Sabtu, Disember 22, 2018

Sentuhan Pada Tiang Bank

Waktu tu cuaca panas. Kami tengah berjalan pulang melintasi tiang gergasi sebuah bank Islam. Aku tak pasti jika adik perempuan aku sentuh tiang bank tu sebab nak bermain atau buat-buat nak pegang, tapi akhirnya dia tak jadi. Satu kilometer kat depan ada simpang masjid. Kami tak biasa dengan masjid ni, tapi lepas lalu pagarnya manusia mula keluar dan melambai ke arah kami. Sama ada mahu menegur atau bagi amaran, wajah mereka ketakutan dan kaget macam baru nampak hantu. Mereka tunjuk ke arah bank tadi dan mengingatkan kami tentang tiangnya yang disentuh. Pemiliknya telah mengeluarkan perintah mahkamah terhadap kami dan soal siasat akan bermula serta-merta. Aku cukup tenang dan ini secara tak langsung menenangkan adik perempuan aku juga. Dia ada kemungkinan tak sentuh pun tiang tu—dan kalau ya pun, apa salahnya? Aku cuba buat semua orang masjid faham. Mereka dengar, tanpa meletakkan apa-apa hukum. Kemudian mereka cakap, bukan saja adik aku, tapi aku pun akan dituduh. Aku angguk dan senyum. Kami toleh kembali ke arah bank, sepertimana kita ternampak kepulan asap dan mencari apinya. Jerebu tiba, melitupi pandangan. Hanya kelibat hitam terlihat. Dan sekumpulan manusia bersut kemas datang ke arah kami. Aku tolak adikku ke tepi—aku boleh uruskan hal ni berseorangan. Dia ingkar. Aku suruh dia tukar bajunya, agar kelihatan manis di hadapan para pegawai. Akhirnya dia dengar cakap dan meneruskan perjalanan pulang ke rumah. Lalu pegawai-pegawai tu pun sampai, dan sebelum sempat berhenti mereka dah tanya kat mana adik perempuan aku. “Dia takde kat sini,” aku sebut dengan nada khuatir, “tapi dia akan datang balik.” Jawapan aku tidak dipedulikan; ia seakan amat penting bila mereka jumpa aku. Ada dua orang pegawai: seorang CEO, muda, ceria; dan PA-nya yang bernama Alghabi. Aku diminta untuk masuk ke dalam masjid. Aku geleng kepala perlahan, aku tertunduk di bawah pantauan pegawai-pegawai bank yang sedang tekun bekerja. Aku percayakan kearifan orang-orang masjid, bahawa mereka akan bebaskan aku. Tapi bila aku langkah masuk ke dalam, CEO itu sambut aku dan kata: “Saya minta maaf banyak-banyak.” Walau bagaimanapun, apa yang dia maksudkan bukan situasi masalah ini, tapi apa yang akan jadi kat aku. Ruangnya kelihatan seperti penjara dan bukan masjid: batu ubin kusam dan gelap, dinding kotor dengan gegelang besi; sesuatu ada di tengah—separuh mihrab, separuh keranda.

Bolehkah aku rasa udara lain selain udara penjara? Itu persoalannya; atau secara kontras—ia ialah, masihkah ada prospek untuk aku dilepaskan.


Ridhwan Saidi
Terjemahan bebas cerpen The Knock at the Manor oleh Franz Kafka.

Rabu, Disember 19, 2018

10 Aktiviti Teater Ridhwan Saidi 2018

Tahun 2018 merupakan tahun yang prolifik, di mana saya ada terlibat dengan tujuh buah teater baik sebagai penulis, pengarah dan produser. Meski pun skop kerja lebih luas dari tiga ini, tapi tiga ini penting dalam menggariskan sempadan pemikiran saya: sebagai playwright yang melahirkan idea, sebagai director yang menterjemahkan idea tadi ke ruang fizikal, dan sebagai produser yang menguruskan kerja-kerja pengurusan dan non-kreatif.

Meski teater sebuah gotong-royong dan melibatkan ramai orang, entri ini lebih kepada view dari posisi saya agar cakupannya berfokus. Apa yang diperoleh dalam menjalani proses berteater ini sepanjang tahun? Sudah tentu terima kasih buat semua yang terlibat dan mereka yang tak sempat disebutkan namanya di sini (mungkin di masa lain?) Dalam situasi ini saya perlu lebih reflect ke dalam diri dalam mempersiapkan diri untuk kerja-kerja masa depan. Saya boleh jadi reclusive dan tulis novel sepanjang 2019 misalnya, atau sekali-sekala keluar untuk berteater. Tetapi teater yang bagaimana?

Tahun lepas di blog ini ada entri 10 Teater Terbaik Kami Tonton 2017 oleh Roy Osmera dan Ilham Sani, tapi tahun ni nampaknya teater-teater di Malaysia tidak begitu memberangsangkan, tetapi masih ada tiga yang mengagumkan yang saya catit di sini (salah satu berbentuk tarian dari Indonesia). Saya dapati teater yang ambil bentuk lebih panjang, lebih kucar-kacir perasaannya, seolah ia saduran rampus pop culture, dan dalam konteks humor, ia cuma tersekat dengan nuansa sinikal (lebih-lebih terhadap mereka yang lemah). Ia makin ketara bila perbandingan dibuat dengan beberapa produksi dari luar yang saya lihat, yang tak mahu saya namakan di sini untuk jaga aib.

Lalu sesuatu yang peribadi dibuat, iaitu aktiviti teater saya sepanjang 2018. Ia akan disusun ikut kronologi dari Januari ke Disember untuk memudahkan orientasi pembaca.

1) TEATER NORMCORE: DOUBLE BILL
Raw Art Space, Februari 2018.
Saya selaku playwright dan director.

Ini debut saya dalam menggarap sebuah pementasan berdurasi penuh sebagai director. Sebagai playwright atau produser telah saya lakukan tahun 2017 dengan Teater Modular. Durasi penuh di sini bermaksud ia lebih dari 60 minit, satu konsep yang saya ambil dari filem iaitu semua yang bawah 60 minit ialah short film, manakala lebih 60 minit jadi feature film. Poinnya, bila audien duduk lebih dari 60 minit, kita akan dapat pengalaman yang lebih penuh dan kompleks. Walau bagaimanapun untuk Teater Normcore pertama ini, ia double bill yang memuatkan dua teater sebabak berjudul Tiada Cinta Selama Muda dan Matinya Seorang Birokrat. Ia belum tiba ke pengalaman penuh yang akan saya bikin dalam Stereo Genmai 8 bulan kemudian.

Dalam sesi bual santai pasca persembahan, ada dikongsikan bahawa saya suka lakonan persis filem-filem Aki Kaurismaki, Robert Bresson dan Buster Keaton. Kita bermula dengan kawalan. Emosi akan datang tanpa dicuba. Banyak stillness, banyak jeda, banyak ruang kosong, banyak silence, void, titik nol. Bak kata Bakchormeeboy, ‘deadpan drama’—komedi fizikal yang tak diduga.

Dalam pemilihan aktor sudah tentu kapasiti individu penting, tapi saya juga sentiasa membayangkan agar seluruh ensembel cair sebagai satu. Ia tak terfokus ke seorang hero atau heroin (manakala yang lain jadi ‘lopak air di tepi jalan’—saya kutip ayat ini dari Other Tongue Festival), dan ini sudah bermula dari atas kertas. Amirul Syakir, Adena Sams, Roshafiq Roslee dan Mia Sabrina Mahadir berada di dalam ruang lakon, manakala saya masuk via Joni Atari sebagai muzik, Aizam dengan sari kata dan Amirul Rahman dan Ani Aziz sebagai cahaya. Ada dua hari pementasan di mana audien Melayu menjadi amat minoriti (5 dari 40+ orang macam tu) dan ia menghancurkan pre-conceived idea bahawa teater bahasa Melayu hanya dikunjungi secara majoriti orang Melayu—sebuah anomali.

Maklumat lanjut: Mokamochaink, Bakchormeeboy

2) TEATER MODULAR [set 3]
KongsiKL, Old Klang Road, Kuala Lumpur, April 2018.
Playwright dan co-produser untuk Teater Modular. Director playlet Hotel Berdarah.

Tidak seperti Teater Normcore yang lebih berskala kecil, Teater Modular dua tiga kali lebih besar, kerana ia melibatkan ramai tenaga kreatif, selain secara literal ia berlaku di tapak yang luas (10,000 square feet). Selepas tonton filem THE BATTLE OF ALGIERS (1966) saya sedari taktik pembikinan Teater Modular ini gerila. Ia juga agak intens dan dodgy sebab perasaan saya bila ingin masuk ke Gudang Yee Seng 2 ketika itu terasa derelict a la Detroit dalam skala kecil. Perasaan ini bila saya cuba jalan masuk ketika di waktu siang, saya tidak tahu apa perasaan mereka yang masuk ke ruang ini di waktu malam. Ia gelap gelita! Tapi saya tetap percaya, jika ada kemahuan pasti ada daya dan kecekalan.

Kita ada empat playlet macam biasa, dan salah satunya Hotel Berdarah yang saya direct dengan lakonan Shasha Fairus, Azman Rashid, Shamnirul, Irfan Aziz, Yunorosid dan Tasha K. Manakala tiga lagi playlet Sesuap Kaseh, Kurator Dapur, Erti Mati diarahkan oleh Walid Ali, Hannan Barakbah dan Amirul Syakir bersama para kolaborator dan aktor masing-masing. Posisi director ini saya isi selepas pengarah tentatifnya tarik diri. Saya bersyukur ia berlaku awal dan penuh terus terang, dan secara tak langsung ia buka pintu hati saya untuk direct selain terpaksa, agar tiada masalah last minute berlaku. Ini ensembel teramai pernah saya direct iaitu enam orang, dengan dua orang Datuk berlakon secara bergilir-gilir. Ada saya coretkan pengalaman Teater Modular ini di sini, sini dan sini.

Teater Modular [set 3] melengkapkan kesemua 13 playlet Teater Modular yang saya tulis. Lepas ini saya lebih mahu fokus skala yang lebih panjang iaitu teater sebabak dan teater penuh. Jika terpaksa bikin playlet, saya mahu buat bengkel (atau sesuatu) dalam menggarap playlet bersama bakal playwright masa depan. Di Malaysia trend anti-playwright terasa ketara di mana theatre-maker lebih cenderung ingin dipanggil deviser atau performance-maker untuk lari dari text-based work dan ingin diasosiasi dengan sesuatu yang bergelar post-dramatic. Post dramatic ini sendiri diakui Hans-Thies Lehmann sebagai tak spesial (dalam interviu youtube tahun lepas) sebab semua teater dalam dunia hari ini post-dramatic. Paling utama baginya adalah usaha cari dramatic-piece di dalam teater.

