Memaparkan catatan dengan label Motorhead. Papar semua catatan
Memaparkan catatan dengan label Motorhead. Papar semua catatan

Ahad, Januari 03, 2010

Fesyen, Seni & Sains

Kita sudah pun memasuki tahun baru kalender Gregorian, 2010. Blog ini juga telah memasuki musim ke-3. (Eh, macam AF pulak, main musim-musim.) Kedatangan tahun baru ini pasti memberi banyak harapan yang berbeza-beza mengikut setiap insan. Ada yang berharap menemui cinta, ada yang berharap mendapat anak, ada yang berharap menukar kereta baru, ada yang berharap berhenti merokok, ada yang berharap mendapat kerja, ada yang berharap naik pangkat, ada yang berharap dapat siapkan 10 skrip filem, ada yang berharap Dubai World tak lingkup, ada yang berharap dapat bercuti di Las Vegas dan kalau saya senaraikan semua harapan manusia maka sampai 2011 pun tak habis.

Tak dapat tidak, kita juga pasti akan melihat tak banyak sikit, fesyen semasa turut berubah pada tahun hadapan. Secara mudah, fesyen ialah gaya pemakaian seseorang. Seseorang individu dapat menterjemahkan sedikit sebanyak karektor peribadi melalui gaya pemakaiannya. Ini bermakna, fesyen juga bahasa atau simbol yang berupaya menghantar makna-makna tertentu berkenaan ciri-ciri peribadi seseorang. Lebong yang menyifatkan fesyen itu mesti selari trend semasa adalah ajaran sesat. Tafsiran fesyen sebegini yang dijulingkan dengan budaya konsumer pada hakikatnya meremehkan fesyen sebagai salah satu fakulti intelektual manusia. Ia sekadar mengecop fesyen sebagai salah satu produk pasaran bebas semata-mata. Kena pakai jenama Prada ke baru dikira fashionable? Damn it!

Untuk melihat perubahan fesyen semasa, kita mesti meleser di jalanan. Di sini lah sebenarnya pelbagai gaya fesyen ‘beraksi,’ bukan di pentas catwalk. Peragaan fesyen tak sama dengan fesyen di jalanan. Alasannya, fesyen mesti praktikal. Yang digayakan di pentas catwalk belum terbukti praktikal selagi ia tak digayakan di jalanan. Biasanya yang membawa perubahan fesyen semasa, atau lebih tepat lagi fesyen jalanan ialah para ‘rock star’ yang sedang hangat di pasaran. Apa yang digayakan oleh ‘rock star’ ini akan cuba ditiru oleh golongan muda yang lain. Ha, tahun ini saja, dijangka fesyen “Glam Rock” akan mendapat tempat. Maka fesyen ini akan menetaskan lebih ramai poser dan mangsa fesyen. Apa alasan saya? Mudah, fesyen “glam Rock” ini pada dasarnya menyebabkan ramai yang tak semena-mena mengaku minat muzik rock walaupun dia tak mengenali Lemmy Kilmister. Gaya ini juga hanya sesuai untuk mereka yang bertubuh kurus dan tinggi. Dalam sejarah ‘rock and roll,’ hampir tiada bintang rock glamor yang bertubuh debab dan pendek. Apapun, fesyen ini dijamin akan mengkayakan para towkey pakaian yang sentiasa terjojol mata menanti peluang keuntungan.

Pun begitu, ada juga golongan lain yang membawa perubahan fesyen seperti bintang bola sepak, bintang filem dan bintang realiti TV. Dipotong jalan, para selebriti yang dijulang bagaikan hero. Kerana itu, pereka fesyen tak mampu menggalas cabaran menukar corak fesyen jalanan golongan muda. Akan tetapi, mereka tetap mendepani perubahan fesyen dunia mengikut jalan yang berlainan yang tidak terlalu terbuka untuk dinikmati oleh segenap golongan muda-mudi. Dengan taktik berlainan, melalui media seperti majalah, atau disarung pada tubuh badan selebriti, pereka fesyen mencuri kesempatan menempatkan rekaan mereka dalam fesyen arus perdana. Masalahnya, fesyen dari majalah ini agak terbatas penggayaannya kerana ia hanya mampu diterokai oleh golongan muda-mudi dari kelas menengah atasan dek kerana kos fesyen sebegini secara relatif lebih mahal. Keterbatasan itu juga disebabkan sesetengah fesyen rekaan para pereka tadi tak sesuai/pratikal untuk dipakai. Fesyen yang tak praktikal ini serupa dengan ruang bangunan yang tak praktikal atau sempit, ia memberi ketidak-selesaan kepada pengguna.

