Jumaat, Disember 12, 2008

Seni Corp. Bhd.

Saya telah dua tiga kali ke KLPac dengan kereta. Satu hari dijadikan cerita, saya mahu cuba pengangkutan awam pula. Tanpa sebarang idea, saya menggunakan Google Earth untuk kesan dimana letaknya KLPac ini. Melalui foto dari satelit ini, saya dapati KLPac betul-betul terletak bersebelahan stesen KTM Sentul. Melalui foto satelit ini juga, saya nampak ada jejantas melintas ke seberang sana.

Dulu saya sekolah tadika di Bandar Baru Sentul. Di sini pasar malamnya ketiga terpanjang di Malaysia. Burger jalanannya cukup bermutu pada harga RM1. Waktu itu ada daging ayam, lembu dan arnab. Semasa daging hampir masak ia akan dicelup dan disaluti dengan telur pukul. Ini baru burger biasa, belum yang special. Yummy!

Kini saya di dalam komuter, hampir tiba.

Setibanya di stesen KTM Sentul, saya jadi hairan serta merta. Tiada jalan atau jejantas tembus ke KLPac. Di luar, saya mula menyusur di celah-celah tempat letak kereta sambil mata masih melekat pada bangunan KLPac. Ia terlalu dekat, kalau saya panjat pagar, lintas rel keretapi, panjat pagar lagi, kemudian jalan, rasanya saya boleh sampai dalam masa 5 minit sahaja. 

Tapi saya tidak buat, tahu kenapa? Kerana ada tercatuk di depan saya seorang lelaki india sedang duduk mengawal kawasan itu memerhati jika ada orang ceroboh masuk. Jaga ini duduk di atas kerusi lipat berlatarkan rumput dan pokok sambil memerhati stesen KTM Sentul yang sunyi sakan ini.

Nak tak nak saya perlu menyusur rel keretapi ini jalan kaki sampai Jalan Ipoh dan kemudian pusing kembali masuk ke dalam. Situasi ini sama macam saya balik sekolah dulu, bukan highway tapi kali ini rel keretapi. 

Cara lain, tunggu teksi. Tapi jika saya naik teksi, ini akan memperbodohkan diri saya. Bangunannya betul-betul depan mata, tapi saya terpaksa menggunakan tenaga fosil dan mencemarkan udara semata-mata untuk pusing masuk. Ini sungguh luar biasa. Proses mahu masuk ke dalam ruang Sentul Park ini saja sudah makan banyak tenaga. Jika KLPac ada menganjurkan ‘seni-seni’ yang melibatkan rasa sayang pada alam sekitar, saya akan gelak sorang-sorang kuat-kuat.

Mengenai ruang demokratik pula, hey ini adalah ruang awam, sistem pengangkutan awam betul-betul tercatuk di sebelah. Macam mana KLPac ini atau Sentul Park (secara menyeluruh) boleh buat dek dengan ruang agung ini? Sebuah ‘PUSAT seni persembahan’ pula tu. Oh Tuhanku, ini bukan pusat-pusat biasa tapi SENI! Bagaimana institusi seni boleh dipisahkan dari ruang awam? Sungguh tidak masuk akal, gila. Perbuatan terkutuk, terhina. Haram!

Inilah hasilnya pabila seni berkompromi dengan golongan korporat yang bagi saya ibarat pangkal sungai dan hujung sungai, mana mungkin ia bertemu. Sungguh luar tabii!

Seni seni seni,
entah berapa kali
namamu diharamjadahkan.

Kau menari-nari dengan kakimu wahai kakiseni sekalian
tetapi bila kau bergerak
dari satu titik ke satu titik
kau alpa, lupa
di mana kakimu wahai kakiseni sekalian?

Seni (gelak sinis,)
entah berapa kali
namamu dijadahharamkan.


Ridhwan Saidi