Buku Postdramatic Theatre ini sudah saya baca (awal tahun ini) dan dapati pemerhatiannya terhadap bentuk-bentuk teater make sense kepada saya, cuma seperti agama, ia jadi masalah bila penggiat teater menggunakan teori dari buku untuk berkarya. Sumber idea lagi luas dari sekadar rujuk teori dari buku (yang dibaca). Ia jadi makin sempit bila teori yang dirujuk ialah versi simplified (seperti dari wikipedia atau video youtube.) Dalam situasi ini, ia akan makin tersasar dan dikepung dan terpancar pada performans yang dibuat. Bertaubatlah. Kembali ke pangkal jalan playwriting.

Maklumat lanjut: Mokamochaink, Azrin Fauzi, Star 2, BFM

3) SESI DISKUSI BUKU KAOS NOL
Lit Books, Petaling Jaya, Mei-Julai 2018.
Saya selaku co-penggerak bersama Ani Aziz dan Hoay-Fern, dan teman-teman pembaca.

Kita baca dan bincang tiga buku iaitu The Theatre and its Double oleh Antonin Artaud, In Praise of Shadows oleh Junichiro Tanizaki dan esei Against Interpretation oleh Susan Sontag setiap dua minggu merentasi bulan puasa. Idea utamanya adalah ia sebagai titik temu untuk kita garap idea yang belum ada urgency untuk diwujudkan, tapi sekurang-kurangnya ia sudah membenih. Ia sentiasa menarik untuk membincangkan idea yang belum akan kita gunakan dalam masa terdekat, tapi kita tau idea itu akan digunakan suatu masa nanti. Impuls saya untuk bikin grup baca buku ini kerana saya dapati orang yang bikin teater di Malaysia tak baca buku. Ini saya dapati bila pemaparan teater yang dibikin menyerlahkan kenaifan atau kedangkalan bahawa tiada kefahaman sedang berlaku. Menariknya penggiat teater yang datang cuma sekerat dua dan selebihnya ahli akademik dan peminat seni dan sastera yang sudah biasa baca buku. Mungkinkah ini apa yang dipanggil farsa? Apa pun saya bersyukur dengan tekad kolektif ini yang bertemu dua minggu sekali diiringi kopi dan latar kedai buku yang cantik. Tiga pilihan buku untuk 2019 perlu difikirkan.


–––––––––––––––––––––––Barisan Nasional tumbang di garisan ini–––––––––––––––––––––––


Nombor 4 dan 5 ialah skrip saya yang diarahkan oleh orang lain, dalam kes ini Jit Yang dan Pat Chan. Ada hal yang saya kutip dan belajar di sini. Ia posisi yang agak spesial di mana saya dapat lihat apa yang berlaku di atas lantai dengan skrip saya.

4) SAYA ANAK MALAYSIA (BARU)
Taylor’s University experimental theatre, Julai 2018.
Saya selaku playwright. Produser dan director: Pat Chan.

Saya dikomisen oleh Taylor’s University untuk garap satu skrip bagi satu kelas American Degree Transfer Programme dan diarahkan oleh Pat Chan. Skrip ini saya tulis dalam bahasa Melayu tetapi kemudian mendapati rata-rata student di dalam program ini tidak fasih bahasa Melayu, jadi saya tulis dalam bahasa Inggeris (tetapi disunting dan dibantu oleh Aizam dan Pat). Saya garap sebuah cerita fasal mereka ini lepak di kedai mamak, dan lalu ada orang jual jam tangan yang membolehkan mereka merentas masa, lalu mereka pergi ke masa depan dan masa lepas. Nak dipendekkan cerita, bateri jam tangan mereka habis waktu mereka melawat 13 Mei 1969 di Kuala Lumpur. Di dalam kucar-kacir itu sesuatu yang tragis berlaku, dan ia berakhir dengan setiap dari para pelajar ini melafazkan harapan-harapan mereka. Ia sebuah play yang fun dan engaging. Sedar-sedar dah habis. Pat Chan ada latar tarian, jadi saya banyak belajar tentang precision, rentak dan flow seluruh pementasan ini. Pertukaran adegan dalam blackout yang laju, antara hal yang menakjubkan. Dan buat pertama kali, saya tangkap kepentingan curtain call, bila ia berlaku di momen yang tepat selepas show tamat.

5) MAUTOPIA staged reading
Pentas 2, KLPAC, Kuala Lumpur, Ogos 2018.
Saya selaku playwright. Director: Tung Jit Yang.

Staged reading Mautopia ini salah satu dari empat play dalam buku The New Play Project: Book One terbitan The Actors Studio Seni Teater Rakyat. Selain itu kita ada skrip dari Adiwijaya Iskandar, Juno Hoay-Fern dan Terence Toh yang merangkumi pelbagai spektrum perasaan. Meski showcase ini dibaca, tetapi ia ada gaya. Setiap aktor akan ada satu kerusi dan satu stand untuk letak skrip. Untuk skrip ini, projection juga digunakan. Menarik untuk lihat direction Jit Yang meski saya juga sekali-sekala datang ke sesi latihan. Ia rasa moden dan tak tradisional. Untuk sesi bacaan ini saya banyak lihat kaki aktor dan kaki stand. Entah mengapa ia mengingatkan saya ke kaki kerengga. Bila difikirkan, saya belajar precision dari Pat Chan, modern sensibility dari Jit Yang dan silence dari Walid Ali. Bila kita tak ada formal education sudah tentu kita kena jadi street-smart untuk tangkap apa yang ditawarkan hidup.

Amat ketara di sini, ia buat kita cepat belajar tentang direction pengkarya lain yang guna skrip atau teks kita. Ia buat kita fikir kenapa ia pergi ke arah itu dan bukan ini, misalnya, dan secara tak langsung ia memperkukuhkan arah yang kita percaya bila jadi director. Sudah tentu ia juga mengajar kita untuk berempati dengan direction yang dipilih oleh seseorang director lain. Sebagai playwright saya terbuka dengan direction orang, sebab satu tahu kalau saya mahu impose direction saya (pada ketika itu), lebih baik saya direct sendiri. Malah kini saya juga sedar bahawa direction kita boleh berubah di waktu, ruang dan kondisi yang berbeza meskipun teksnya sama. Direction teater bukan pemalar tetapi pembolehubah.

6) PENGANTIN FREESTYLE! di YSDAF 2018
Small lawn, KLPAC, Kuala Lumpur, Ogos 2018.
Playwright/director.

Ia pertama kali kami masuk festival dan uji skrip Teater Modular ini di kawasan terbuka. Jika sebelum ini Qiu Qatina direct pengantinnya perempuan, kali ini saya buat ia lelaki. Di masa depan saya masih ingin direct sekali lagi playlet ini tetapi kali ini watak videografer perempuan pula. Lagi pula di dalam skrip ada saya nyatakan imej video wajah pengantin perlu dipancarkan ke dinding pementasan. Saya tidak berpeluang untuk lakukan visual ini kerana ia bukan ruang tertutup. Oleh sebab yang ini terbuka, saya bermain dengan unsur militari dan kenduri kahwin. Ensembel lakonan, silat dan muzik oleh Ani Aziz, Roshafiq Roslee, Shon Anwar, Nurul Aizam dan Nyna Roslan. Dengan dokumentasi video yang puitis oleh Amirul Rahman.

Meski ia salah satu slot persembahan di dalam festival, saya tetap regangkan durasi agar ia sedap untuk audien jatuhkan punggung di atas rumput dan menikmatinya. Ia berdurasi 25 minit, dengan mainan kompang dan pertunjukan silat buat watak yang pada mulanya diikat dan diseksa, sementara watak yang awalnya menyeksa pula akhirnya terseksa dengan persoalan, apa itu erti kegembiraan?

Video penuh boleh ditonton di: Mokamochaink

7) JEJAK TABI EXCHANGE, Kuala Lumpur
Aswara, Kuala Lumpur, September 2018.
Presenter/observer/listener.

Jejak Tabi Exchange lebih intim dan lebih berfokus kepada hubungan pertalian di antara penggiat seni persembahan dari Indonesia dan Malaysia, dan seterusnya Asia Tenggara. Saya mempelajari erti perkataan ‘dramaturgi’ dari Lim How Ngean yang sebelum ini agak samar-samar. Ia pelajaran yang besar sebab saya sudah tahu dan boleh teka apa itu sinografi dan koreografi, tetapi apabila kedua elemen ini digabungkan dengan unsur dramaturgi, barulah teater rasa penuh. Tiga penguasaan ini penting bagi saya dalam teater. Dramaturgi ini, paling basic ia ialah flow atau sekuen play yang akan memberi makna tertentu. Selain itu, proses terjemahan bahasa juga sebentuk dramaturgi, di mana seorang dramaturg itu mahu menyampaikan teks yang sama dengan konteks baru. Apa pun saya masih terus mendalami kata kunci dramaturgi, sinografi dan koreografi ini. Dalam filem kita ada sinematografi dan editing, jadi di atas pentas lain pula jadinya sebab ia bukan filem. Jika ada teater yang dilabel sinematik, saya akan tanya balik di mana elemen sinematografi dan editing-nya?

Selain itu saya turut bertemu dengan Helly Minarti dan Akane Nakamura dalam memahami lebih lanjut bentuk yang sedang saya ceburi ini. Semoga ia jadi contact awal kepada hubungan lanjut di masa depan!

8) TEATER NORMCORE: STEREO GENMAI
Kotak @ Five Arts Centre, TTDI, Kuala Lumpur, Oktober 2018.
Playwright/director.

Stereo Genmai debut sebenar bila melibatkan pembawaan emosi secara full length. Karakter K.M. Raslan yang masuk ke dalam ruang lakon tidak akan keluar sampai ke habis kisah, cuma ada intermission khas sebagai breathing space untuk dirinya lakonan Ani Aziz melakukan regangan. Selain itu kita ada Flores Chin, Delia dan D. lakonan Sandee Chew, Nyna Roslan dan Hannan Barakbah yang pada satu takah akan bersatu menjadi korus Pengarang. Turut dibantu voiceover oleh Nurul Aizam, dan suara Fara Kafli yang menjaga slide show, Yunorosid bermain dengan cahaya dan saya masuk via Joni Atari dengan musik dan juga cahaya. Di balik tabir kita ada Cher Kian yang menguruskan ruang hadapan dan kebajikan produksi dan Amirul Rahman yang melakukan dokumentasi. Aksi devised (dalam erti kata sebenar) juga berlaku dalam pementasan ini di mana suara Hannan hilang ketika opening night. Kebetulan karakter yang dipegangnya berkaitan pencarian suara (sebagai pengarang). Constraint ini menjadi kelebihan, ditambah penggunaan loud hailer yang memberi efek sonik yang canggih.