Ramai yang tersilap langkah melihat cara berpakaian yang bagus adalah dengan mengenakan fesyen yang ber-kos mahal. Ini bagi saya dosa paling besar dalam hukum berpakaian yang telah dilakukan oleh manusia moden amnya. Citarasa fesyen juga bersangkut-paut dengan citarasa estetika yang lain meliputi citarasa muzik, filem, sastera, hiasan rumah, makanan dll. Boleh disimpulkan, orang yang memiliki citarasa muzik yang teruk, berkemungkinan besar citarasa fesyennya juga teruk, dan seterusnya. Dan orang yang sentiasa berubah-ubah tanpa hujung pangkal boleh diragui prinsip hidupnya. Mungkin dia sendiri keliru atau tak tahu apa yang diingininya hingga terpaksa menoleh orang di kiri dan kanannya setiap waktu, demi dilihat seirama merdu dengan mereka. Sedang orang yang benar-benar bijak pasti bijak menentukan apakah gaya pemakaian yang sesuai bagi dirinya, tanpa tergopoh-gapah cuba fit in dengan trend yang datang dan pergi.

Walaupun ada anggapan yang mengatakan seseorang itu boleh saja menggayakan sebarang fesyen dengan syarat berkeyakinan tinggi untuk menggayakannya, kenyataannya, fesyen yang mengikut trend condong ke arah gaya luaran semata-mata. Fesyen sebegini telah menyebabkan pandangan songsang tadi mengelabui hukum berpakaian yang lebih penting iaitu; seni dan sains. Inilah asas sebenar hukum berpakaian, bukan fesyen yang mengikut trend semasa. Sama saja hukumnya dengan senibina, muzik, filem, dll. Dalam erti kata lain, seni dalam berpakaian mewakili aspek estetika, seperti corak, warna, potongan dan jenis tekstil. Manakala sains menawarkan rasional terhadap aspek estetika tadi seperti keadaan iklim setempat, geografi, skala dan proportion, demi mencapai keselesaan dan kesempurnaan dalam berpakaian.

Idea bagi rekaan fesyen juga tak semestinya bermotifkan keraian pada estetika tubuh badan sahaja. Seseorang pereka fesyen juga patut melihat dunia di sekelilingnya untuk mencapai inspirasi dan idea. Sebagai contoh, pereka fesyen Hussein Chalayan mengambil sosio politik, ekonomi, budaya termasuk filem, muzik, seni bina serta kejuruteraan sebagai unsur-unsur yang mempengaruhi fesyen rekaannya. Ini semua penting memandangkan kesemua unsur terbabit juga mempengaruhi kehidupan seseorang baik dari segi tingkah laku, pemikiran, emosi, dll. Dengan itu, macam saya sebut tadi, melalui fesyen, ia berupaya menterjemah ciri-ciri individu si pemakainya.

Cuit sikit aspek estetika, pemakaian tali pinggang dilitupi lebihan kemeja yang sengaja dibiarkan terkeluar sedikit adalah haram di sisi hukum berpakaian. Estetika pemakaian tali pinggang wajib menampakkan rupa fizikal tali pinggang itu. Dan hanya orang tak sehat saja yang memakai braces dalam masa yang sama memakai juga tali pinggang. Dari aspek fungsi, ia dikira redundant. Saya juga akan menekup muka bila terlihat seorang yang bertubuh cebol memakai skinny jeans. Disebabkan fesyen ini, penampilan mereka tak ubah macam sarung nangka. Niat untuk dilihat kurus telah bertukar menjadi lawak seram. Sebenarnya, memadai jika mereka mengenakan potongan seluar straight cut. Sama juga jika perempuan bertubuh besar yang terlebih muatan, pemakaian skirt paras lutut kembang semangkuk akan menyebabkannya kelihatan seakan sekuntum Reflesia yang sedang mekar.

Fesyen baggy pant yang diserabuti tali-temali turut mencemari pemandangan. Fungsi tali ialah untuk mengikat. Tapi saya tak tahu apa yang nak diikat oleh si pemakai pada seluar baggy bertali ini. Poket besar yang banyak dengan dihiasi tali-temali yang tiada fungsi adalah jenayah fesyen yang wajib dibenteras hingga ke akar umbi. Berbeza dengan kasut budak kecik yang ber-hon – tuit tuit tuit – walaupun memekak, tapi ia boleh dianggap sebagai memenuhi tuntutan fungsi keselamatan dan bunyian itu wajar dikira sebagai sebahagian dari estetika kasut tersebut. Dalam prinsip estetika, ciptaan berlebih-lebih, atau terlalu kurang, tak praktikal atau tiada fungsi dikira sebagai teruk. Kesempurnaan sesuatu itu adalah berkadaraan dan sederhana, kemudian baru-lah boleh cerita pasal kecantikan.

