Isnin, Disember 01, 2008

Berjoging Bersama Syaitan

Dengarlah Tuan satu cerita, petang semalam saya telah mengalami satu peristiwa, ganjil rupanya. Mungkin tak ganjil bagi kamu, tapi ganjil, cukup ganjil buat saya.

Begini, entah kenapa saya buang tebiat, tiba-tiba saya terasa lama betul saya dah tak berjoging. Seingat saya, kali terakhir saya berjoging ni adalah semasa di tingkatan lima. Itu pun kerana terpaksa turut serta dalam acara rentas desa. Wow, sekarang dah tahun berapa? Lamanya!

Justeru, petang semalam saya telah berjoging di tepi tasik yang keruh airnya. Bukan senang nak dapat peluang berjoging time musim hujan ni.

Sebelum itu, saat saya sampai di kawasan tasik, jam di pergelangan tangan menunjukkan hampir pukul tujuh malam. Lebih kurang 6.45. Amat di luar jangkaan saya, mulanya saya ingat tak ramai orang yang berlari petang-petang minggu ni. Dalam 10-20 orang saja. Rupa-rupanya, mak datuk, ada la lebih kurang 100 orang!

Di satu sudut, kelihatan sebuah lori penjaja berwarna putih dihurung tiga-empat orang pembeli. Saya hanya mampu berdoa dari jauh agar apa yang dijual si penjaja itu bukan snek, air berkabonat, coklat ataupun ais-krim.

Dan saya masih lagi belum mula berlari. Kerana ini kali pertama, rasa macam cuak pula. Eh, bukan cuak, tapi segan. Sebenarnya, dari gerak geri mereka, saya merasakan ramai yang keluar berlari petang itu adalah dari kalangan yuppies dan yahoos. Hari minggu pergi bersenam atau berjoging, mahu badan fit, mahu kembalikan kecergasan dan stamina, sebelum kembali menjual tenaga bermula Isnin sampai Jumaat berikutnya.

Soalnya, perlukah saya terus berjoging kalau sekadar membuktikan yang saya juga sama seperti mereka? Ini betul-betul mencabar integriti saya selaku seorang non-conformist kerana saya pasti, saya tak mahu jadi sebahagian dari mereka..haha!

Jadi, taktik saya ialah, tunggu dan lihat. Saya tahu, langit makin gelap, lampu jalan mula bercahaya, si penjaja mula berkemas, dan tak lama lagi mereka, yang majoriti Melayu ini, pasti akan pulang ke sarang masing-masing. Er, bukan pasti, tapi sebenarnya wajib, sebab dah nak masuk waktu maghrib.

Hellooo, ini bandar Anggerik, OK!

Tepat jam tujuh, jarum jam di pergelangan tangan kiri saya memberi isyarat. Mata saya meliar memandang sekeliling. Benar ramalan saya, manusia-manusia yang kembali cergas otot, sihat lagi ‘slim’ tubuh badan ini sudah beransur-ansur pulang. Hati saya mula ceria. Kawasan tasik keruh mula lengang. Yang tinggal hanya beberapa amoi dan apek sedang berjalan termengah-mengah. In fact, tak lama lepas tu, azan maghrib mula bergema. Saya pun mula melangkahkan kaki ke trek larian yang hanya diturap tar murah, di kala langit semakin tak cerah.

Yes! Inilah masanya, bentak hati saya.

Opss, nanti dulu. Kata orang, kata orang Melayu lah, waktu-waktu maghrib ni banyak syaitan yang berkeliaran. Hmm..betul ke? Mungkin ya, mungkin tidak. Entah. Saya tak tahu.

Tapi, kalau betul, wow, gila lah! Err..maksud saya, saya ni kiranya, dah berjoging dengan syaitan la ye? First time joging tepi tasik, joging waktu maghrib, dapat berjoging dengan syaitan pulak. Pandai ke diaorang ni berlari, agak-agak? Well well well...


Mohd Ikhwan Abu Bakar