Teater Stereo Genmai sukar untuk dijelaskan dengan kata-kata, sebab ia benar-benar perlu dialami. Dan saya yakin, orang yang mengalami teater Stereo Genmai ini sendiri pasti akan mengalami kesukaran untuk menjelaskannya ke kawan terdekat. Siapa yang tonton itu hari sudah boleh konsider beruntung, dan jika mereka berjiwa kreatif, mohon ia beri resonans dan manfaat dalam anda meneruskan usaha pengkaryaan.

Di masa depan saya teringin untuk ada director wanita yang direct play ini untuk lihat bagaimana ia jadi. Ada yang merasakan penamatnya ada nuansa feminis, tetapi saya rasa ia terlalu singkat dan terhad. Saya gemar dengan intepretasi bahawa idea konservatif (via purdah) sedang menelan watak pengarang kita ini, persis negara Malaysia. Kalau betul negara Malaysia di masa depan jadi makin konservatif, maka karya ini automatik sudah beri petanda itu. Walau bagaimanapun saya sebagai director, lebih berminat untuk terjemah ayat penutup play ini yang habis seperti puisi. Saya sebagai playwright, tamatkan play ini dengan: ‘watak K.M Raslan membatu, sebelum ditelan kontinuum idea-mimpi persis batu belah batu bertangkup.’ Apa yang saya gambarkan di sini ialah unsur batu dalam batu, untuk membeku dan terbeku, sebelum Raslan yang akhirnya jadi idea-mimpi, boleh dicairkan kembali oleh pengarang-pengarang masa depan yang bakal menemuinya (sebagai idea).

Maklumat lanjut: Mokamochaink, CityPlusFM, BFM, Star2, Artsequator

9) BORAK ARTS SERIES at OzAsia Festival
Adelaide, South Australia, November 2018.
Participant/observer/listener.

Saya terpilih untuk sertai delegasi Malaysia ke Borak Arts Series di Adelaide selama 5 hari oleh CENDANA. Saya perlu serap cepat nuansa kota ini yang kecil, bergrid dan rasa selamat, serta bergaul dengan lingkungan penggiat dan produser dari Australia sendiri, ada dari Melbourne, ada dari Perth, Sydney, Darwin, dan seumpamanya, dan ada juga ramai dari rantau Asia Tenggara dan muda-muda belaka (dan sudah tentu mereka yang dari Malaysia sendiri). Saya sempat bertegur sapa dengan ramai orang. Saya ada tulis laporan dan apa yang saya buat ada tertulis di situ. 

Setelah melihat bagaimana circuit seni persembahan antarabangsa berlangsung, bagaimana ia diolah, sesi bual santai bersama pengkarya, ia buat saya terfikir balik bahawa ada banyak hal yang belum setel dan ketinggalan di Malaysia, terutama dari segi moderation forum/round table yang rasional dan proses penciptaan karya. Kita masih kuat menyadur tanpa esensi atau suara yang kuat, atau dalam konteks perbincangan senang kalah pada emosi. Apa pun jauh-jauh ke Australia, akhirnya ia buat saya makin kenal Malaysia. Saya juga berpeluang untuk berkenalan dengan Joseph Gonzales, Izan Satrina dan Joe Sidek antaranya yang inspiring dalam pelbagai cara, serta teman-teman delegasi yang sengaja tak saya namakan di sini, tapi ada saya catit dalam diari. Pada suatu petang saya dan Mon Lim ada ke market untuk makan oyster mentah dengan perahan lemon dan sos tabasco di dalam pasar seafood selain membeli udang segar untuk dimasak bersama pasta di hostel...

10) KISAH LELAKI YANG DAPAT PENCERAHAN SETELAH KASUTNYA DICURI DI MASJID PADA SUATU PETANG dalam Projek Suitcase 2018 oleh Teater Ekamatra
Wisma Geylang Serai, Singapore, Disember 2018.
Playwright/director.

Dengan tema Die Before You Die, cabaran saya adalah untuk tidak ulang bikin playlet Erti Mati (Teater Modular) yang sudah sentuh topik yang sama. Saya perlu elak dari mengulang diri saya dari tulis tentang hal yang sama, maka saya perlu guna approach lain. Saya perlu elak dari situasi mati itu sendiri. Saya perlu mulakan cerita saya dengan kisah kehidupan yang mundane, seperti kasut dicuri misalnya. Dari sini, baru saya akan bawa perlahan-lahan menuju dan mendekati tema yang telah ditetapkan. Jika di Malaysia biasanya projek saya dimulakan dua atau tiga bulan sebelum pementasan, yang ini ia bermula dua tiga kali ganda lebih awal. Ada tekanan untuk menyiapkan skrip di awal tahun, apabila kita tahu tarikh pementasannya jauh lagi di hujung tahun. Tapi yang penting saya merasai jarak dan jurang masa ini. Bagaimana untuk berfikir jauh, agar apa yang sedang kita fikirkan sekarang masih relevan di masa depan.

Skrip ini ditulis waktu Ramadan dan ketika Roshafiq Roslee sedang buat umrah. Bila dia pulang, saya hulurkan skrip, dan lalu dia ceritakan pengalamannya dua kali selipar dicuri sewaktu di Mekah. Saya mendengar anekdotnya, dan ini bagi saya kolaborasi dalam erti kata sebenar, sebuah perasaan dikongsi. Saya belum pernah hilang kasut atau selipar bila ke masjid atau surau. Komen kritikal dari Fared Jainal juga membantu, dan ia bermula dari kedatangannya ke Kuala Lumpur. Seterusnya kami diberitahu idea untuk bertukar-tukar lokasi pementasan pada setiap malam berdasarkan chance. Ia pengalaman yang menarik dan meriah, ditambah lagi lokasinya Geylang, yang penuh karakter, aneh, suci dan kotor dalam masa yang sama.

Satu hal yang saya sedar, drama oleh pasukan dari Singapura ada edge dan intensiti realisme sosial yang penggiat teater Malaysia dambakan, sementara drama dari Malaysia pula seakan senang bersyukur dengan apa yang ada. Biasanya kita nak apa yang kita tiada. Selain itu bagaimana saya diurus sebagai tetamu dari negara luar amat cukup sekali, malah ia buat saya terfikir jika kita di Malaysia ingin jadi hos pula, ia mesti secukup ini. Ia pengalaman yang seronok dan ceria (seceria Munah Bagharib), dan saya sedang memikirkan kolaborasi indie yang boleh dibikin dengan teman-teman kita dari Singapura di masa depan. Tak naklah asyik kita saja jadi tetamu.

Apapun tahun ini saya kerap ke Singapura dan antaranya datang tonton TIGER OF MALAYA tulisan Alfian Sa’at, arahan Fared Jainal. Ia bermula playful tetapi makin lama makin serius dan saya dapati yang dituduh dan menjadi antagonis rupanya subjeknya, filem TIGER OF MALAYA (1943). Ia sebentuk reklamasi naratif yang dahulunya digarap penjajah. Dua penamat berbeza filem TIGER OF MALAYA yang ditujukan buat audien di Malaya dan Jepun, buat kita sedar tentang tool propaganda yang telah nenek moyang kita alami, dan hal ini masih berleluasa hari ini dalam bentuk lain.

Imej vivid turut berlaku lepas show, kami berjalan kaki ke kedai mamak. Kedai mamak ini tempat pertama yang saya singgah ketika pertama kali sampai ke Singapura beberapa tahun lalu di waktu subuh di kala segalanya masih tutup. Kami dibacakan jampi dalam bentuk pantun oleh Khatijah Terung oleh Alfian dan ini akan di-reprise oleh Soultari Amin ketika Projek Suitcase 2018. Selepas itu, kami diberi tempat berteduh di rumah Ivan Heng, yang tiada di rumah. Rumah ini agak inspiring di mana ia simple tapi detail. Kami ditempatkan di bilik tetamu, dan di bilik ini ada workstation yang membuka mata saya bahawa laptop boleh jadi CPU. Ia mengubah cara pandang saya terhadap teknologi.

Maklumat lanjut: Bakchormeeboy


Di sebalik semua aktiviti ini ada Nurul Aizam yang transgress dari jadi audien ke produser, dari jadi penjaga sari kata dan FOH ke pemain kompang dan voiceover performer, dari ruang paling depan ke ruang paling terlindung di belakang, di sebalik kata-kata saya yang disunting, ada zat-zat Nurul yang tersembunyi—Joni Atari, Ilham Sani, Moka Mocha Ink, etsetera dan ini akan berterusan di masa-masa mendatang!

Di samping itu, akan saya kongsikan beberapa hal yang Moka Mocha Ink dan teman-teman cadang nak buat di tahun hadapan. Kita akan ada pelancaran Teater Modular Box Set dengan sesi reading showcase atau suatu aktiviti happening untuk kasi meriah. Saya membayangkan ia lebih macam piknik. Sesiapa nak role-play watak-watak dalam playlet Teater Modular, silakan.

Selain itu saya dan beberapa teman cadang untuk gerakkan Pesta Playlet yang didesain selama 2 hari, di mana tahun ini ia akan bertumpu di ruang censorship dan suppression, bagaimana untuk kita reclaim dan subvert teknik dan metod dari penguasa dan penindas dalam menggunakannya secara kreatif (dalam format playlet, misalnya). Hasil pengalaman saya bersama LiteraTur dan Kota Peta via LiteraCity, bengkel kuratorial di Ilham Gallery, PechaKucha, pemerhatian terhadap festival-festival kecil tapi intim lain akan digunapakai. Proses co-curation akan berlaku dalam masa terdekat, melibatkan 5-6 orang. Pengisian masih terbuka dari bengkel (playlet-making, playwriting, criticism), ke presentation, ke work-in-progress crit session ke humorous discourse atau sesi in conversation dan seumpamanya. Tak sabar!


Ridhwan Saidi

Selasa, Disember 18, 2018

Tiga performans yang saya tonton dan rasa terkesan untuk tahun 2018

1
Piece Nana dalam The Human Exhibit: Mental Health di twenty20two. Sepatutnya tak boleh asingkan bahagian kecil dari seluruh performans tapi ia terlalu ketara. Piece ini shocking dan poetic sekali gus. Dua piece lain yang turut tinggalkan kesan: oleh Paalan dan kawannya, yang mana ia all out shocking. Lagi satu pula saya tidak ingat tetapi sejurus piece Nana, ia tarian dengan bola lampu di dalam gelap, yang mana selepas piece-piece lain yang menekan otak, piece ini beri breathing space dan indah. Dua elemen indah dan unsur kejutan ini berpadu dalam performans Nana & Riz. Performance space-nya sebuah stor sempit bawah tangga. Sinografinya padat. Kita ada lampu merah, biru dan lip-lap jingga di kiri dan kanan, lalu imej projektor terpancar pada siling yang senget 45 darjah, yang bersambung dengan kamera dslr ber-flash. Meski watak Riz tidak bersuara, ia bersuara dengan imej—imej Nana mulanya, sebelum ia menjadi imej audien. Koreografi tangan dan dinamik posisi seksual, pelikat batik dildo ke dildo batik pelikat berpusing seraya Nana bersuara tentang srikandi Melayu (antaranya). Teater dalam stor domestik shoplot ini super sempit. Ia bukan Stor Teater DBP dulu yang luas (sebab ia tempat simpan stok buku). Ia saiz stor rumah bawah tangga yang mana waktu kecil dulu kita akan guna, bila main sembunyi-sembunyi. Teater berlaku di ruang yang paling jarang kita singgah di rumah.