Dekad 1990-an kita dihidangkan dengan kehadiran sekumpulan gadis dungu yang menggelarkan diri mereka, ‘Spice Girls.’ Mereka memecahkan kebuntuan fesyen remaja perempuan waktu itu dengan gaya fesyen yang berwarna-warni, striking, seluar bell-bottom dan terompah bertapak setebal bongkah batu bata. Bagi saya, ini tak lebih sekadar satu lagi terjemahan budaya ‘pop.’ Maka ramailah para remaja perempuan termasuk di negara ini yang turut sama terjebak membontoti cara berpakaian ala gadis pedas ini. Mereka seolah-olah menganuti fahaman cult yang menjadikan mereka percaya permukaan bumi yang mereka diami dilitupi paku-paku karat.

Namun, berat mata memandang, berat lagi bahu yang memikul. (bak kata siapa entah?) Kasut serupa terompah setebal batu bata yang digayakan oleh para gadis waktu itu begitu menyesakkan pandangan mata saya. Betapa sesaknya sehingga saya percaya mereka yang memakai kasut sebegitu seperti hidup dalam seksaan zahiriah. Kaki mereka seperti mengalami ketumbuhan yang menyebabkan mereka terpaksa berjalan dengan terencut-encut kerana mengheret kaki yang berat. Atau, seperti banduan yang kakinya dirantai oleh bebola besi. Secara tak langsung, disebabkan fesyen bodoh ini, estetika pergerakan mereka juga kelihatan hodoh. Saya fikir, daripada memakai kasut dengan tapak setebal batu bata, lebih baik mereka memakai kasut ‘Bata.’ Ia lebih ringan, tahan lama, malah lebih senonoh!

Tak dilupakan juga, but ‘Timberland’ yang sering digayakan oleh sesetengah pemuda perasan ‘hip-hop’ di sini juga sebenarnya tak responsif terhadap iklim tropika tempatan. Apatah lagi, but itu dipakai di bandar seperti Kuala Lumpur yang bercuaca panas. But seperti itu jika digayakan di kota negara empat musim seperti New York baru sesuai. Di negara empat musim, pemakaian but kulit asalnya bertujuan menyerap haba, selain untuk kegunaan lasak. Ha, inilah sains! Kalau di sini, selain kegunaan pasukan keselamatan seperti tentera, atau di kilang dan tapak pembinaan, but kulit, Timberland misalnya, hanya sesuai untuk pergi berkebun, menoreh getah atau mengait kelapa sawit, sebagai alternatif kepada kasut lagen. Namun disebabkan taksub mengikut setia trend semasa, maka para trendies sudi mengabaikan aspek seni dan sains.

Kasut tumit tinggi yang menyebabkan postur tapak kaki si pemakai terlipat dekat 90 darjah memang gila! Saya tak peduli sama ada rekaan itu nak terlipat ke, bergulung ke, berpintal ke, tapi bila rekaan itu membabitkan perubahan pada anggota badan dalam posisi yang menyeksakan, rekaan itu wajar dituduh sebagai ‘ganas.’ Si pemakai tanpa disedari telah diseksa atas nama ‘fesyen.’ Pernah terbaca di akhbar, pemakaian kasut tumit tinggi meninggalkan resiko sakit lutut dan maskular kerana postur badan yang dipaksa untuk condong sedikit ke depan. Sayang, kerana takut ketinggalan, demi fesyen, mereka rela dibuli oleh fesyen dan menafikan keselesaan diri sendiri. Tapi jikalau yang memakainya itu berasa nikmat, apa boleh buat, kalau dia memang seorang sadomasokis?

Kasut kulit zaman sekarang turut mengecewakan dari aspek kualiti. Kebanyakannya diperbuat dari guinea leather aka kulit sintetik, yakni kulit campuran fiber. Berlainan dengan kasut kulit keluaran 1960-an misalnya, ia diperbuat dari kulit tulen yang lembut dan tahan lasak. Saya sendiri amat meminati kasut-kasut vintage ini. Kulit tulen yang sekeping itu, oh, sangat pure. Ia tak dicemari bahan-bahan campuran seperti makanan yang direnjis dengan Ajinamoto. Kasut kulit campuran menebalkan, seterusnya menambah berat pada kasut. Ini sebenarnya taktik kapitalis kasut mengurangkan kos produksi dan kualiti. Bila kualiti rendah, ia mudah rosak dan kita perlu menggantikannya dengan kasut yang baru. Tapi pada iklan, diheboh pula tentang bermacam-macam kualiti palsu. Selain mudah rosak, kasut seperti ini juga meninggalkan bahang kepanasan pada kaki. Hey, pure = quality = beauty. Ingat tu!

