Ahad, Ogos 23, 2009

Merayakan Bandaraya

Anda berjalan ke hulur ke hilir, mungkin berlari-lari riang, ke luar masuk pasaraya, melepak di warung mamak, turun-naik bas, berkaraoke, menari-nari, berteriak, ketawa lucu, berborak, bertepuk-tampar, bercengkerama, di perut kota. Semua perilaku ini membuatkan anda semua mudah perasan yang anda adalah sebahagian dari ‘warga kota.’ Tapi tidakkah anda sedari, watak anda dalam kota ini hanyalah seperti watak tempelan dalam sebuah produksi mega filem Hollywood? Selagi anda bukan seorang towkay besar, watak anda hanyalah sebagai alat produksi dan pengunyah produksi. Atas hakikat itu, anda tidak lagi bergelar ‘manusia’, sebaliknya ‘alien’. Apa lagi peranan anda dalam sesebuah kota? Adakah anda yang mengaku ‘urbanis’ bebas sebebas-bebasnya bergerak dan bertindak? Apakah anda bebas melampiaskan emosi dan imaginasi ketika berada dalam kota kesayangan anda? Apakah anda fikir ruang awam dalam kawasan urban itu milik anda, seorang individu yang memegang watak sebagai ‘orang awam’ yang dijamin hak autonominya?

Anda semua wajar sedia maklum bahawa kota yang anda sayangi, yang saya maksudkan – Kuala Lumpur – sedang mengalami kepupusan ruang awam. Sebelum itu, perlu saya beritahu ‘ruang awam’ yang saya ertikan ini bukannya ‘ruang awam’ gagasan Karl Popper tau, walaupun kata orang, carik-carik bulu ayam, lama-lama bertemu jua. Peristiwa 1 Ogos lalu memperlihatkan secara jelas bahawa ruang-ruang dalam bandaraya KL rata-rata telah dimonopoli secara rakus oleh golongan pemodal. Jangan anda cepat perasan, bahawa ketika anda menyeret masuk kaki ke Pavilion maha-mega itu, kaki anda telah menjejaki ruang awam. Tidak, itu hanya ilusi! Pada hakikatnya, ruang Pavilion itu adalah milik pihak swasta yang memakai lencana ‘kapitalis’. Sampai masanya, ia akan ditutup dan anda semestinya tak dibenarkan masuk apa lagi bebas bergerak di dalamnya. Anda hanya pendatang yang memakai tag ‘bakal pembeli’.

Tapi anda tetap tak dibenarkan tidur berkeruh di dalamnya selepas pukul 10 malam. Untuk masuk semula menikmati pendingin beku bagi menafikan bahang kepanasan tropikal di luar, tunggulah tuan punya Pavilion membukanya semula pada keesokan hari, jam 10 pagi. Selama kurang lebih 12 jam, berbekalkan bantuan cahaya artifisial dan pendingin beku, program jual beli berlangsung dengan tempoh masa yang agak lama diiringi 1001 harapan agar keuntungan dapat dilipat-gandakan. Ini bermakna, ruang awam seperti di Pavilion yang direka oleh arkitek sebenarnya berfungsi sebagai tapak produksi budaya konsumer kapitalisme. Ia tempat urus niaga, di mana konsumerisme diraikan dan untung-rugi silih berganti. Dengan modal yang besar, ‘ruang awam’ di pusat membeli-belah itu sengaja direka seluas mungkin, bukan sekadar untuk ‘keselesaan pengunjung’, tapi juga sebagai simbolik keuntungan tuan punya gedung. Mitosnya, semakin luasnya ruang itu, makin banyaklah untung yang berjaya dikaut. Ia tanda kesuburan bisnes. Sama juga dengan pintu masuk utamanya yang kelihatan sangat grand itu, yang seolah-olah cuba menyedut sesiapa saja yang lalu berdekatan dengannya. Lagi luas ruang masuk itu, makin berguni-gunilah untung yang bakal dipikul.