2
Ingatan oleh Fasyali Fadzly di Aswara. Sebelum ini telah dipentaskan di Jepun, dan selepas itu ia dikembangkan untuk dipentaskan di George Town Festival (ia jadi cerita lain mungkin, sebab cast beza dan ada tiga orang, banding yang ini dua orang). Kitaran/loop memori pada boneka ipad itu dekat dengan unsur nyanyuk dalam konteks orang kita. Ia resonates dengan saya. Dalam play ini Siti Sandi tidak bersuara (macam Riz) dan hanya Fasyali bercakap melayan karenah watak bapak (rakaman video wajah Fasyali), tetapi ada energi terpendam seorang isteri dalam Siti menggerak-gerakkan boneka itu, di luar cahaya spotlight dan kerangka teknologi.

3
TubuhDang TubuhDut oleh Ayu Permata Sari di Aswara. Ia sebahagian dari Jejak Tabi Exchange di Kuala Lumpur yang turut menawarkan showcase lain. Saya ada tonton video rakaman performans yang sama ketika di Jogjakarta, yang mana ruangnya lebih intim, dan audien duduk bersila. Apa yang buat versi Aswara ini hebat adalah participation kru, dan lalu berpuluh student Aswara ini menari sama ikut rentak. Ayu ada memberi nota wang kepada seorang student lelaki, dan student ini ingin lure dan beri kembali wang itu kepada Ayu, dengan idea bahawa Ayu ini penari dangdut yang boleh diobjekkan. Student ini malah cuba beri wang itu seperti beri makan ikan. Tapi apa yang student ini tidak tahu ialah, Ayu sedang embody penari-penari lelaki tua yang ke kelab dangdut. Secara visual ia seperti student lelaki itu ingin lure, persis di strip club, terhadap seorang pakcik tua yang setelah kepenatan bekerja, ingin enjoy di kelab dangdut. Sebagai respon, Ayu menjegilkan mata dan ia menakutkan, sebab ia terasa jegilan mata seorang pakcik yang tak mahu diganggu. Dialog berlaku tanpa kata-kata.

Ada beberapa play atau performans lain yang saya suka, tetapi tidak menusuk terlalu dalam, dan banyak juga yang teruk dan bak kata Sufian Abas, unmemorable, tetapi tiga ini yang saya pegang dalam membuat bekal untuk terus berkarya. Ketiga-tiga werk ini juga saya perasan boleh bertukar bentuk dan ada yang work in progress. Misalnya The Human Exhibit ada yang versi tour, dan piece Nana ambil bentuk lain (sebab space dah lain). Jadi di sini, tiga werk yang saya gemar ini spesifik seperti yang dinyatakan, dan bukan versi atau olahan lain.


Ridhwan Saidi

Rabu, Ogos 29, 2018

Catatan Brokoli

Semalam pasca pementasan ada orang tanya kenapa karakter Sofia sebut ‘haram’ di akhir kisah, ia buat dirinya terfikir, dan saya ada berikan pandangan saya berasaskan pementasan tersebut arahan Reen Natasha. Benda yang saya cakap ini sesuatu yang baru, yang saya perasan hasil dari garapan semalam. Sebelum ini telah tiga kali saya tonton Brokoli iaitu yang pertama arahan Walid Ali, selepas itu dramatised reading Teater Modular di Singapura, kemudian arahan Adena Sams pula.

Hal baru ini amat straightforward dan melibatkan perihal linguistik. Watak Sofia ni cakap, “Tak boleh,” apabila diajak oleh Din secara berkali-kali untuk menidurinya. Di sini, ‘tak boleh’ itu sudah hilang makna, kerana Din sudah mengabaikan makna ‘tak’ tersebut. Ia mengingatkan saya kepada frasa ‘no means no’. Dalam posisi ini, Sofia perlu guna perkataan lain dan perkataan yang digunakan ialah ‘haram’. Ia make sense dengan cerita ini di mana Din ialah bekas ustaz. Ia trigger suatu kefahaman bawah sedar Din, bahawa haram bermakna tak boleh. Makna yang sama, di-refresh dengan taktik penggunaan perkataan.

Situasi Sofia lakonan Fara Kafli ini terasa taktikal sebab ini garapan pertama yang saya lihat Sofia berjalan tinggalkan pentas selepas mengucapkan, “Haram.” Tiga sebelum ini, semua aktor firm di posisi masing-masing, jadi ia beri sensasi berbeza.

Ridhwan Saidi

p/s: Jika saya direct Brokoli di masa depan... segalanya masih belum dibayangkan.

Selasa, Ogos 28, 2018

Catatan Pengantin, Freestyle!

Dalam entri sebelum ini saya ada cerita tentang bagaimana untuk tamatkan sesebuah play, iaitu dengan kata-kata atau aksi. Dalam konteks skrip Pengantin, Freestyle! ia tamat dengan kata-kata, “Sebab awak buat saya gembira” oleh watak pengantin yang diseksa, setelah melihat watak penyeksa sedang terseksa secara batin. Jika di dalam black box, ia boleh ditamatkan dengan lampu itu terpadam dan segalanya jadi gelap. Itu satu cara, jika seluruh pace performans ini menjurus ke arah ayat terakhir ini (sewaktu Qiu Qatina direct dulu, masih ada gerakan di hujung kisah selepas ayat tadi diucapkan, kerana kita sedang regangkan masa.)

Dengan Pengantin, Freestyle! di YSDAF 2018, ia outdoor dan terbuka, dan kami diberikan slot 30 minit. Saya sebagai pengarah sudah tentu akan memaksimakan penggunaan waktu dengan menetapkan pace yang diperlukan. Play ini boleh dibuat dalam 5 ke 10 minit jika versi laju tapi ia terlalu cepat untuk dibuat secara stand alone sebegini. Lebih-lebih lagi dalam suasana festival, audien perlu terkumpul dalam 5-10 minit terlebih dulu, aliran orang yang berjalan perlu terhenti untuk tengok situasi buka panggung, iaitu seseorang sedang melutut terikat dengan kayu, manakala ada lagi seorang sedang cukur jambang di tepi tasik. Perkahwinan sebagai sebuah peperangan.

Oleh kerana ia outdoor dan petang, saya tak boleh black out-kan pentas untuk beri idea ia sudah habis. Saya kena buat ia rasa habis dalam keadaan terang. Macam yin dan yang, watak yang diseksa separuh masa pertama akhirnya menjadi raja sehari dengan juadah lolipop dan persembahan silat eksklusif untuk dirinya (selain dikipas dan dilapkan peluh), manakala yang menyeksa pula akan terseksa merenung ke dalam tasik sambil beri makan ikan dengan roti.

Idea asal saya mahu ia all male casts, supaya ada suatu nuansa aneh dalam suasana perkahwinan/peperangan ini. Ia hanya kemudian saya dapati ia tidak boleh habis secara tiba-tiba, saya mahu masukkan elemen silat pulut asalnya, saya malah tanya hampir ke semua orang jika mereka boleh buat silat pulut. Ia kebetulan saya temui Nyna Roslan yang ada belajar silat, dan meski ia bukan silat pulut, tetapi silat tari yang dipersembahnya, yang mana buat ia makin lembut dan menarik.

Sewaktu latihan silat ini berlangsung, Nyna tidak dapat bergerak dengan lancar kerana tiada rentak bunyi untuk bertindakbalas. Maka dengan itu saya beli sebuah kompang comel, dan Nurul Aizam masuk untuk main kompang. Idea saya yang asalnya mahu buat all male casts, kini saya sedari ditutupi dengan dua elemen ekstra iaitu silat dan bunyi kompang yang dimainkan oleh dua orang perempuan. Ia entah mengapa terasa lebih tradisional dan etnik kreatif, meski bentuknya kontemporari dan rempit.

Tanpa lampu dan kegelapan, saya menggunakan elemen bunyi (kompang) dan aksi (silat). Pace ini bertaut kembali dengan pace permulaan play ini yang tenang dan makan masa, watak pengantin/askar yang diikat pada kayu itu dibiarkan untuk mengharungi satu durasi. Kesunyian di awal kisah, diimbangkan dengan degup kompang dan gerak silat di akhir kisah.

Ridhwan Saidi

Ahad, Ogos 12, 2018

Catatan Ringkas Tentang Teater Modular dan Teater Normcore

Dengan Teater Modular posisi saya berat sebagai playwright, di mana saya tulis dan seronok lihat orang lain direct teks saya. Dengan Teater Normcore pula, saya dapati posisi utama saya lebih berat sebagai seorang pengarah, meski saya juga penulis skrip. 

Normcore lebih kepada cara saya mengarah, ia melibatkan estetika, apa yang saya rasa bagus dalam medium teater. Ia satu pengalaman penuh. Februari lalu ia double bill dua teater sebabak iaitu Tiada Cinta Selama Muda dan Matinya Seorang Birokrat. Ia tidak pendek seperti playlet yang perlu digabungkan 4 playlet bagi satu pertunjukan penuh yang berdikari. Berdikari di sini dalam erti kata show yang dibikin sendiri dan terasing, tak seperti festival (misalnya) di mana akan saya direct satu playlet Modular tetapi ia akan berkesan kerana ada pertunjukan lain yang berlangsung. Pengalaman audien lebih meriah dan penuh.

Kenapa perasaan show penuh ini penting kerana, setakat teater yang telah kami bikin sebelum-sebelum ini, kita ada mereka yang road trip dari Pahang, naik kapal terbang dari Penang, naik bas dari Negeri Sembilan, singgah ambil adik di Melaka sebelum ke show kami. Dengan pengetahuan ini bahawa ada orang sanggup datang jauh-jauh, saya sebagai produser perlu beri suatu pengalaman yang memuaskan dari segi regangan masa itu. Ia perlu cukup panjang untuk beri kepuasan penuh. Di bawah satu jam tak cukup untuk saya. Kerana itu juga sentiasa saya kekalkan sesi bual santai selepas show, sebab saya tahu ada orang yang datang dari jauh. Supaya mereka boleh rilex kaki. Semoga jarak masa ini membuatkan perasaan mereka yang berkelana terisi.
Saya ada skrip baru adaptasi dari novel iaitu Stereo Genmai yang saya fikir selari dengan estetika Normcore ini. TEATER NORMCORE: STEREO GENMAI. Ia play dalam dua babak. Meski awalnya saya fikir Normcore ini siri teater sebabak, tapi saya fikir, selagi saya direct dan tulis, yang menghasilkan sesuatu yang full length 70 minit ke atas, ia automatis masuk dalam fasa Normcore saya.

