerupai karya orang lain, bak kata pepatah:
"Imitation is a form of flattery."
Setelah menonton kedua filem Wong Kar Wai ini, saya dapat tangkap gaya kepengarahan mamat daripada Hong Kong ini. Dan setelah menonton kedua-dua filem pendek Sinkronis dan Ronamaya itu, berani saya kata ia tidak ada jiwa filem-filem Wong Kar Wai pun. Falsafah mamat bernama Wong Kar Wai ini jika ditolak ketepi, masih tinggal gaya sinematografi Christopher Doyle. 

Gaya sinematografi Christopher Doyle yang begitu rock and roll, jazzy, free-form, dan iconoclastic ini tak terdaya diluah dan dituaikan oleh fikrah yang skema. Percayalah, ini bukan atas dasar cemburu, bak kata pepatah:
"Criticism is a form of jealousy."
Ianya seolah makan roti tempayan dan satar, kedua-duanya mempunyai citarasa yang jauh nun berbeza. Apa kejadahnya nak cemburu?!

Karya pelajar terakhir yang saya tonton pula adalah sebuah filem cereka Aku, Dia dan Tong Sampah (2010) oleh Azri Abu Hassan. Asalnya saya mahu ulas seperti ini, 
"Aku, Dia dan Tong Sampah ternyata berada di dalam kelasnya yang tersendiri... iaitu di dalam tong sampah."
Tapi oleh kerana ini filem pelajar, lebih adil jika saya berikan ulasan yang lebih ekstensif, ada sebab musabab sepertimana yang pernah saya tulis untuk 3 Budak Melayu (2009), Kalut (2009), Along & Kak Long (2009), dan tidak lama lagi Dilema Panggung.

Separuh masa pertama, filem ini benar-benar bosan. Lakonan, muzik, imej, pendek kata semua-lah. Saya tak terdaya melihat ke arah skrin langsung. Ia membuatkan saya sedar yang ruang di dalam Pawagam Mini P.Ramlee itu tiada lampu di kawasan tangga penontonnya. Ini amat merbahaya dan kalau tak silap saya, salah dari segi UBBL. Semasa tayangan filem-filem Riri Riza beberapa tahun sudah saya sudah perasan, tapi entah mengapa, saya buat-buat perasan sekali lagi pada ketika itu.

Filem ini jika dilihat secara keseluruhannya, ia tiada konsistensi dan hala tuju. Tiada hala tuju satu hal, dipersembahkan dengan gaya yang tidak menarik lagi satu hal. Gabungkan kedua-dua ini, maka terhasillah total ennui.

Filem ini jelas cuba mengambil semangat Yasmin Ahmad yang mengambil semangat Yasujiro Ozu. Saya boleh terima ini, tetapi uniknya ia disemai dengan gaya suntingan yang over the top, menonjol-nonjol. Ini bercanggah dengan idea kesederhanaan filem itu, ianya bloody janggal!

Pabila Yasmin Ahmad dijadikan rujukan, tidak lengkap jika kedua karakter utama yang tak kenal di antara satu sama lain itu, terus rapat dan keluar makan bersama tanpa sebarang rasa curiga. Babak paling magis adalah ketika di hadapan rumah makwe, di mana si hero menunggu untuk berjumpa. Tiba-tiba kelihatan makwe itu bertelekung baru balik dari solat Subuh di surau. Walao weh.

Seperti biasa unsur Melayu pasti cuba disiram di sepanjang filem ini. Antara babak romantik dalam filem ini adalah ketika kedua-dua pelakon utama itu menari bersama. Mula-mula pasangan antagonis menari berlatarkan lagu moden, tapi pasal mamat hero ini berjiwa Melayu, mereka pun menari Zapin. Saya rasa babak tarian dalam filem Hang Jebat (1956) yang digarap 54 tahun dulu lagi menarik daripada yang ini. Malah Kemelayuan di dalam ADTS ini cukup pura-pura sifatnya – seperti jenis tarian yang mahu dipersembahkan kepada pelancong asing. Filem-filem Mansur Puteh, Mamat Khalid dan Uwei Saari tak perlu ada babak tarian tradisional pun, tapi semangat Melayu itu menular.

Oh ya, seperkara yang benar-benar membezakan filem ini dengan filem-filem lain adalah "quote" di akhir filem ini (dengan nada Forrest Gump) yang berbunyi, 
"Dunia ini ibarat sebuah tong sampah yang besar. Di dalamnya ada manusia-manusia, dan kita-lah sampah-sampah itu."
Selama ini saya sangkakan quotation daripada siri filem Twilight saja yang kelakar, tetapi ini... ini betul-betul genius.


Ridhwan Saidi