Bezanya, lihat berapa banyak gedung membeli-belah yang ‘old school’ di sekitar Kuala Lumpur, Kompleks Campbell misalnya, yang semakin kesempitan pengunjung, sesempit ruang koridor dalamannya. Kelangsungan kompleks membeli-belah seperti itu selalunya diselamatkan oleh produk-produk perniagaan yang kurang perisa ‘pop’, yang mungkin juga bersifat ‘anti-pop’ seperti kedai-kedai barangan sukan, jahitan, bundle dan muzik bingit. Jadi buat golongan yang kurang peduli dengan kerancakan budaya pop konsumerisme, mereka memanfaatkan Kompleks Campbell sebagai ‘ruang awam’ mereka. Dengan ruang yang relatif jauh lebih kecil berbanding gedung seperti Pavilion, tak cukup banyak produk yang dapat diniagakan. Lebih-lebih lagi jika produk yang ingin diniagakan itu adalah berjenama hebat kerana mitos barangan hebat perlu dipamer di balik dinding kaca dalam sebuah ruang yang gempak lagi indah. Pengunjung pula secara emosinya sukakan ruang-ruang yang lebih luas dan selesa untuk berbelanja sambil ditemani muzik bukan klasik nasional.

Sama seperti produksi filem konvensional, urbanisasi juga memiliki watak-watak utama seperti hero dan heroin. Hero sebenar dalam sesebuah bandar ialah para pemodal. Mereka inilah golongan yang menyusun naratif dalam sesebuah bandar yang bernuansa kapitalisme. Tempang-nya pemodal, tempang-lah bandar itu. Selain dipagari undang-undang awam, bandar produksi kapitalisme yang anda diami atau lawati juga telah memagari ruang awam dengan binaan bangunan yang tak relevan dengan anda sekiranya anda tidak berduit. Jadi, sesetengah ruang awam yang grand telah terbatas kepada manusia yang berpoket tebal sahaja. Jika anda tetap mahu menerobos masuk ke ruang itu, silap hari bulan anda akan dianggap sebagai tetamu yang tak diundang.

Bandar ini juga menjadi terlalu ‘keras’ akibat segala tindak-tanduk penghuni/pelawat-nya dibatasi oleh unsur rasionaliti yang melampau. Sebagai contoh, anda tidak lagi bebas bergerak sewenang-wenang di taman bunga jam 2 pagi lantaran berpotensi menjadi ‘kambing hitam’ pihak berkuasa tempatan mahupun swasta yang ditugaskan menjaga kawasan itu seandainya berlaku kejadian jenayah. Atau, anda mungkin disergah oleh pegawai moral. Anda juga tak bebas merayau-rayau atau melepak di kawasan bangunan swasta pada waktu sebegitu kerana akan datang seorang dua ‘pak guard’ tua untuk menghalau anda pergi dari situ. Sama juga betapa rasionalnya yang anda perlu berambus keluar dari Pavilion selepas jam 10 malam, lebih kurang. Tapi cuba anda bayangkan sekiranya yang ditutup di kompleks itu hanya butik-butiknya saja, tapi membiarkan ruang dalaman yang lain seperti koridor, tandas dan lobi terbuka untuk pelawat, sambil disinari dengan pancahayaan artifisial yang paling minimal. Paling tidak, idea itu mendekatkan Pavilion dengan konsep ruang awam yang sebenar. Takpun, ketengahkan terus konsep ‘bazar’ atau ‘lorong’, seperti yang terdapat di Pavilion sendiri, iaitu ruang yang memisahkan antara blok utama yang menempatkan butik dengan blok sayap yang menempatkan pawagam GSC.

Nampak tak, ruang yang pada mulanya bersifat ‘awam’ itu telah menjadi ‘peribadi.’ Autonomi ruang itu telah ditentukan oleh kuasa modal. Tapi yang munafiknya, pada siang keesokan harinya, bangunan itu akan secara tiba-tiba berubah menjadi ruang awam yang boleh dihinggap oleh orang ramai. Maka secara tak langsung bandar seperti ini telah menjarakkan lagi keharmonian antara ruang awam dan peribadi dan kesannya bandar yang berat sebelah ini bakal mengeluarkan ‘sisa kumbahan’ kapitalisme yang terdiri daripada para samseng, pembunuh, pencopet, perompak, peragut, perogol, pencabul, penagih, peminta sedekah, dll.