Tak macam Modular yang lebih kepada sistem bagi siri 13 playlet yang saya tulis. Normcore ialah satu fasa di mana cara fikir saya dalam tempoh 5-10 tahun ni rasanya akan sama. Kalau saya pelukis, stroke saya di atas pentas ialah Normcore ini. Apa pun cara, teknik, skil dan framework pengarahan saya akan termaktub di dalam fasa yang dipanggil Normcore ini. Ia secara semulajadi akan terbentuk dan sekali gus proses pembelajaran saya dalam medium teater. Jika ada orang tanya saya belajar teater di mana? Saya akan jawab di Normcore, dan saya baru je enroll tahun ni.


Ridhwan Saidi

Selasa, Ogos 07, 2018

Dua Cara Menamatkan Play Anda

1
Ada dua cara untuk tamatkan play anda iaitu: 1. kata-kata, dan 2. aksi. Sebagai playwright saya dah guna dua-dua cara. Kita akan guna playlet-playlet dari Teater Modular [set 3] awal tahun itu hari sebagai contoh. Kita ada Erti Mati dan Sesuap Kaseh yang berakhir dengan aksi manakala Kurator Dapur dan Hotel Berdarah yang berakhir dengan kata-kata (saya tak tulis stage direction atau apa-apa lepas tu.)

Dalam Erti Mati saya tulis Tsabur berjalan pergi tinggalkan Izrail bercahaya di atas pentas. Dalam Sesuap Kaseh pula Latifah suap mee kuning goreng ke dalam mulut Ghazali. Dua-dua saya berikan aksi dalam skrip. Watak-watak ini perlu berhenti bercakap, dan hanya buat aksi ini untuk tamatkan cerita.

Dua skrip berikut pula habis dengan ayat (sama ada dialog atau monolog). Dalam Kurator Dapur ia tamat dengan watak Isteri menyatakan, “Apa yang di dalam… siapa yang tahu?” Dalam Hotel Berdarah pula watak Suami menyatakan, “Waktu mula-mula kita bercinta. Mengidam pun ada.” Ia boleh fade out dan black out selepas ayat-ayat ini dilafazkan. Ini apa yang saya garap sebagai playwright. Playlet ini boleh habis dengan baik, jika ia digarap untuk menjurus ke lafaz ayat terakhir ini, untuk beri kesan mendalam.

Tapi sebagai pengarah Hotel Berdarah, saya memilih untuk tamatkan ia dengan aksi. Meski ia tak setia dengan teks, tapi saya yakin ia selari dengan semangat yang teks ini ingin bawa. Dalam erti kata, walau pun saya tambah, ia kembali sokong semangat teks asal.

Garapan yang saya buat beri sedikit cahaya kepada watak Suami yang tak bersalah dan berkerusi roda ini. Saya percaya kalau ia tiba-tiba black out atau habis, tanpa aksi yang saya buat, playlet ini akan jadi lain macam atau ada benda serba tak kena. Untuk ia habis sebegini rupa, pace-nya barangkali kena dilajukan sikit, dan nadanya perlu lebih comedic. Yang saya bawa tempoh hari, menjurus kepada unsur melodrama, dan kerana itu suami ini berkerusi roda. Ia perlu ditamatkan dengan sedikit kesunyian, tanpa kata-kata dari para karakter. Dalam skrip, bila black out ia beri makna kematian. Di sini sebagai pengarah saya menggambarkan kematian tersebut dengan lampu masih terbuka.

Ia buat saya terfikir, ia sentiasa okay jika kita tambah aksi untuk simpulkan kembali sesebuah play, tapi kalau kita tambah kata-kata seperti dialog, ia akan ubah seluruh teks. Misalnya dalam Sesuap Kaseh, selepas Latifah suap mee kuning goreng ke dalam mulut Ghazali, lalu mereka berdua pun cakap, “Ilevyu,” dan seorang lagi balas “Ilevyutu.” Ia akan kacau dan ubah keseluruhan teks. Maka sebagai pengarah, kita cuma ada satu pilihan, iaitu untuk berhenti di mana kata-kata di dalam skrip berhenti. Hanya olahan aksi boleh kita garap, untuk kembali menyokong teks (jika perlu).

2
Dalam Mautopia, antara draf akhir, dari segi struktur yang perlu saya pilih ialah untuk habiskan ia dengan kata-kata atau pun aksi. Mula-mula ia berakhir dengan monolog Ibu yang bercakap tentang cupcake berisi paku. Monolog ini kena power sebab asalnya ia monolog terakhir untuk tutup play ini. Habis monolog lalu ia boleh terus blackout. Tapi entah kenapa saya merasakan ia terlalu theatrical dan didaktik untuk tamatkan play yang panjang ini dengan monolog. Ia terasa konvensional. Maka dengan itu saya alih monolog ini ke depan sikit, sebelum segala huru-hara berlaku di Bukit Famosa. Watak Ibu yang selamat dan buta, dan berada di luar Bukit Famosa ini, merestui perjuangan anaknya Kamariah (meski dia tidak tahu apa yang dah jadi kepada Kamariah).

Dalam situasi akhir kita ditinggalkan dengan kedua watak Ustaz dan Guru Disiplin yang curiga apa perkataan seterusnya yang akan diharamkan oleh Guru Besar selepas mereka pupus. Mereka memasukkan pisau ke dalam diri mereka dan rebah bersama gelimpangan mayat lain. Skrin memaparkan perkataan terakhir yang diharamkan Guru Besar. Ia jadi yang terakhir sebab paradoks: Haram diharamkan.

3 
Dengan Teater Normcore: Double Bill ia ada dua-dua. Dalam Tiada Cinta Selama Muda kedua watak ini seakan ingin berpegang tangan tapi tak sampai, sebaliknya mereka menyentuh tugu percintaan yang dibina. Dalam Matinya Seorang Birokrat pula, ia berakhir dengan monolog watak Birokrat yang mendapat inspirasi untuk berlakon teater. Barangkali ia buat saya rasa seimbang untuk ada kedua-dua jenis penamat, aksi dan kata-kata.


Ridhwan Saidi

P/s: Aksi tak semestinya kena ada gerakan. Misal kata aktor berdiri dan diam hanya pandang lantai selama 5 minit, sebelum lampu ditutup dan show habis. Itu juga dikira aksi. Kata-kata juga di sini tak semestinya dengan bunyi (suara aktor atau rakaman speaker), ia juga termasuk teks yang dipancarkan projektor. Kata-kata merangkumi semua ini.

Jumaat, Julai 27, 2018

Koleksi Buku Sebagai Taman

Seseorang pernah datang ke rumah saya lalu bertanya jika saya dah baca semua buku-buku yang berada di rak. Saya cakap tak. Ia buat saya terfikir jika ada orang yang punya koleksi buku dan telah membaca kesemuanya. Ia tak sepatutnya begitu.

Kalau kita dah baca semua buku, dan buku-buku itu terkumpul di satu tempat, seluruh kawasan itu akan beri impresi macam stor, atau benda yang dah lepas. Ia secara halus menjarakkan kita dengan buku-buku tersebut. Kerana itu sentiasa perlu ada buku yang belum dibaca, supaya bila kita mendekati rak, kita tau ada buku yang belum dibaca, dan dalam masa sama kita punya potensi untuk selak dan baca kembali buku-buku yang telah kita baca.

Membaca ini juga satu tindakan yang luar biasa. Untuk setiap buku yang dibaca, ia tak dibaca dengan energi yang sama. Tak selalu diri kita in sync dengan buku tersebut. Ada kala kita paksa diri kita untuk baca dan hasilnya biasanya tidak begitu memuaskan. Maka, waktu yang lebih baik perlu ditunggu, agar satu hari nanti buku itu akan bercakap dengan kita.

Hubungan buku dengan kita kompleks. Ada percakapan tersembunyi di dalamnya. Meski pun kita sebagai pembaca lebih bertindak sebagai otoriti, yang mana kita berkuasa untuk pilih buku apa yang kita nak baca, tetapi jika terlalu memaksa, ia akan memudaratkan bukan buku itu, tetapi diri kita sendiri. Buku tak seperti manusia lain, bila kita impose power, kita yang terseksa.

Koleksi buku ibarat taman. Taman itu tak semestinya luas, poinnya di sini ia di-curated (sama ada kita suka atau tidak dengan istilah ini). Seperti memilih pokok di nursery, ada banyak faktor kenapa kita pilih pokok atau buku itu untuk dibawa pulang ke rumah. Apa yang ada di rumah kita, memantulkan potret diri kita.

Pokok boleh mati dan dibuang, manakala buku tidak akan mati, ia cuma tidak akan dibaca. Tidak pasti jika ada orang buang buku (sudah tentu ada), tetapi biasanya ia diberi atau dijual, kerana kita tahu ia masih boleh dibaca dan dinikmati oleh orang lain tidak kira berapa usia buku tersebut. Jika buku itu sudah berusia ratusan atau ribuan tahun, sudah tentu ia sudah jadi artifak sejarah dan fragile. Tapi jika ia masih dalam lingkungan puluhan tahun (dan dalam kondisi elok: dalam erti kata ia masih terjilid dan tidak terburai) buku sentiasa boleh dibaca. Jika bukan oleh generasi hari ini, tentu generasi masa depan.

Tidak semestinya juga koleksi buku kita sebesar pustaka. Kuantiti, meski beri impresi yang gah sekilas pandang, dan terutama di dalam foto, tetapi sama penting juga jenis dan kualiti buku-buku tersebut. Kualiti ini bukan dari segi nilai baik buruk satu-satu buku tersebut. Kualiti di sini dalam konteks variasi bahan bacaan yang kita ada—range apresiasi kita.

Ia bermula dengan bahasa. Kebiasaannya kita menyimpan lebih banyak buku-buku yang boleh kita baca. Buku-buku yang asing bagi kita, tak bermakna untuk kita selagi dalam hidup ini kita tak kuasai bahasa tersebut. Saya ada banyak buku foto Jepun. Ia bergambar jadi saya boleh nikmati visualnya, tetapi teks yang disertakan di luar penguasaan bahasa saya.