Dalam masa yang sama, pemakaian selipar dan sandal sangat sesuai di sini. Ia sangat responsif terhadap iklim tempatan. Kaki yang lebih terdedah berpeluang membebaskan haba panas tropika. Mengapa perlu serap haba? Jika kasut, paling sesuai ialah kasut yang ringan. Ini juga sains. Sebabnya, kita memerlukan tenaga lebih untuk mengheret kasut yang berat dan ini pasti akan mengundang lebih banyak proses pembebasan haba dan peluh akibat keadaan suhu yang tinggi. Haba dan peluh tadi memerlukan rongga-rongga udara untuk membebaskan bau yang bakal terhasil. Jika tidak, ia akan terperap di kaki yang terkepung dalam kasut tadi. Jadi khidmat stokin amat diperlukan untuk menyerap haba dan peluh dari kaki. Sebab itu juga penggunaan kasut yang berat ini sangat cemerlang, gemilang dan terbilang dalam meninggalkan bau busuk, sebusuk telur tembelang pada tapak kaki. Tak percaya, cuba try test and cium. Saya dah cuba dah. Best...

Ini amat berbeza andai kita memakai kasut yang lebih ringan, kurang tenaga diperlukan. Jadi, kita lebih bebas menghayunkan kaki ketika berjalan dan lebih fleksibel seperti saat tiba-tiba terpaksa twist kaki untuk mengelak dari terpijak tahi anjing. Pergerakan kaki yang lancar dijamin menghasilkan estetika pergerakan yang kelihatan sempurna dan lebih pantas. Lebih ringan juga sama dengan lebih selesa. Pergerakan kaki yang lebih pantas dan fleksibel pula akan menyebabkan perjalanan darah yang lebih baik. Pendek kata, kasut yang lebih ringan mampu memberi kesan positif terhadap kesihatan. Tanya la tok sami yang kuat berjalan tu, kasut macam mana yang mereka pakai. Kalau mereka ada lebih, tanya lagi, "nak satu boleh?"


Mohd Ikhwan Abu Bakar

Selasa, Februari 03, 2009

Black Mastika

‘Makan dulu, moral kemudian’ – Bertolt Brecht

Saya mempunyai tawarikh yang berliku-liku dalam pengalaman mendengar musik. Bermacam-macam musik telah saya cuba dengar. Antara kriteria utama pilihan musik saya sebelum ini, musik itu mesti ekstrim, mencabar dan complicated. Saya tak tahu kenapa, serius. Asalnya, saya tak mendengar ‘isi’ musik itu, asalkan saya rasa best, belasah! Dan saya akan sentiasa cuba meneroka rimba musik baru, jika musik yang telah saya dengar sebelumnya itu mula saya rasakan melemau. Ini bukan atas paksaan sesiapa, atau dorongan, atau pengaruh mana-mana individu atau kumpulan, melainkan pilihan isi hati seratus percen, atas dasar ‘cinta.’ (saya sangat percaya pada ‘kata hati’ Haha!) Dalam ‘liku-liku’ perjalanan musik saya ini, saya berpendapat, antara musik yang cukup berjaya menawan hati saya ialah ‘metal ekstrim’ dan, jangan tanya kenapa. Mungkin rempahnya adunannya mencukupi buat telinga saya.

Saya mula mendengar ‘Black Metal’ sejak di tingkatan tiga. Entah kenapa, saya suka. Namun sebelum itu, ketika di darjah lima, sewaktu umur 11 tahun, saya sudah pun memiliki kaset Motorhead, album ‘Iron Fist’ a.k.a Penumbuk Besi, selain dari kaset beberapa kumpulan Thrash Metal ‘sekolah lama’ seperti Slayer, Metallica, Destruction, Kreator, Sepultura, Exodus, dsb. Ironinya waktu itu, saya haram tak tahu pun yang Motorhead ini kumpulan yang sangat penting dalam arena ‘Rock and Roll’, sebagai sebuah kumpulan proto Heavy Metal, sama pentingnya The Ramones terhadap penularan virus Punk Rock. Cerita panjang dipendekkan, jiwa saya sudah sebati dan masak dengan musik yang bernuasakan ‘Rock and Roll’ termasuk juga Black Metal ini.