Satu lagi bukti saheh, tanggal 1 Ogos lalu turut menyaksikan Kompleks Sogo ditutup. Mengapa ia ditutup rapat sedangkan selalunya ia berpura-pura sebagai bangunan yang boleh dimasuki oleh ramai orang? Sebabnya, peristiwa hari itu akan menjejaskan proses meraih keuntungan tuan punya gedung. Jadi orang ramai telah diperangkap oleh pihak berkuasa dan pemodal sekiranya cuba menggugat kestabilan mereka. Orang ramai ketiadaan tempat berlindung dari tembakan gas pemedih mata dan hujan asid. Hak orang ramai yang ingin mendapatkan perlindungan di dalamnya telah dinafikan. Kita lihat ya, betapa penguasa sering kali bersekongkol dengan pemodal untuk menafikan kebebasan warga untuk berekspresi. Ruang kebebasan ekspresi itu hanya kembali dibuka oleh kedua-dua pihak jika ia mampu menjana keuntungan, baik dari segi aliran wang mahupun pengukuhan kuasa.

Berdemonstrasi itu hanyalah sebahagian dari sekian banyak cara warga berekspresi di ruang kota. Dalam hal ini, perlu diingatkan bahawa jalanraya juga adalah ruang awam yang boleh dirayakan kerana setiap warga adalah pembayar cukai. Bagi orang yang tak faham apa itu ‘urban’ dalam ertikata sebenar, mereka pasti fikir bahawa jalanraya itu hanya ruang untuk kenderaan lalu-lalang sahaja. Walhal yang sebenarnya, dalam tradisi urbanisasi sebenar, jalanraya sebenarnya bukan sekadar ruang bagi automobil terutamanya yang peribadi untuk meluncur laju bersimpang-siur. Buktinya di kota-kota besar dan maju di seluruh dunia, acara demonstrasi aman sering dilakukan di atas jalan-jalan utama kota tersebut. OK, kecuali Singapura mungkin. Pihak polis juga akan terlibat, bukan berperanan sebagai bajingan, sebaliknya sebagai pengawal lalu-lintas. Kecualilah memang benar para demonstran itu membuat huru-hara, wajarlah pihak polis bertindak sesuatu.

Yang jakunnya di negara ini, hak demonstrasi itu bukan saja cuba dinafikan, malah disarankan pula berdemo di dalam stadium! Kalau nak bertempik sampai pukul 1 pagi pun boleh, bak kata pengerusi 1Malaysia. Habis tu, yang selalu berarak kat Dataran Merdeka masa 31 Ogos itu apa benda? Kenapa tak berarak di stadium bola? Tinggal lagi, perarakan Hari Kebangsaan itu terlalu didaktik, manakala demonstrasi jalanan lebih ‘real’. Bahkan kalau nak diikutkan, urban memang tapak untuk segala kancah kehidupan dirayakan. Ia juga ruang di mana segala aturcara kehidupan warganya terorganisasi, yang sepatutnya, tak dikekang oleh sebarang dogma moral serta nafas imaginasi warga dihembus sebebasnya.

Akibat kota Kuala Lumpur semakin ketandusan ruang awam sebenar, yang tak dihak-milik oleh sesiapa pun, maka saya bermimpi alangkah indahnya jika kota ini memiliki lebih banyak ruang awam untuk warga berekspresi; melepak, berborak, berkelah, beribadat, bermain, berjoget, tidur, berjogging, bertai-chi, bermabukan dan sebagainya, tanpa sebarang gangguan pihak berkuasa atau tuan punya premis. Satu lagi, ruang tersebut tak semestinya terlalu didaktik seperti Dataran Merdeka atau Taman Tasik Titiwangsa. Ruang awam yang saya maksudkan perlu merayakan kespontanan sehabis baik. Konsep ‘permit’ pula wajib ditendang jauh-jauh. Permainan sukan ekstrim seperti papan seluncur harus dimainkan di tengah kota, di ruang awam, dan tak terhad di kawasan yang ‘dibenarkan bermain’. Tapi bila saya menyebut ‘terorganisasi’ tadi, ini tak bermakna semuanya perlu disusun-atur oleh pihak berkuasa. Yang saya maksudkan ialah “self-organisation” yang dilakukan oleh warga kota yang terlibat.