Buku juga ada banyak bentuk dan pengisian. Pelbagai genre novel, bentuk puisi, cabang ilmu, dan tak hanya ia saling berbeza, kadang-kala ia saling bertindan. Buku bantu diri, manual pengguna, foto-foto, ilustrasi, tentang masa lepas, tentang masa depan, sesuatu yang topikal, sesuatu yang ketinggalan, ramalan.

Adakah untuk baca cuma satu jenis buku membuatkan ia ibarat kita percaya kepada satu dogma dan ideologi? Kerana itu seorang pembaca kena terbuka. Apresiasinya terhadap kepelbagaian ini perlu dirai. Jika buku benar sebuah taman, maka pokok-pokok pilihannya perlu beraneka. Ada kaktus yang tajam, ada periuk kera yang karnivor, ada mawar yang harum, ada bunga kertas yang merebak, ada pokok cili yang pedas, ada split leaf philodendron yang hipster, ada bunga matahari yang memandang cahaya, ada buluh yang miang, ada lumut yang licin, ada lidah buaya yang elok untuk kulit, wajah dan rambut… dan seumpamanya.


Ridhwan Saidi

Rahsia menulis skrip teater dan novel yang bagus

“The life of every individual, if we survey it as a whole and in general, and only lay stress upon its most significant features, is really always a tragedy, but gone through in detail, it has the character of a comedy.” – Arthur Schopenhauer, The World As Will And Idea 
“Life is a tragedy when seen in close-up, but a comedy in long-shot.” – Charlie Chaplin

Untuk belajar menulis, usaha lebih perlu dibuat oleh penulis itu sendiri. Saya tak percaya tunjuk ajar dari orang yang lebih hebat boleh membuat seseorang penulis baru itu jadi bagus. Malah, dalam situasi ini, yang lebih banyak belajar ialah orang yang mengajar tadi. Orang yang mengajar ini yang belajar lebih dari mereka yang naif dan ingin belajar ini. Walau bagaimanapun, dalam satu tempoh yang panjang, hasil pertemuan ini akan datang kembali kepada si pelajar naif tersebut bila dia akhirnya tangkap apa yang dipelajarinya. Pelajar itu tak boleh terus tangkap waktu kelas/pertemuan sebab ia perlu ambil masa untuk diproses sepanjang tidur dan jaganya. Ia perlukan renungan yang dalam.

Di sini akan saya kongsikan tiga unsur yang pada saya penting dalam usaha seseorang penulis itu untuk menghasilkan skrip teater yang baik. Sebenarnya ia agak rambang dan boleh digunakan terhadap penulisan novel juga. Tapi saya akan cuba beri fokus lebih kepada skrip teater dan gunakan konteks teater andai perlu beri contoh (jika ada).

Dua perkara pertama yang mesti ada dalam membuatkan naskah anda ada beban/weight ialah unsur falsafah dan puisi. Dua hal ini berlawanan tapi dihubungkan padang yang sama. Menariknya kedua unsur ini ialah ia ada banyak variasi. Dan setiap variasi ini akan terhubung kembali dengan diri anda. Hasil kombinasi dua unsur pilihan ini juga akan membuatkan ia beri getaran unik.

Bila saya sebut falsafah di sini, ia bukan teori atau hal-hal teknikal, tapi rasa cinta terhadap pengetahuan, renungan dalam, dan betul-betul memahaminya serta ia benar terpancar di dalam realiti kehidupan. Sebagai contoh kita boleh ambil falsafah Marxisme (yang ada pelbagai mahzab dan gelombang), tapi yang penting di sini, anda benar-benar nampak manifestasinya dalam kehidupan seharian anda. Anda betul-betul nampak percanggahan kelas sosial dan seumpamanya. Anda tak perlu terlalu obses dengan teori dan kritikan yang telah dilemparkan ke atasnya. Sudah tentu lebih baik jika anda up to date dengan teori falsafah semasa, tapi sebab kita bincang ini dalam konteks pengkarya Malaysia, saya fikir apa-apa falsafah pun penting, buat masa ini, sebab rata-rata karya kita kering unsur ini. Falsafah ini juga tidak perlu terasing dari agama. Jika anda alim, anda boleh gunakan unsur falsafah dalam agama yang anda anuti.

Ini akan bawa kita ke unsur kedua iaitu puisi. Unsur falsafah dalam agama biasanya tak lari jauh dari elemen puisi ini. Tetapi jika kita ambil puisi sebagai puisi, kita juga ada pilihan yang banyak. Tentu ada puisi yang berjaya buat anda tersentuh bila membacanya. Jika anda suka puisi konkrit misalnya, maka ambil semangat puisi konkrit ini. Untuk lebih spesifik, pilih satu penyair atau terus ke puisi tersebut (atau anda juga boleh pilih bentuk puisi jika mahu: soneta, syair, terza rima, blank verse, etc...). Jika anda minat puisi romantik misalnya, siapa atau apa pilihannya? Puisi-puisi ini akan beri rentak dan unsur muzikaliti dalam naskah anda tanpa anda sedar. Ia tentang getaran. Untuk alami ini tiada jalan lain selain anda rasai sendiri via pembacaan terhadap karya-karya puisi yang menggerakkan anda.

Dengan dua unsur tadi kita gabungkan. Kita ada Marxist konkrit, dan kita ada Marxist romantik. Kedua-dua ini, oleh sebab nuansa puisinya berbeza, akan beri kesan akhir yang berbeza terhadap karya kita. Misalnya kita tak guna Marxisme dan pilih Groucho-Marx pula, ia jadi Groucho-Marxist konkrit dan Groucho-Marxist romantik atau jika kita pilih Hang Kelubi, ia jadi Hang Kelubi konkrit dan Hang Kelubi romantik.

Apa yang cuba saya gambarkan masih di level superfisial, sebab anda kena dalami sendiri asas falsafah apa, dan puisi apa yang dekat dengan diri anda. Dan tidak semestinya anda perlu majmukkan kedua-dua unsur ini dalam bentuk kata-kata seperti yang saya buat di atas. Yang penting, anda tahu jauh di sudut hati anda, pemikiran yang bagaimana sedang membelenggu kepala anda ketika sedang bikin naskah tersebut (falsafah) dan perasaan apa yang bermain di dalam jiwa anda ketika itu (puisi).

Bila kedua elemen ini bertemu di dalam tubuh anda, naskah anda secara asasnya, sudah ada daya yang bergoncang. Secara falsafahnya jika anda meyakini feminisme (yang ada pelbagai mazhab dan gelombang), ia kombinasi dengan puisi yang akan buat garapan anda unik. Misal kata anda suka puisi konfesi a la Sylvia Plath, maka gabungan itu akan jadi feminisme konfesi. Jika anda dapati ramai kawan-lawan anda guna output dengan perasaan ini, maka anda cuma perlu pilih puisi lain agar ia dapat beri lebih warna kepada unsur falsafah yang ingin dibawa. Feminisme pantun misalnya.

Di sini, lebih rinci dalam sesuatu falsafah tersebut, maka lebih unik ia akan jadi. bell hooks pantun misalnya atau, Laura Mulvey konfesi misalnya. Ia akan buat esensi naskah anda lebih berwarna di mana letak duduknya dalam spektrum lebih kaya.

Sekali lagi perlu saya tekankan, contoh-contoh yang saya beri ini sekadar nak memperjelaskan maksud saya bila anda perlukan suatu unsur falsafah dan satu unsur puisi dalam proses pengkaryaan anda. Sudah semestinya dalam proses ciptaan sebenar ia amat kompleks hingga buat kita kabur dan tak boleh tidur.

Saya harap contoh-contoh di atas cukup jelas sebab unsur ketiga yang akan saya kongsikan ini lebih sukar untuk dibuat contoh. Unsur ketiga ini ialah sense of humor. Tak seperti dua unsur falsafah dan puisi di mana kita boleh dalami ia secara pembacaan. Kepekaan terhadap unsur lucu ini, meski ada dalam pembacaan, juga ada dalam kehidupan seharian. Lain orang lain cara ia melihat humor. Tapi poinnya di sini, agar kita tak terhad dengan satu-satu jenis humor. Humor seperti warna ada spektrumnya yang tersendiri dari jenaka yang dingin ke jenaka yang hangat. Ada humor yang boleh didesain, dan ada yang datang tanpa diduga. Ia berbalik kepada kepekaan kita sebagai manusia.

Poin kenapa anda kena ada unsur ketiga ini ialah agar anda dapat kecapi apa yang dipanggil joy/nikmat yang profound/mendalam. Malah di dalam despair/putus asa yang paling tulen, perlu ada unsur ini kerana ia akhirnya satu dan sama. Ia persis tragedi dan komedi.

Unsur ketiga ini yang paling rare/langka untuk ditemui dalam naskah-naskah teater atau novel di Malaysia. Sebelum anda tiba ke sini, dua unsur pertama iaitu falsafah dan puisi perlu anda dalami terlebih dahulu, moga insyaallah, anda akan dapat garap nikmat terdalam yang terkandung di dalam setiap butir kata-kata. All hail sastera!


Ridhwan Saidi

Jumaat, Julai 13, 2018

Tiada Penyesalan

1
Antara komen yang kerap saya terima tentang teater, filem dan novel saya ialah karakternya tidak menyesal: tiada rasa regret. Dengan novel ia seawal CEKIK dan saya masih ingat ia dikatakan oleh Bissme, manakala yang terakhir jika tidak silap sewaktu soal jawab Teater Modular [set 3] ada satu komen dari audien tentang playlet Hotel Berdarah. Katanya karakter saya tiada regret. Ia satu kenyataan dan barangkali persoalan juga? Dan reaksi saya ialah, saya tak tahu nak cakap apa.

Ia tidak dipelan dari awal atau saya ada kesedaran tentang konsep penyesalan ini sewaktu menulis/membuat. Ia secara bawah sedar dan cara saya lihat dunia barangkali begitu.

“Kematian mencuri cahaya dari mataku.” – Georges Bataille

Baru-baru ini saya banyak baca/ulangbaca buku, sempena Ramadan, Bataille, Lautreamont, Schopenhauer, Racine, Walter Benjamin, Barthes, Blanchot, Hikayat Hang Tuah, William T. Vollman, Ousmane Sembene, Tanizaki, Euripides dan Nietzsche antaranya… dan dengan Nietzsche ini ia membawa kita kepada eternal recurrence. Kata kunci ini sudah saya pelajari waktu kelas falsafah di universiti dulu cuma saya tak benar-benar sedar atau ambil peduli sangat ia fasal apa. Ia hanya baru-baru ini, saya dapati ia akan bertaut kembali dengan perasaan no regret dalam karya-karya saya di atas.