Justeru, apabila ada pembikin filem yang mahu ‘berdakwah’ melalui filem, dengan sedikit bermodalkan ‘Black Metal’, saya rasa sedikit cengeng, atau kata orang putih pula: annoying. Sampai saat ini, saya belum lagi menonton ‘Maut’, filem terbaru suami Erma Fatima, sejujurnya. Entah kenapa, saya agak berat hati untuk menonton filem ini. Jalan untuk saya ke panggung semacam dihadang oleh sepohon balak ratusan tahun yang rebah ditengah-tengah. Menyulitkan lagi keadaan, wajah dan gaya beberapa pendukung filem ini telah dengan tak sengaja, terpandang oleh saya dalam sebuah majalah hiburan tempatan, sekadar menambahkan lagi kejengkelan saya. Mulanya saya mengetahui filem ini dari Jhebat. Tapi tak pasal-pasal pula, kemudiannya saya teringat pula akan cerita kawan saya yang bukan Jhebat, yang juga penggemar musik Metal, yang menceritakan kepada saya perihal filem Maut ini. Kesahnya, si pengarah pernah cuba ‘merapati’ kawan-kawannya untuk diajak terlibat dalam menjayakan filem Maut. Dan respon balas dari mereka, tak perlulah cerita panjang, saya hanya tergelak sakan.

Seingat saya, ini masuk kali kedua ‘Black Metal’ dibawa singgah ke pawagam tempatan. Yang pertama, ia singgah menggunakan pasport Gerak Khas, pasport yang tersangat ‘khas’ itu. Saya mengaku, atas dasar ingin tahu, saya tonton juga cebisan filem ini di kaca TV, waktu Hari Raya. Seperti yang saya jangkakan, saya menyampah.

Jadi, adakah mungkin saya akan menyampah buat kali kedua? Inilah yang memusykilkan saya.

Saya fikir, hampir kesemua pembuat filem ingin atau paling tidak, boleh berdakwah melalui filem. Lagipun, berdakwah ini senang saja. Konsepnya, asal saja kamu berbuat sesuatu demi kebaikan, itu dah kira dakwah. Tak semestinya kita wajib menenggekkan ‘kopiah’ atas kepala untuk berdakwah. Jadi, kalau ada pembikin filem yang kata dia mahu menyampaikan mesej dakwah melalui filemnya, saya hanya mampu bersyukur, dan macam nyanyian Raihan, ‘disudahi dengan alhamdulillah..’

Disebabkan yang saya ingin masih belum menonton ‘Maut’, mungkin tak patut saya huraikan ulasan saya. Eh, bukan tak patut, tapi mustahil dan, tak nak. Tambahan pula, ada banyak lagi blog lain yang sudah mengulas tentang filem Maut ini, jadi mustahil tiada satu pun ulasan yang positif. Cuma di sini, di ruangan tak seberapa dakwah ini, saya begitu teruja untuk mencubit beberapa hal, tentang Black Metal dalam Maut dan habit filem tempatan dari satu segi.

Semenjak dua menjak ini, saya perhatikan filem-filem tempatan sudah ‘berani’ bercakap soal ‘isi’ dalam filem mereka. Sampaikan Tuan Professor pun sudah bercakap soal ‘isi’ dalam Sifu dan Tongong...opss, maaf Prof, tersasul...Tongga. Ini sudah bagus. Jadi, kesnya ini tentang ‘isi.’ Saya, apabila menonton filem, bukan isi yang saya dapat dahulu. Ini mustahil bagi saya. Yang itu, ‘isi’, boleh hold on dulu. Apabila menonton filem, mata saya dihadapkan dengan imej bergerak. Pendek kata, saya kena deal dahulu dengan ‘gambar’ sebelum membedah maksudnya. Jika gambar pun dah pelik atau rabak semacam, yang terhasil dari gaya solekan yang pelik semacam contohnya, saya akan rasa jengkel atau macam yang orang putih kata tadi: annoying. Bila tengok gambar pun dah jengkel, ‘isi’ mungkin akan terus saya abaikan. Maknanya, saya telah gagal melintasi lapisan pertama, saya berkemungkinan besar hilang selera untuk merasa lapisan kedua atau ketiga.

