Jumaat, November 07, 2008

Remodenisasi: Demokrasi

Telah banyak kali ketika di kedai DVD cetak rompak, saya pegang filem-filem Michael Moore seperti Bowling for Columbine (2002) dan Fahrenheit 9/11 (2004). Tapi akhirnya saya tak jadi beli. Tahu kenapa? Kerana Michael Moore ini gemuk dan tak kacak.

Oh tidak! Pemikiran saya telah diracuni Hollywood.

Semalam sambil saya tukar-tukar saluran t.v, saya terbuka Sicko (2007) sebuah dokumentari oleh encik Michael Moore. Walaupun sudah separuh jalan, tapi filem ini serius sesaat pun tidak membosankan saya. Ia buat saya seolah-olah melekat di atas tikar mengkuang (saya baring ketika menonton). Malah ia berjaya membuatkan saya mengalirkan air mata.

Daripada saya buat ulasan (pernah ke saya buat ulasan filem?) pasal Sicko yang saya tonton separuh ini, ada baiknya saya terus aplikasikan isi yang ingin disampaikan ke dalam konteks negara kita. Kenapa? Kerana negara kita berpegang pada sistem yang hampir sama dengan Amerika (bukan sekadar bendera).

Apa itu demokrasi? Kuasa mengundi di tangan rakyat? Power to the people? Ini begitu klise, dan sungguh bersifat kesloganan. Sedar! Kita undi untuk apa? Kalau sekadar pergi mengundi, rasa saya zombi pun reti. Oleh itu, di sini, undi ini hanya satu konsep. Saya percaya kita mengundi kerana inginkan kehidupan yang lebih baik di dunia ini, bukan?

Apa itu demokrasi? Demokrasi bagi saya hanya wujud bila semua orang rasa selesa, senang hati, dan tidak ada sebarang ancaman atau ugutan dari siapa-siapa atau apa-apa. Tidak kira demokrasi terus ke, sosialis ke, anarkis ke, ini definisi demokrasi bagi saya. Semua cukup makan, semua cukup tidur, semua ada tempat tinggal, semua pelajaran terjaga, semua kesihatan terjaga, dan semua semua lagi.

Untuk faham erti demokrasi, kita kena faham konsep ‘kerajaan’. Apa kebendanya kerajaan ini? Kerajaan adalah organisasi yang bekerja untuk rakyat. Kerana secara literal, yang bayar gaji kerajaan (termasuk perdana menteri) adalah rakyat. Kita bayar mereka dalam bentuk cukai.

Menjadi tanggungjawab kerajaan bekerja untuk rakyat. Bagaimana? Mula-mula berbillion-billion wang rakyat itu ditukarkan ke dalam bentuk infrastruktur dan fasiliti serta khidmat keperluan rakyat (bukan kehendak). Dan semestinya bukan buat kereta, jalanraya, beli peralatan perang seperti kapal selam dan helikopter, serta hantar seorang hero bercuti di angkasa.

Apa yang kita perlukan? Sekarang ini sejujurnya saya inginkan tempat tinggal. Dari mana boleh saya dapatkan tempat tinggal ini? Dari kerajaan lah, kerajaan sepatutnya menguruskan segala urusan perumahan. Jika tidak, lihatlah apa yang terjadi sekarang ini. Kawasan perumahan baru semakin banyak, tapi anehnya rumah tak cukup-cukup juga. Kenapa? Kerana individu-individu yang banyak duit akan beli dan kemudian disewakan kembali kepada mereka yang tak mampu beli rumah (rujuk: hutang).

Bila banyak kawasan perumahan baru, secara tak langsung habis lah hutan ditebang, bukit dipotong. Satu hal lagi, menggangu ketidakseimbangan alam.

Dalam Sicko, mereka berbincang tentang kesihatan rakyat. Dan ya, saya sebagai rakyat mahu wang saya dilaburkan untuk fasiliti-fasiliti kesihatan seperti hospital, farmasi serta doktor yang mencukupi. Bila saya sakit nanti, bil-bil ini sepatutnya percuma (ditanggung kerajaan) atau paling kurang dikenakan pada kadar bayaran yang minimum, bukan cekik darah. Apa yang terjadi jika seseorang itu tidak mampu biayai ubat-ubatan ataupun jalani sebarang pembedahan?

Dalam Sicko kita akan dipaparkan dengan imej yang lebih horror dari filem-filem horror. Orang-orang tua yang tidak mampu menanggung bil hospital ini akan ditendang keluar dengan teksi. Sampai di satu tempat, mereka-mereka ini akan dicampak keluar ke tepi jalan, dibiarkan begitu saja. Ini sungguh kejam.

Saya percaya anda pasti cemburu melihat mereka-mereka yang hidup di dalam suasana demokrasi. Dalam Sicko, kita akan dibawa ke Peranchis. Apa yang patut kita sentuh dulu ya? Semestinya kerja, kenapa? Sebab orang kita tak habis-habis sibuk pasal kerja. Kerja untuk apa? Untuk bayar hutang!

Di dalam demokrasi (mengikut definisi saya) kerajaan sepatutnya membantu rakyat dan bukannya membebankan rakyat dengan hutang. Kita telah dirasuk oleh sistem hutang, beli rumah hutang, beli kereta hutang, beli ini hutang, beli itu hutang. Kenapa hutang? Bila berhutang wujudlah konsep bunga.

Hutang ini mandatori. Dulu pernah sekali nenek saya mahu beli kereta nasional secara cash (maklumlah orang lama). Sekelepuk wang tunai atas meja. Anehnya syarikat nasional ini tidak benarkan, mereka paksa sistem hutang digunakan. Ini sungguh pelik bagi saya. Mereka mahukan bunga.

Di Peranchis, maksimum mereka kerja seminggu selama 35 jam (di Malaysia minimum 40 jam), maksimum 217 hari setahun (ditambah cuti bergaji yang banyak). Mereka kerja untuk apa? Bayar cukai dan rumah secara asasnya. Contoh yang diberikan adalah sebuah keluarga. Pendapatan bulanan suami isteri ini adalah 8000 euro. Cukai yang dikenakan 1500 euro (walaupun tinggi tapi berbaloi), sewa rumah mungkin 1000-2000. Selebihnya? Beli barang dapur dan buat bercuti makan angin ke seluruh dunia!

Hospital dan rawatan? Kerajaan tanggung. Biaya anak masuk kolej? Kerajaan tanggung. Tol? what the hell is that!?

Kita PTPTN pun mereka mahukan bunga, cis!

Oleh itu di sini, boleh saya simpulkan, tiga perkara pokok yang patut ditangani kerajaan dalam mencapai demokrasi adalah perumahan, kesihatan, dan pelajaran. Selagi tiga benda ini tak diperbetulkan, selagi itu kita tidak akan capai demokrasi (ikut definisi saya). 

Susah sangat ke? Bagaimana? Mudah saja, carta pai Belanjawan itu pecahkan kepada tiga benda tadi. Benda-benda mengarut lain seperti sukan, alat perang, projek mega, tolak tepi dahulu. Nanti bila ada masa (ironinya saya tak bekerja) dan mood akan saya masuk satu-satu dalam perumahan, kesihatan dan pelajaran ini.


Ridhwan Saidi