Eternal recurrence ini buat yang tak tahu ialah, untuk membayangkan apa yang akan kita buat dalam hidup ini akan berulang secara abadi. Setiap rinci dan bau dan situasi, sakit manis, kawan dan lawan dikembalikan dari kehidupan lepas. Ia telah berlaku. Apabila kita mati, kita akan hidup balik untuk lalui semua benda yang telah kita lalui (sampai bila-bila). Dengan kesedaran ini, ia akan buat kita mahu hidup sehidup hidupnya (tanpa penyesalan). Amor fati muncul di mana kita berserah dan mencintai takdir hidup kita. Jika kita menyesal, ia bukan saja kita menyesal untuk perkara yang baru je lepas, tetapi juga terhadap masa hadapan. Ia bermakna kita menyesal terhadap seluruh kitaran kehidupan dan semua kewujudan diri kita. Mengapa pilih itu jika kita boleh pilih kegembiraan dalam apa jua spektrum dan skala sekali pun?

2
Ia semacam ngam bila eternal recurrence ini diperlakukan kepada karya seni, sebab karakter-karakter dalam filem dan novel, memang akan diulangtonton dan diulangbaca dengan nasib/takdir mereka yang serupa. Rakaman dan teks konkrit dan kekal. Ia hanya dengan teater, bila diulanglakon ada sedikit perubahan di sini dan sana, kerana bila ia dihidupkan kembali, ia dihidupkan dengan campuran visi, pemikiran, nafsu, perasaan dan keghairahan berbeza.


Ridhwan Saidi

Selasa, Julai 10, 2018

Apresiasi Teater: Dari Art Terox ke Gagal Terox

Apresiasi saya terhadap teater datang dari banyak medium antaranya filem dan arsitektur, yang saya dapati adakala kepekaan ini tidak dipunyai oleh mereka yang hanya bergiat dalam bidang teater. Contohnya dalam filem kita ada filem-filem yang pulpy dan thrashy dan teruk gred Z dan meraikannya (jika di Malaysia cuma Wayang Budiman meraikan estetika ini, kelab dan tayangan filem lain biasanya art terox). Ada charm tertentu dalam suatu hasil yang sekilas pandang teruk (bukan dalam erti kata kita gelak sinikal terhadap teknologi/teknik masa lalu, tetapi benar-benar menikmatinya).

Dalam filem juga lakonan yang cold dan deadpan diraikan tetapi dalam teater ia seakan lebih dramatik dan over dan basah tangisan seorang pelakon ia akan dianggap bagus meskipun ia sebenarnya tak membawa kesan secara menyeluruh. Robert Bresson elak guna istilah ‘pelakon’ dan guna ’model’ untuk filem sebab nak mengelak dari keterlebihan unsur lakonan ini. Untuk jadi model fesyen misalnya, tak memerlukan model itu untuk berlakon secara berlebih-lebihan, sekadar pose, dan ini antara elemen yang saya ingin (dan telah guna) dalam teater-teater saya. Lakonan kaku dan kayu, jika boleh mencairkan emosi bukankah lebih baik dari lakonan realistik yang tak beri apa-apa kesan (selain cuba untuk extract unsur sentimental dalam diri kita yang toksid?)

Sengaja saya guna perkataan toksid di sini sebab dewasa ini semua orang suka guna perkataan ini, cuma dalam konteks sentimental itu, saya memaksudkannya. Sekali-sekala bersentimental okay, tapi kalau selalu sangat, lebih-lebih lagi dengan cara dan terhadap benda yang sama lagi klise, seperti bersentimental terhadap kampung, ibu bapa, cikgu, etc… jenuh juga dibuatnya.

Malah ada tanggapan bahawa lagi banyak gerakan laju, lagi penuh pentas, dengan bunyi dan lampu dan warna, akan membuatkan audien tidak boring, yang sekali lagi tidak benar. Stillness, silence, slowness dalam teater jika ia dibawa dengan emosi yang betul dengan lapisan cerita yang betul, akan beri kesan dan fokus yang mendalam terhadap audien (sudah tentu tak semua, tetapi audien tersayang yang mahu kita hubungi). Elemen-elemen ini akan buat ia lekat, sebab kita perlukan durasi masa untuk ia tertangkap ke dalam minda. Walau bagaimanapun ia perlukan penguasaan, keseimbangan dan keyakinan, sebab kalau gagal ia akan bak kata pepatah, gagal terox.

Ridhwan Saidi

Selasa, Jun 26, 2018

Kritikan | Teater | Buku

1
Dengan teater kritikan perlu ditulis terus sejurus selepas mengalami/merasai pementasan. Ia boleh tahan lama sikit dalam sebulan dua, tapi kalau lepas setahun baru kita mula nak tulis pasal teater yang kita tonton tadi, ia sudah dicampuri pengalaman dan perasaan lain. Kita hanya ingat apa yang kita nak ingat. (Ini berkesan jika kita ingin petik-petik kembali pengalaman teater kita yang sudah, cuma kritikan yang saya maksudkan dalam esei ini lebih menjurus kepada kritikan berfokus, di mana kita tulis esei tentang satu-satu performans tersebut.)

Untuk menjadi pengkritik teater (yang konsisten), ada had masa untuk kita tulis tentang pementasan tersebut. Jika ia lama ditinggalkan, dan kita tulis juga tentang teater tersebut, biasanya ada aspek tertentu yang mengganggu atau menyenangkan kita. Kita lebih fokus kepada aspek tersebut, dan sudah ingat-ingat lupa seluruh rinci pementasan. Ia tak lagi tentang pementasan itu, tetapi sebaliknya tentang diri penulis dan memorinya yang sudah dijernihkan.

Ini berbeza sama sekali dengan buku. Buku sentiasa boleh diakses. Kita boleh kritik buku yang sudah berusia ratusan atau ribuan tahun dan kita juga boleh kritik buku yang baru diterbitkan semalam atau minggu lepas. Buku-buku yang diterbit sentiasa terbuka kepada kritikan.

Cuma ia menjadi seperti teater tadi, di mana pengkritik itu lebih afdal untuk tulis kritikannya sejurus selepas habis baca buku tersebut. Paling lama dalam sebulan dua. Jika ia ditinggalkan selama setahun misalnya, pengkritik itu patut ulang baca sebab jika tidak ia jadi sama macam kes teater di atas: pengkritik akan berfikir secara retrospek—kritikan itu bukan lagi tentang buku tersebut tetapi tentang diri penulis dan memori jauhnya.

Diri dan memori penulis ini bukan benda utama yang saya rasa penting dalam kritikan sebab kita sudah sedia maklum bahawa ia tak boleh dipisahkan dari kata-kata.

Semua tulisan berasaskan memori. Cuma memori yang lama dan jauh ini biasanya akan dijernihkan imaginasi. Bila kita cuba ingat balik ingatan lama, imaginasi akan datang sekali untuk beri sokongan. Ia tidak salah dengan kaedah ini dan malah ia wajar dilakukan oleh mereka yang menulis fiksyen atau puisi. Cuma dalam konteks kritikan, saya fikir campur tangan imaginasi itu tidak perlu terlalu deras, kerana medium yang digunakan esei. Tidaklah bermakna di dalam esei imaginasi tak boleh digarap, cuma di sini saya merasakan kejelasan fikiran patut yang terkuat.

Kejelasan apa yang dicakap lebih utama, daripada bagaimana ia dicakap (bagaimana ini akan bawa kita kepada stail dan keperibadian penulis). Sebab poin kita berhujah dan beri argumen adalah untuk meyakinkan pembaca, maka ia perlu lebih berjejak dengan bukti-bukti yang tertera di dalam teks. Bagi teater sudah tentu bukti itu sudah ghaib.


2
Kritikan biasanya dianggap sebagai ‘critic’ atau ‘criticism’ yang selari dengan pandangan atau tohmahan negatif, tetapi yang saya maksudkan ialah ‘critique’ iaitu satu bentuk penilaian. Ia agak saintifik. Sebab kalau sekadar nak critic semua orang boleh kritik, tapi untuk critique tak semua orang boleh kritik, sebab ia memerlukan keriangan sains. Keriangan sains ini bukan tahap mata pelajaran sains di sekolah, tetapi minda yang cerah, rasional dan boleh susun argumen. Di peringkat tertinggi, ahli falsafah guna puisi untuk kukuhkan hujah bila mana orang biasa-biasa gunakan fakta.


3
Kita boleh ulang baca buku. Dengan teater, andai kata jika ada restage, jika pengkritik yang sama pergi ke versi restage untuk kali kedua, dia tidak boleh lari dari membanding-bandingkan kedua-dua pengalaman teaternya. Sebab untuk setiap performans teater, ia sentiasa berubah dan berbeza. Teater alaminya organik.

Buku pula andai kita ulang baca ia dua, tiga atau berapa kali sekali pun, meski perasaan dan pengalaman kita berbeza, tetapi isi buku itu tetap sama. Dan poin kritikan adalah untuk bercakap lebih tentang buku tersebut daripada mengenai diri pengkritik, walaupun secara tidak langsung diri pengkritik sudah terdedah dan dibogelkan kata-kata.


Ridhwan Saidi

Jumaat, Jun 22, 2018

Tentang Cekik, Yukio Mishima & Haruki Murakami

Saya beli novel-novel Yukio Mishima sekali bundle dengan Haruki Murakami. Saya belum pernah baca werk kedua-dua novelis ni, kecuali bab pembukaan THE WIND-UP BIRD CHRONICLE yang saya gunakan untuk pembukaan novel CEKIK. Ada tiga unsur seingat saya, yang saya gunakan. THE WIND-UP BIRD CHRONICLE, THE STRANGER (Albert Camus) dan satu lagi yang saya lupa (holy Sophocles!)—masih saya ingat selama dua tiga bulan saya terkial-kial nak tulis novel pertama saya. Selama dua tiga bulan itu saya menghadap skrin kosong, atau kalau ada pun deret-deret ayat yang kerap kali dipadam. Saya tiada idea apa kejadah yang patut saya tulis. Saya juga tak dekat dengan medium novel. Saya hanya pelan-pelan baca novel selepas menulis novel. Maka saya belek buku-buku yang saya ada, dan buku-buku di kedai buku. Saya cuma baca bab pembukaan saja. Saya cuma nak tau macam mana nak mulakan novel.

Dengan THE STRANGER saya tahu watak Syed Warith akan dapat berita tentang kematian bapanya di kampung. Dan dengan THE WIND-UP BIRD CHRONICLE saya suka adegan pembukaan memasak pasta sambil pasang lagu itu, dan dalam konteks CEKIK saya guna lagu Decorate nyanyian Yuna (versi versi 2 minit) untuk disamakan dengan durasi masak mee Maggi. Adakah ia homaj, parodi atau pastiche? Yang pasti dua (atau tiga!) elemen ini diremix sebagai adegan pembuka. Jadi dengan adanya adegan pembukaan yang simpel ini, saya sudah ada titik mula. Saya cuma perlu sambungkan ia ke titik akhir yang saya dah tahu.