Ini kerana, saya percaya bahawa imej dalam bingkai yang diprojekkan mampu mengkonstruk persepsi orang yang melihatnya. Orang yang melihat pula terpecah kepada pelbagai kategori, dari yang kritis jatuh kepada yang lebih ecehan saja, dari yang lebih berpendidikan kepada yang agak kurang pendidikan. Ini realiti yang harus kita terima. Bila golongan penonton ini terpecah, kita wajib bersedia dengan pelbagai respon dan karenah pula. Kerana itu, imej yang ingin kita konstruk di layar lebar itu, perlukan ketepatan dan keterincian fakta. Kita wajib tahu, apakah gambar yang mahu dibikin atau diletakkan itu, sebelum pergi menyulam perihal maknanya pula. Jika tidak, masalah pasti timbul. Imej bergerak yang telah ditonton, diserap ke dalam otak sebelum persepsi dikonstruk. Andai imej itu tak tepat, persepsi tak mustahil menyerong. Ia akan menyebabkan, mereka yang kebanyakannya tak tahu menahu tentang sub-budaya seperti Black Metal di negara ini berfikiran, walhal yang sebenarnya, bukan. Tanggapan ini akan lahir sebaik saja imej tertayang di depan mata, dan belum tentu mereka akan mencari kesahihan imej yang telah dilihat apabila filem usai ditonton. Jadi, tanggapan ini mungkin berkekalan membentuk persepsi serong.

Pihak media, tanpa mengira apa bentuk media, telah banyak kali mencorak persepsi-persepsi serong lagi tongong, terutamanya jika persepsi atau pandangan itu tidak senada dengan arus perdana. Ini mungkin sudah jadi lumrah. Black Metal juga pastinya tak terkecuali. Di negara ini, penggemar Black Metal sering menjadi kambing hitam demi kepentingan ‘orang baik-baik.’ Persepsi buruk terus ditampal di dahi. Kerja konstruktif ini pernah beberapa kali dilakukan oleh akhbar vernakular, termasuk tabloid seperti Harian Metro dan majalah kaki lima; Mastika (zaman sekarang.) Jangan salah faham, saya kata begini bukan semata-mata saya sukakan musik Metal, tapi kerana saya boleh jangkakan yang filem ini tak cukup jujur. Paling tidak, untuk bahagian yang ada ’Black Metal.’

Black Metal dalam ‘Maut’ terus-terusan digambarkan sebagai berunsur jahat, dan fitnahnya, ‘pengikut Black Metal ini adalah golongan ‘pemuja syaitan’ atau ‘anti agama.’ Ini seratus peratus, nonsense! Jika persepsi serong yang dilemparkan kepada ‘Mat Black Metal’ di sini diterima ramai, maka kolektif metallers ini juga patut mendapat hak yang sama untuk menyatakan apa yang sebetulnya, selain ruang bebas untuk bereskpresi mengikut acuan mereka sendiri tak diganggu. Bukan acuan yang ditentukan oleh kelompok masyarakat banyak atau pemerintah semata-mata.

Jadi, kalau ada sesiapa yang mengatakan filem ini wajar diangkat kerana niat suci pembikinnya, melebihi kualiti penceritaan filem itu sendiri, alasan ini pada saya boleh diragui. Pada dasarnya, saya menghormati niat besar/baik mana-mana pembikin filem, tapi hairan juga, bagaimana adanya pembikin yang mahu ‘berdakwah’ melalui filem, sedangkan pada dasarnya beliau tak jujur? Ini sangat kontradik. Saya katakannya tak jujur kerana sesetengah pembikin ini lebih ghairah menonjolkan sisi negatif sesuatu perkara itu tanpa benar-benar memahami subjek yang mahu difilemkannya. Ironi, beliau berniat dakwah, tapi dakwahnya itu menempel di sebalik kepalsuan. Pembikin seperti ini pada saya merbahaya, lebih merbahaya dari Tuan Profesor. Jika pembikin yang betul jujur dan sensitif, beliau akan sensitif dan jujur dalam semua perkara. Jika pembikin yang teliti dan kritikal, beliau pastinya amat menitikberatkan aspek keterincian (detail). Pembikin filem yang cermat dan bijak, kalau mahu menipu sekalipun, beliau akan ‘menipu’ dengan bijak dan cermat. Maksud saya, misalnya, pembikin bijak dan cermat akan ‘menipu’ berdasarkan fakta sebenar yang telah diubah, ditokok atau ditoreh. Mereka cukup arif akan fakta sebenar, tapi atas alasan karya, fakta itu ingin dicabar kesahihannya, mungkin agar lebih menarik, atau mahu menjentik polemik, lalu kerja ‘penyelewengan’ pun dijalankan dengan berhati-hati. Contohnya, naskah teater U-Wei Shaari; ‘Wangi Jadi Saksi.’ Bezanya dengan sesetengah pembikin di negara ini, mereka bercerita hal yang mereka tak tahu, hanya kerana terlalu obses dengan niat suci konon mahu menyampaikan dakwah. Mereka bukan sekadar memperbodohkan penonton, tapi menipu diri sendiri, kerana bercerita hal yang mereka tak tahu dan kesudahannya, mereka merapu. Saya percaya, filem yang dibikin dengan jujur serta terperinci, walau faktanya diseleweng secara sengaja, yang berasaskan fakta sebenar, pasti hasilnya menakjubkan hingga kita tak perasan akan ‘penyelewengan’ yang telah dilakukan. Pepatah kata Ludwig Mies van der Rohe, “God is in the details.”

