Selasa, September 23, 2008

Barang Yang Lemau Usah Dikenang

"Demi masa, seseungguhnya manusia itu benar-benar dalam kerugian" - Al-Ikhlas

Hampir sebulan lamanya saya tidak menyentuh blog ini. Bukan tiada idea, tapi saya dikekang waktu. Jika diikutkan, mahu saja saya, seeloknya, melunaskan janji, iaitu menyambung semula warkah saya yang terakhir.

Tapi bila difikirkan semula, ah, tak payahlah! Sudah lemau. Barang yang lemau usah dikenang. Tambahan pula, akibat terlalu lama saya tak menyentuh blog ini, idea asal tentang entri itu sudahpun hangus, sebenarnya. Mengaku sajalah…haha!

Jadi, macam kata omputeh ‘let’s move on.’

Baru tadi, saya ada mencuit tentang masa. Saya katakan yang saya dikekang waktu. Ini yang saya rasakan setiap hari. Malah, mungkin semua orang merasakannya. Tapi saya selalu merasakan yang saya ini layak untuk menikmati tempoh 48 jam dalam sehari. 24 jam yang pertama, menjalankan kehidupan ’normal’ blah, blah, blah, 24 jam berikutnya mendepani pelbagai kegilaan. Ini kerana, terlampau banyak yang ingin saya lakukan dalam sehari. Memang saya tamak orangnya.

Tapi amatlah mustahil, bukan?

Menjadi saya ini, sehari saya wajib membaca paling koman pun, sehelai muka surat, buku atau majalah atau apa saja. Menjadi saya ini, saya wajibkan menonton filem – paling busuk pun – satu dalam sehari. Saya juga wajib mendengar musik. Mendengar alunan musik ini bagi saya, satu seni yang amat-amat mengasyikkan, menghayalkan, memabukkan. Itu pasal, si Nietzsche pernah sebut,“ music is narcotic“. Dan mendengar musik itu, seharusnya kamu berhenti melakukan sebarang pekerjaan atau aktiviti yang tak berkenaan. Macam kamu bermeditasi atau sembahyang atau pantas saja, beronani. Bagi saya, itu baru ’mendengar musik’ yang sebenarnya. Dan, itu belum kira merayau-rayau lagi. Tapi itu cerita lain.

Oh, saya ada satu anekdot. Suatu ketika saya dan Jbebat berborak di dalam bilik saya. Tentang banyak hal. Masa terus berjalan dari petang santak ke magrib. Matahari di langit mula membenam bersilih ganti dengan bulan yang mula menjelma. Suasana dalam bilik itu mula menjadi gelap. Kami terus berborak tanpa memasang lampu bilik. Yang peliknya, kami tak hirau langsung dengan perubahan masa, maknanya kami berborak di dalam gelap. Ini mungkin satu percubaan untuk menafikan konsep masa, saya kira. Sampailah seorang rakan bilik saya masuk, agak terkejut melihat kami berbual di dalam gelap, lalu bertanya soalan cepu emas,”eh, kenapa hang tak bukak lampu?”

Lantaran itu saya sering bertanya, siapakah malaun yang mula-mula mencipta konsep masa ini? Saya percaya, secara logik, konsep masa wujud dengan semulajadi akibat bumi ini berputar. Ini asas waktu. Matahari selaku saksi, adanya waktu untuk dunia ini siang dan malam. Saya tak tahu pula dengan planet-planet lain. 

Seluruh ruang kosmos, termasuk bumi, matahari dan lain-lain planet ini ciptaan Tuhan, kalau kamu masih percaya. Lalu saya katakan pula yang saya percaya masa ini semulajadinya ada, by nature, yang dicipta oleh Yang Maha Esa. Eh, apakah saya ini pantas saja menuduh Tuhan sang malaun? Astaga!!!

Dan kamu lihat, keberadaan dunia hari ini banyak berinjak dari lahirnya konsep masa, malahan sejarah juga didefinisi berdasarkan konsep masa. Hasil lahirnya konsep masa, hari ini kita dapat lihat, kehidupan manusia moden yang saling terkejar-kejar ke hulu ke hilir. Mereka yang cuba bertenang, macam saya, selalu merasakan perasaan tertinggal atau terpinggir. 

Kalau saya menunggu keretapi, ertinya saya ini dah tercicir, tak sempat naik. Hampeh.

Tapi boleh jadi saya sudah memiliki tiket, tapi saya terlewat. Saya, kamu, kita semua berebut-rebut mendapatkan tiket-tiket ini. Dengan tiket ini jugalah kita mendapatkan masa dan ruang. Ada orang, tiket ruangnya cukup mahal tapi sayang, masanya sempit sesak, sebab, banyak masanya hanya dihabisi dengan berkejaran ke hulu-ke hilir meraih modal untuk membeli masa. Begitu juga sebaliknya. Lagi mahal nilai tiket ini, lagi lapanglah masa, maha luasnya ruang kita – kononnya lah. Ini mungkin ilusi. Boleh jadi Tipah tertipu! Sebagai olok-olok, kita katakan, setidak-tidaknya, kita punya ruang dan waktu yang sudah dimiliki, atau lebih tepat lagi, dibeli.

Jadi, kita sebenarnya terperangkap. Perangkap ini lalu diketatkan pula dengan konsep ruang. Apakah takdir Ilahi, ketika kita saling berkejaran ke sana-sini, kita sebenarnya tidak kemana-mana? 

Jikalau dalam ’The Dark Knight’ Joker ada bertanya, “why so serious?“, di sini saya pula nak bertanya, “why so gelabah?” 

Okay, katakan yang kamu bergerak dari titik A ke titik Z. Antara ’A’ dan ’Z’, terselitnya waktu. Bila kamu tiba di titik Z setelah mengharungi pelbagai ranjau, adakah kamu benar-benar pasti bahawa kamu akan terus kekal di situ? Jika tidak, ke mana kamu seterusnya? Adakah mungkin kamu kembali ke titik ’A’? Jika tidak – lagi – ke mana kamu seterusnya? Bersantai di celahan 'A' dan 'Z'?

Lalu cuba bayangkan, kalau dunia ini berputar, hanya berputar, tanpa disempadani konsep masa. Apa akan jadi? Mungkinkah kaos? Mungkin ya, mungkin tidak. Saya tak tahu. Cuma untuk saya, ia satu rahmat kerana saya tak akan pernah tua. Percayalah…


Mohd Ikhwan Abu Bakar