Ia hanya baru-baru ini saya baca THE WIND-UP BIRD CHRONICLE dan saya suka. Dalam bundle yang saya beli ada DANCE DANCE DANCE dan KAFKA ON THE SHORE. DANCE ada memenuhkan imej-imej bersifat kemimpian yang saya temui dalam WIND-UP. Ia buat saya percaya yang Haruki Murakami pernah tanam kucingnya yang telah mati di bawah sebatang pokok. Atau jika tak pernah, imaginasinya benar.

Selepas membaca ketiga-tiga novel Murakami ini, saya letak WIND-UP paling hebat, diikuti KAFKA dan kemudian DANCE. Ia hanya kemudian saya dapati yang KAFKA ON THE SHORE ini pun kuat. Ia tumbuh pelan-pelan dalam fikiran dan jiwa. Ada imejan yang melintas dalam kepala saya—mula-mula saya ingat ia dari WIND-UP, rupa-rupanya ia imej dari KAFKA. DANCE paling rendah dalam korpus Murakami saya takat ni (barangkali ia belum menumbuh dan membesar dalam jiwa?). Walau bagaimanapun, kalau ada penulis Malaysia tulis level DANCE DANCE DANCE ini, ia automatis saya anggap penulis tu power, yang mana setakat ini dalam konteks novel belum saya jumpa.

Labirin hotel DANCE mengingatkan saya kepada dunia David Lynch, terutama ruang hotel BLUE VELVET dan kebetulan sebelum saya mula baca Murakami, saya juga ada tonton siri tivi TWIN PEAKS musim satu dan dua (separuh jalan). Saya percaya Murakami dan Lynch tengah teroka dunia idea-mimpi di waktu yang sama: satu di Jepun, satu di Amerika. Di Malaysia ia hanya dua dekad plus plus kemudian STEREO GENMAI muncul.

Lepas baca Haruki Murakami dan Yukio Mishima back to back, walaupun saya faham dan suka dua-dua, saya lebih gemar novel-novel Mishima. Saya nak beli dan baca lagi novel-novel Mishima, lebih-lebih lagi tetralogi akhirnya (atas saranan William T. Vollman). Untuk Murakami saya nak berhenti baca dulu, dan kalau ada lagi satu judul yang nak dibaca ia mungkin HARD-BOILED WONDERLAND AND THE END OF THE WORLD.

Tiga buku Mishima yang saya dah baca ialah THE SOUND OF WAVES, THE SAILOR WHO FELL FROM GRACE WITH THE SEA dan THE TEMPLE OF THE GOLDEN PAVILION. Dari segi judul ia tak kedengaran hip macam novel-novel Murakami. Walau bagaimanapun perasaan bila membacanya memang puas. Ia paling puas sebab Mishima tau cara nak tamatkan cerita. Ketiga-tiga novel yang saya baca ini punya penamat yang hebat. Penamatnya super tepat persis tikaman samurai.

Tertib bacaan saya kebetulan betul, sebab ia mula dari yang paling ringan ke yang paling liat, yang mana kesemuanya saya amat suka. SOUND OF WAVES ringan dalam erti kata ia kisah cinta coming of age di perkampungan nelayan, antara dua darjat, anak lelaki ni nelayan biasa manakala gadis yang dia suka tu anak tauke pemilik kapal nelayan. Gambaran perkampungan nelayan tu hebat. Yang lelaki akan naik bot atau kapal tangkap ikan di laut manakala yang perempuan menyelam untuk cari mutiara (boleh rujuk Ama pearl divers—ia mengingatkan saya kepada filem TAMPOPO (1985) oleh Juzo Itami). Penuh tenderness dan cinta keremajaan hingga di saat hujung lalu ia jadi firm. 
Petikan filem TAMPOPO yang melibatkan gadis penyelam mutiara.

THE SAILOR WHO FELL FROM GRACE WITH THE SEA pula tengah-tengah. Masih ada unsur laut di mana watak lelaki itu seorang kelasi yang ingin mengahwini kekasihnya seorang janda beranak satu. Watak utamanya lebih kepada budak itu dan kali ini nuansanya mengingatkan saya kepada filem BOY (1969) oleh Nagisa Oshima (yang juga seorang samurai dalam pembikinan filem). Ia tentang budak yang melawan kedewasaan. Ia lebih filosofikal, dan kerana itu ia lebih berat, tapi ia masih berjejak. THE TEMPLE OF THE GOLDEN PAVILION yang akan kita sentuh kejap lagi lebih berat in a sense bahawa ia lebih filosofikal—malah ada karakter yang akan secara literal membincangkan falsafah. Dalam konteks FELL FROM GRACE ini, yang berfalsafah budak itu, dan dia guna bahasa seharian, dan kita rasa macam diorang ni main-main je sebab budak-budak lagi, meski pun diorang serius.

THE TEMPLE OF THE GOLDEN PAVILION paling liat antara tiga novel Mishima yang saya baca. Ia tentang seorang sami yang nak melawan beauty. Ia novel tentang estetik dan arsitektur. Bayangan kuil itu akan sentiasa menghantui watak sami ini, yang sekali lagi melalui fasa coming of age. Tiap kali watak sami tu nak berasmara dengan perempuan, imej kuil itu akan muncul untuk potong stim. Bila fikir balik novel ni lawak juga sebenarnya. Lawak yang saya maksudkan di sini bukan lawak bodoh atau nak merendahkan werk ni, sebaliknya ia lawak terpuji. Ia ada keriangan terpendam yang mendalam. Yukio Mishima ialah novelis kegemaran saya setakat ini.


Ridhwan Saidi

Khamis, Jun 21, 2018

Mencari Ruang Yang Macam Harem

Dua skrip teater dibaca: MEDEA oleh Euripides dan BAJAZET oleh Racine. Dua-dua rasa minimal di mana latar ruang utamanya ada satu. Untuk MEDEA ia di perkarangan luar rumah Medea, dan untuk BAJAZET ia di dalam harem diraja. Jumlah watak pun tak ramai. Tujuh watak untuk MEDEA (termasuk korus) dan sembilan watak untuk BAJAZET.

Harém
1. Tempat tinggal gundik-gundik raja (orang kaya) Arab.
2. Perempuan simpanan penghuni harem.

(Kamus Dewan Edisi Keempat)

Harem sebagai latar menarik sebab kita yang hidup dalam zaman moden ini tidak dipaparkan secara jelas kewujudan ruang ini. Walaupun sebenarnya memang dalam kehidupan istana Melayu lama, konsep harem ini ada (tak hanya ‘orang kaya’ Arab). Ia di mana gundik-gundik dan dayang-dayang diraja tinggal. Jika kita malas membaca, ruang ini ada digambarkan dalam filem-filem Melayu era studio. Yang paling ketara filem DANG ANOM (1962) oleh Hussein Haniff. Ia ruang di mana tak sebarang orang boleh masuk, terutama lelaki. Malah di pembukaan filem ini, anak gadis kampung diculik untuk dijadikan gundik.

Untuk modenkan ruang ini sukar. Kita boleh guna tandas wanita atau koc wanita, di mana ada lelaki masuk, tetapi ia tak cukup risiko. Sebab lelaki asing yang masuk harem ini biasanya akan dihukum bunuh. Paling beri nuansa barangkali jika ada seorang lelaki masuk ke kawasan surau atau masjid bahagian perempuan. Ada ketegangan dari segi sentuhan dan aurat. Aksi menceroboh kawasan ini sudah tentu tak boleh sekadar atas dasar perversion.

Jika kita kembali kepada BAJAZET, ia ada intrig politik. Ceritanya begini, raja Murat ini tengah berperang nak tawan Babylon. Dia tinggalkan Roxane gundik kegemarannya yang menjadi orang kedua paling berkuasa, malah lagi berkuasa dari perdana menteri (bernama Acomat). Selain itu, Murat ini ada tinggalkan seorang adik lelaki Bajazet (adik-beradiknya yang lain dibunuh) just in case kalau dia terkorban dalam perang, darah lelaki keturunannya ada backup.

Jadi dalam harem itu komplot berlaku. Perdana menteri Acomat nak Roxane dan Bajazet kahwin, lalu menjadikan Bajazet raja baru, tanpa pengetahuan raja Murat yang tengah berperang. Acomat ni nak lancarkan pemberontakan. Dia konfiden sebab dia dapat berita yang raja Murat macam nak batalkan serangan atau mungkin akan kalah waktu nak rebut Babylon. Dalam pada itu, Acomat juga nak berkahwin dengan Atalide, salah seorang puteri keturunan Ottoman. Cuma masalahnya Atalide dan Bajazet sedang bercinta. Tragedi yang bakal berlaku anda boleh bayangkan sendiri…

Tapi poinnya di sini ialah, lelaki/outsider yang memasuki ruang terlarang ini, bukan atas dasar nafsu. Harem itu jadi pressure cooker dalam konflik dan spekulasi perebutan kuasa dan cinta!

Play BAJAZET ini dibuka dengan dua watak lelaki iaitu: perdana menteri Acomat dan pembantunya sudah pun berada di harem. Watak pembantu itu jelas tertanya dan takut-takut sebab bolehkah mereka berada di situ? Dalam konteks teater, lakonan saja tak mencukupi sebab sebagai audien kita juga kena faham konvensi ini. Kedudukan mereka dalam ruang itu sendiri sudah bahaya.

Sebagai audien moden, ia buat saya terfikir jika ada ruang sebegini rupa dalam kehidupan seharian kita hari ini.

Dalam THE TRIAL oleh Franz Kafka, ia dibuka dengan seorang lelaki yang baru bangun tidur tiba-tiba biliknya dicerobohi orang/pihak berkuasa. Elemen ini ada saya secara realistiknya (tak absurd dan ngeri seperti rujukan asal) terapkan dalam playlet Korban Bulan Madu di mana pegawai khalwat menceroboh masuk ke dalam hotel murah yang diduduki pasangan yang sudah berkahwin. Ini sebenarnya mendekati apa yang saya ingin dari harem Bajazet tadi. Cuma dalam kes ini, ruang orang biasa-biasa diceroboh penguasa, manakala yang saya inginkan ialah: ruang penguasa (harem) diceroboh orang biasa-biasa.

Satu fikiran yang saya ada ialah, bila kita terjerumus ke dalam mimpi ngeri. Ini mengingatkan saya kepada filem terakhir Stanley Kubrick berjudul EYES WIDE SHUT (1999). Watak Tom Cruise ini termasuk ke dalam orgi dan ritual satanik di sebuah rumah agam. Dia menceroboh masuk ke ruang yang tak sepatutnya dia pergi. Situasi ini seperti harem Racine tadi sudah bercampur dengan kengerian Kafka (tanpa humor). Bukan lagi politikal, kali ini ia lebih psikologikal.


Ridhwan Saidi