Apa yang saya nyatakan tidak semestinya ada kena mengena sama ada lakonan, dialog, atau keseluruhan jalan cerita filem itu bagus atau teruk. Mungkin saja filem itu mempunyai kekuatan jalan cerita, atau semangat pengarahnya yang berkobar-kobar untuk ‘berdakwah.’. Dan saya juga cukup faham dengan niat si pembikin yang cuba bercakap dalam lingkungan budaya sekelilingnya. Tapi yang peliknya, dalam konteks ‘Black Metal’ filem ini, kerana terlalu ‘ganas’ mahu menonjolkan kesyirikan Black Metal, maka yang dibawa itu ialah teras keras Black Metal dari bumi Eropah dan Amerika, terutamanya dari segi tingkah laku, seperti mempertikai kitab suci sesebuah agama secara terang-terangan, dan bukannya tempatan, yang kebanyakannya mengambil musik ini sebagai wadah hiburan alternatif, dan sebahagian lagi lebih serius menggunakannya sebagai pelantar ekspresi musikal semata-mata, tanpa lolongan falsafah yang gelap. Ini seakan bererti, untuk menyedarkan masyarakat sekelilingnya, ‘Maut’ mengambil jalan pintas yang jauh sampai ‘terpaksa’ menyeberang ke seberang laut.

Orang ramai yang menengok filem pada asasnya bukan kerana mahu membaca ‘niat’ pembikin filem. Mereka juga tak mungkin peduli, pada awalnya, apakah si pembikin ini seorang Tok Sheikh atau Tok Kadi ataupun Lebai Malang. Mereka, penonton ini, pada dasarnya hanya bersemuka dengan visual bergerak selama kurang lebih, dua jam, untuk menikmati cerita bervisual. Dalam jangka masa ini, pelbagai tanggapan kasar akan dibentuk, jika sempat, dan jika tidak, gerakan-gerakan visual ini akan terus berlalu pergi. Berahinya hanya pada lapis pertama, iaitu visual di layar putih itu. Yang kata ‘insaf’ selepas menonton, itu hanya immediate effect, kesan langsung dari berahi paparan visual lapis pertama, yang mana kemungkinan besar setelah beberapa jam atau hari atau bulan filem itu ditonton, moraliti filem itu akan kita lupakan, lalu kita kembali terjunam ke dunia nyata yang akan sentiasa berbau wangi dan busuk. Sebab itu, jika sudah beribu-ribu filem di dunia ini dihasilkan, yang konon mahu memberi pelajaran moral, dunia tetap berputar dalam putaran yang sama, tak pernah berubah dek kerana filem.

Sebagai fakta tambahan, ‘pengikut’ Black Metal di mana-mana ceruk dunia pun, adalah golongan yang sangat minoriti dan terpencil. Black Metal ini bukan sekadar ‘sub’, tapi ianya juga adalah close-culture atau ‘budaya gelap.’ Budaya semacam ini lebih baik ‘menyorok’ di dalam hutan salji. Bukan ke hulu ke hilir dengan girlfriend sambil berlagak ‘macho.’ Kerana itu, agak tak munasabah Black Metal boleh jadi wabak tak sihat di kalangan remaja di negara ini khususnya, melainkan yang gelap itu disuluhi secara ‘pop’ melalui media, tak kira apa bentuk media pun, secara gopoh dan bodoh. Sebab itu, kebanyakan poser juga adalah produk yang ditetas dari media yang kurang bijak kerana ada nilai komersial, bersekongkol bersama para towkey pakaian dan aksesori fesyen jalanan. Oh ya, kumpulan Cradle of Filth itu pun tidak patut dianggap ‘Black Metal’ lagi. Ia kumpulan ‘pop’ sekarang ni. Sama macam Michael Learns To Rock ataupun Good Charlotte – sampah MTV.

