Khamis, Julai 30, 2009

Limas Yang Kadangkala Melemaskan

Negara ini menerima hujan sepanjang tahun. Jadi bila kita mendirikan tempat berteduh, antara perkara penting yang wajib difikirkan ialah bagaimana air hujan itu mesti dialirkan dengan sempurna. Antara kaedah yang paling sesuai ialah dengan membina bumbung curam seperti bumbung limas. Tapi, jangan salah anggap bahawa bumbung limas itulah satu-satunya kaedah untuk mengalirkan air hujan. Bagi saya, gunalah cara apapun, janji tiada air hujan yang bertakung di atas bumbung, dah kira okay.

Justeru, bila timbul dongeng moden yang mengatakan kita di sini perlu menggunakan bumbung limas sahaja, ia boleh dipersoal. Apa lagi kalau bumbung limas diguna konon untuk menonjolkan sense of identity. Sebab, jika kita berkira sebegitu, nyata kita akan melahirkan satu identiti yang terlalu pretentious. Bukan semata-mata menolak limas, cuma kita tak sepatutnya menjerat kreativiti dengan hukum-hakam konvensional membuta tuli sampaikan ada yang mempersoal tentang bumbung lengkung yang dikatakan tidak sesuai digunakan di negara ini. Apapun, bagi saya sendiri, bumbung limas tetap relevan dan sesuai digunakan untuk bangunan skala kecil/sederhana seperti rumah kediaman, rumah kedai dan pondok durian.

Sebab, kenyataannya, nenek moyang kita melahirkan bumbung limas bukan suka-suka, atau konon nak membina identiti. Tapi berdasarkan alasan yang praktikal. Bumbung limas itu dibina dari kayu yang diperoleh dari pokok balak. Struktur batang pokok ini pula lurus belaka. Begitu juga ranting dan dahannya, lurus. Kalau ada bengkang bengkok pun, ia mesti diluruskan jika nak menghasilkan rasuk atau alang bumbung. Pernah ke jumpa pokok yang batangnya melengkung? Jangan la beritahu saya pokok itu adalah pokok serai! Memang nak kena terajang! Jadi dengan teknologi yang terhad, apa yang terbaik dan efisien dapat dicipta ialah bumbung curam yang lurus seperti bumbung limas. Gila apa zaman dulu nak buat curve pakai kayu?

Pada mulanya mereka menghasilkan bumbung atap nipah. Dari aspek ekologi, ia memang mesra alam. Untuk pengudaraan juga, ternyata bagus. Menghasilkan atap nipah bukannya mudah, kena orang yang betul-betul pandai menganyam daun nipah. Tapi untuk membina bumbung, memang cukup senang, tindihkan saja atas rasuk yang dibuat dari kayu yang lurus tadi. Ini asal usul penciptaan konsep bumbung limas.

Namun bila kemajuan tiba, bumbung ini juga perlu berevolusi. Antaranya, hasil perkembangan Revolusi Industri, kita menerima keluli dan besi sebagai teknologi baru untuk mengurangkan kebergantungan pada kayu. Bayangkan, kalau teknologi ini tak sampai atau ditolak oleh kita, habis botak gondol hutan di negara ini. Terima kasih kepada keluli dan besi, ruang kreativiti juga terbuka luas. Lebih-lebih lagi bila kehendak bangunan moden yang tak tertakluk kepada rumah semata-mata, memerlukan saiz dan skala bangunan yang relatif lebih besar.

Bangunaan moden menjawab kehendak bangunan awam, yang melibatkan jumlah pelawat/penghuni yang ramai. Sebab, orang zaman dulu guna kayu dalam pembinaan semata-mata mahu mendirikan rumah, takpun masjid yang saiznya kalau hari ini mungkin hanya dianggap sebagai surau. Tiada sebab mereka perlukan bangunan yang besar-besar. Atau saja-saja suka pakai kayu. Istana Melayu pun, sebenarnya tidak la besar mana, hanya sebesar rumah banglo zaman sekarang. Replika istana sultan Melaka di bandar Melaka tu tak boleh dipercaya sangat. Betul ke besar macam tu?

