Sabtu, Ogos 09, 2008

TV Realiti atau TV Fantasi

Pernah tonton EDtv (1999)? Filem arahan Ron Howard ini bukanlah filem memang Oscar ataupun apa-apa anugerah. Masuk nominasi Teen Choice Award 1999 pun tidak mampu menang (haha!). Ianya bukanlah filem yang mesti ditonton oleh kaki-kaki seni sinema, walaupun dibintangi Dennis Hopper & Martin Landau. Ianya sebuah filem Hollywood yang biasa. Tidak teruk bagi saya. Menghiburkan, punya tempo & plot yang baik serta gerak kerja kamera yang tiada nampak cacat celanya.

Namun ada satu perkara yang mungkin telah membuatkan filem ini memberi rasanya kepada saya; saya telah menontonnya semasa kemuncak kegilaan bodoh masyarakat kita pada ikon popular yang tiada makna, Mawi & Akademi Fantasianya.

EDtv bagi saya adalah satira budaya popular & TV realiti yang dipersembahkan dalam bentuk komedi gelap yang ringan dengan baik sekali. Ianya mengenai seorang pekerja sebuah kedai video di San Francisco bernama Ed Pekurny (Matthew McConaughey) bertukar menjadi bintang TV realiti apabila bersetuju dengan sebuah stesen penyiaran untuk membenarkan kehidupan peribadinya dipertontonkan 24 jam sehari di kaca TV dengan sejumlah bayaran. Namun situasi menjadi di luar jangkauannya apabila keaadan privasi yang terhad diekori kamera seharian itu telah menelanjangkan buruk busuk keluarganya yang dysfunctional serta menjejaskan hubungan kasih dengan bekas kekasih abangnya sendiri. Ironi,kerana hubungan itu boleh mula terjadi kerana kamera itu juga. Abangnya diketahui curang apabila Ed datang ke rumah abangnya dan kamera merakamkan segalanya.

Namun pada pihak lain ianya sesuatu yang sangat mereka mahukan. Stesen penyiaran yang mempunyai hak rancangan itu telah mendapat rating yang sangat tinggi dan menguntungkan mereka. Di sini dapat diperlihatkan bagaimana stesen tv memanupulasikan keghairahan voyeurism manusia, walaupun pada kebodohan & kejelekan, semata-mata kerana keuntungan. Percaya atau tidak, saya merasakan semua itu tidak asing pada saya kerana ia ada berlaku di negara kita. Ianya seperti memberikan saja sebanyak mana gula-gula pada seorang kanak-kanak tanpa mendidiknya untuk mengambil nutrisi yang berkhasiat. Sama juga seperti seeorang Prof filem yang membuat cerita-cerita bodoh semata-mata kerana ianya dikatakan kehendak penonton majoriti. Amat malang bagi kita punya Prof yang sedangkal itu.

Keadaan menjadi semakin buruk bagi Ed apabila abangnya yang oportunis & marah telah menulis buku yang memprovokasinya. Bahana realiti TV juga telah menyebabkan cerita dalam kelambu ibu & ayah kandungnya yang telah lama bercerai terbongkar, langsung memecahbelahkan keluarganya yang sudah lama kehilangan fungsi. Akibat hubungan intim terlarang, ayah kandungnya yang mempunyai sakit jantung telah meninggal dan ayah tirinya telah meminta cerai.

Kepopularan rancangan ini telah mendorong ia dijadikan topik hangat di dalam rancangan-rancangan temubual Amerika. Saya masih ingat salah seorang panel rancangan temubual-temubual itu adalah Michael Moore. Antara ayat yang mereka perkatakan ialah, "Ini (rancangan ini) merupakan titik terendah dalam kebudayaan rakyat Amerika". Rakan baik Ed sendiri, John (Adam Goldberg) yang putus harap dengan sikap Ed dijemput menjadi tetamu rancangan temubual. "Ianya adalah satu alu-aluan kepada kebodohan," kata John di dalam rancangan itu. Jika saya diberi peluang, mahu saja saya ulangi ayat itu dalam Debat Akademi Fantasia.

Dalam kekacauan itu, Ed mengambil keputusan untuk berundur supaya keadaan dapat diselamatkan. Ray, abangnya juga telah berbaik semula dengannya dan Shari, kekasihnya yang merajuk memberinya peluang. Namun dia masih terikat dengan kontrak dan stesen TV itu tidak memperdulikan apa-apa yang lain selain keuntungan sahaja. Di sini Cynthia selaku produser rancangan yang telah memilih Ed sebagai subjek merasa bersalah dan cuba menolongnya. Ed dengan bijaksana telah menggunakan medium yang sama untuk menyerang stesen TV itu dengan mengiklankan tawaran wang tunai kepada siapa sahaja yang dapat memberi cerita-cerita buruk tentang orang-orang stesen TV. Cerita yang punyai kesan terburuk akan memenanginya. Cynthia yang sudah lama bekerja di stesen TV itu mengetahui kelemahan majikannya dan memberitahu Ed. Maka Ed setelah mengetahuinya telah mengugut dalam rancangannya untuk membongkar rahsia itu. Akhirnya Ed memang.

Ada beberapa babak dalam cerita ini saya gemar untuk membicarakannya. Pada awal cerita semasa Ed dan keluarganya menikmati makan malam, apa yang terhidang adalah ayam-ayam goreng KFC dan minuman ringan Mountain Dew. Di sini kita dapat melihat sebuah keluarga dysfunctional Amerika menikmati makan malam hanya dengan makanan segera buatan kapitalis yang dicurigai khasiatnya. Di sini, KFC tidak menjadi perlambangan untuk sesuatu yang bagus, baik, atau yang seharusnya. Di sini ia digambarkan sebagai makanan untuk orang-orang yang tidak mampu menguruskan diri dan keadaan dengan betul. Malangnya, masyarakat kita masih ditipu dengan kenaifan kita sendiri. Masih ramai pasangan pelajar sekolah menengah bercinta dan berhingus menghabiskan duit poket untuk 2 hidangan berharga RM20. Masih ramai muda-mudi yang merasakan diri mereka sudah menggapai golongan elitis semata-mata mereka mampu menghabiskan masa 2-3 jam di Starbucks. Di Amerika, orang lebih suka menghabiskan waktu minum kopi di cafe-cafe persendirian. Starbucks biasanya hanyalah persinggahan golongan pekerja-pekerja yang tidak sempat minum kopi di rumah sebelum masuk kerja. Jika seorang majikan, beliau akan mengirim pada pekerjanya sahaja.

Habis sahaja saya tonton cerita ini saya terfikir alangkah baiknya jika kita punya filem sebegini. Walaupun pada awalnya saya mengatakan filem ini bukan wajib ditonton kaki-kaki seni sinema, namun bagi golongan-golongan yang lemas hanyut dalam kebodohan budaya popular, filem ini mungkin dapat memberi anda sedikit kewarasan & kewajaran untuk menilai & memilih.

Sekian


Hazimin Hussein

p/s: Ditulis dalam keadaan yang tidak baik untuk menulis.