Di sini, saya kurang tertarik dengan tapak-tapak permainan sukan ekstrim yang disediakan oleh pihak berkuasa tempatan. Ia terlalu didaktik sifatnya. Ia menandakan bahawa berlakunya proses pengasingan aktiviti dalam sesebuah bandar. Pengasingan aktiviti ini bertujuan supaya pihak berkuasa mudah mengawal pergerakan warga kota. Kehidupan penghuni kota telah dicerai-beraikan menjadi tidak organik, tapi robotik. Sedangkan manusia ialah hidupan organik yang wajib bersebati dengan alam. Atau setidak-tidaknya, mengapa tapak permainan ekstrim itu tak diletakkan saja di tengah-tengah bandar? Cuba bayangkan ianya berlokasi di tapak letak kereta Metro. Bila timbulnya taktik pengasingan ini, akan muncul pula satu lagi pihak penangguk di air yang keruh. Pihak yang saya maksudkan ialah kapitalis. Maka pihak ini akan membeli ruang-ruang awam untuk diniagakan. Seperti permainan futsal, anda mungkin tak pernah bermain di kawasan lapang yang tak berbayar. Jadi, untuk menyepak sebiji bola saja, anda perlu membelanjakan sedikit wang. Sekali lagi, kebebasan ruang awam dinafikan atas nama keuntungan. Lalu, akan bertambah jauhlah jarak antara ruang awam dan privasi.

Dengan sedikit rasa segan, saya terpaksa mengakui bahawa kegiatan remaja “ber-shuffle” seperti di Bukit Bintang itu sebagai satu ekspresi urbanis yang cukup tepat. Tak kiralah sama ada mereka yang terlibat itu “poser” ataupun “true”. Itu bukan kes-nya. Begitu juga hasilan-hasilan stensil dan graffiti di tembok-tembok sekitar kota. Seperti di Jepun, terdapat segelintir pemuzik bebas di sana yang secara selamba bermain muzik elektrik di tengah-tengah kawasan lapang kota; kali ini anda bayangkan sekumpulan pemuzik bebas lokal membuat persembahan di depan Kompleks Sogo atau depan Maybank di Bukit Bintang, yang semestinya tanpa permit. Sama juga dengan persembahan teater jalanan di tengah kota terutama ketika berlangsung demonstrasi jalanan. Ia kelihatan lebih ‘hidup’ dan spontan di mana ekspresi ‘kebebasan’ itu dizahirkan secara jelas tanpa kepungan tembok empat penjuru panggung. Oh, tak dilupakan juga, geng-geng pengamen (buskers) di Pasar Seni. Bagi saya, kelompok seperti inilah yang menghidup dan mencantikkan lagi urbanisasi dalam sesebuah kota dengan bunyi-bunyian organik, selain menghalau bingit mesin terutamanya yang datang dari motokar dan motosikal.

Oleh itu, urban yang ideal bagi saya tak memerlukan mana-mana pihak menjadi hero, atau heroin. Bukannya mengikut produksi ala Hollywood kerana seperti dalam Battleship Potemkin, semua orang adalah pemegang watak yang relevan, kerana semuanya adalah ‘hero’. Semua orang adalah pemilik sekaligus tetamu yang sejati. Lalu saya dengan poyonya menggelarkan konsep pembandaran ideal ini sebagai “Bandaraya Potemkin Tanpa Batas.”


(bakal bersambung konon…)



Mohd Ikhwan Abu Bakar

p/s: Ok la, petang ni ingat nak ke Pavilion. Maklumlah, raya dah nak dekat. Nak ikut?