Katakan kita ingin membina kilang. Kilang melibatkan partisipasi pekerja yang ramai. Jadi bangunan yang besar diperlukan. Untuk memudahkan urusan kilang, seperti tempat pekerja dan meletak mesin-mesin, juga untuk tujuan pemantauan pekerja yang efisien, ia memerlukan ruang lapang yang luas. Lalu, kita gunakan teknik long span structure, yang hanya dapat dihasilkan dari teknologi keluli. Begitu juga untuk membina bangunan yang memerlukan penggunaan ruang terbuka luas yang lain seperti stadium tertutup.

Sama juga kalau kita menggunakan bumbung rata yang dibina dari konkrit. Asalkan ianya menyediakan cara untuk menyahkan air hujan, itu sudah cukup. Alasannya, bangunan yang berskala besar pasti akan melibatkan permainan estetika yang berbeza dari bangunan skala kecil. Macam dulu, kita guna bumbung limas sebagai bumbung rumah memang sesuai dari segi skala. Tapi bumbung jenis ini tak berapa sesuai digunakan untuk bangunan awam yang berskala besar. Tak percaya, tengoklah Hospital Selayang, horrible! Dah la pakai warna merah, lepas tu kerana saiznya yang besar, maka bumbung limas ini meninggalkan banyak ruang kosong antara siling dengan bumbung. Sangat membazir. Kalau nak dijadikan sarang penagih pun sesuai.

Jadi jika gunakan bumbung lengkung, atau rata, bukan setakat lebih praktikal, tapi juga sangat kena dari segi estetika-nya. Lagipun, orang dulu bukannya peduli pun dengan identiti ni semua. Apa yang mereka lakukan hanyalah cuba bertindakbalas sebaiknya dengan kejadian alam, bersumberkan apa ada di sekeliling. Lagi satu, macam awan larat dan kerawang itu semua, memang sebagai satu simbol ekspresi mereka, masa tu. Ala, kiranya macam kita sekarang ni la, isi masa lapang dengan melukis misalnya.

Lihat pula manusia zaman primitif yang dikatakan tinggal dalam gua. Selain dari menjadi tempat berteduh dari fenomena alami seperti hujan dan ribut, gua juga dipilih sebab ianya tempat paling cool untuk berlindung dari serangan pak belalang dan juak-juaknya. Satu lagi, mereka berteduh di dalam gua bukan kerana mereka memang terlampau minat terperuk di situ, atau kerana sengkek tiada duit nak beli simen, sebaliknya mereka pada waktu itu langsung tak terfikir lagi untuk membina rumah. Mereka ini pun bukan sengaja merancang untuk tinggal dalam gua pasal nak bina identiti.

Masyarakat yang tinggal di pedalaman hutan Amazon pula ada yang membina rumah di atas pokok. Saya percaya, ini juga kerana faktor-faktor keselamatan, iaitu mengelak dari jadi hidangan makan malam harimau atau beruang. Bukannya kerana mereka berasa cemburu melihat kehidupan bahagia para beruk atau suka berlagak nak jadi tupai.

Kesimpulannya, di sebalik tuduhan primitif atau kuno, orang-orang dahulu kelihatan lebih berotak dan rasional dalam membuat sesuatu keputusan dan pilihan. Berbeza dengan manusia masakini, yang kononnya telah bertamadun, telah berpendidikan, namun hakikatnya mereka semakin hilang pertimbangan rasional, seperti meniru sesuatu itu bulat-bulat, ataupun melakukan sesuatu hanya disebabkan ‘orang lain’ juga melakukan hal yang sama hanya kerana takut dituduh sebagai kolot.


Mohd Ikhwan Abu Bakar