Bagi saya, apabila imej yang tertera di atas layar lebar itu pada dasarnya telah menjahanamkan intelektualiti saya, maka saya tak akan peduli sama sekali dengan ‘isi’ filem terbabit. Misalnya, dengan meletakkan Good Charlotte itu sebagai kumpulan Black Metal. Ini serius, bodoh habis. Kalau katakan yang ia sengaja dibuat begitu, ini double ngok. Come on la, yang kamu buat inikan filem! Filem bukannya sarkis. Bila lagi pembikin seperti ini mahu berhenti memperbodohkan penonton, dengan alasan moral? Lagipun, apa yang perlu dikecohkan sangat dengan ‘isi’, sedangkan dalam kehidupan yang nyata (real life), sebenarnya kita sudah boleh selongkar misteri atau jumpa ‘isi’ itu, kalau mahu, dengan merenung atau membaca buku, misalnya. Tak semestinya perlu susah-susah cari filem semata-mata nak menemui ‘isi’ dalam kehidupan. Cuma, medium filem ini boleh memberi pilihan, sama ada mahu menyoal atau mencadangkan kepada kita perihal tertentu yang bersangkut-paut dengan sisi kehidupan, yang mungkin kita terlepas pandang, selain dari memaparkan unsur estetika dan ceritanya agar kita terhibur. Apa yang pasti, ia bukan semata-mata soal ‘isi’, walaupun saya tak akan kata ‘isi’ itu tak penting sama sekali. Kamu tahu, Nora Barnacle, bini penulis besar Ireland, James Joyce, yang menghasilkan magnum opus ‘Ulysses’, sendiri mengaku bahawa beliau tak ambil pot dengan karangan suaminya, sedangkan pencinta sastera dunia mengagung-agungkan novel tersebut. Katanya, apa yang beliau kesahkan, kerana banyak kesah dalam ‘Ulysses’ adalah sebahagian kesah tentang dirinya sendiri, dan semestinya tiada siapa yang lebih arif untuk menilai ‘isi’ kehidupannya dalam novel itu melainkan dirinya sendiri, tanpa perlu membacanya terlebih dahulu.

Dalam masa yang sama, orang yang mula bercerita soal ‘isi’ filem ini (baca: bukan filmmaker) pada saya, ramai yang berpura-pura mengambil berat soal moraliti, tapi dengan sebelah mata memandang keabsahan nilai yang lain, yang belum tentu benar atau salahnya, kerana tak diukur dengan tepat, semata-mata mahu ‘bersetuju’ dengan yang nilai moral yang dipersetujui ramai, atau tradisi, dan dengan selamba menelan bulat-bulat gambaran serong yang dihidang, demi perjuangan ‘amal makruf, nahi mungkar’ yang tiada kesudahan.

Satu lagi, masalah yang sering diulang-tayang kepada kita, penonton filem lokal, ialah soal solekan yang macam haram. Sebagai contoh, seorang lelaki yang ‘nerd’ akan secara remeh dicitrakan dengan berkaca mata bingkai gajah, baju tuck-in dalam seluar. Seolah-olah, kalau tuck-in saja, itu ‘Mat Skema’ atau nerd. Padahal bersepah saja di luar sana ‘Mat Belia’ yang tak tuck-in baju. Kalau pensyarah perempuan, khususnya yang tak berkahwin, selalunya digambarkan dengan solekan berlebih-lebih, spek besar, pakaian yang berwarna-warni dengan corak yang bukan-bukan, dan perangai yang macam perempuan tak sihat. (Berdasarkan pengalaman saya semasa bergelar pelajar di Perak, ada seorang pensyarah perempuan yang tak kahwin tapi perwatakannya sangat cool.) Inilah antara klise bosan yang diulang tayang berkurun lamanya dalam filem-filem tempatan yang secara tak sedar memperbodoh-bodohkan penonton.

Solekan yang dikenakan ke atas pelakon Black Metal ‘Maut’ adalah imej ‘Gothic MTV.’ Imej mata bercelak hitam tebal seperti yang ditayang dalam ‘Maut’ saya rasa, hanya Black Metallers pening saja yang bergaya sebegitu sepanjang masa. Gaahl, vokalis Gorgoroth, yang mengaku ‘Satanist’ pun tak bergaya semacam itu. Beliau disifatkan ekstrim oleh media sampaikan pernah dituduh sebagai peminum darah, walhal beliau hanya seorang pencinta wine sejati dan juga vegetarian. Gayanya yang tersangat ekstrim hanya ketika mengadakan persembahan, yang jarang-jarang dilakukan. Bukan saja di negara ini, malah metallers di Barat pun tak ingin meniru gaya tak senonoh si Gaahl ini. Bukannya hensem pun. Contoh lain, Fenriz, dari kugiran Darkthrone, seperti yang diceritakan dalam sebuah fanzine dari Portugal, hanya mengenakan baju-T berwarna pink tatkala sekumpulan peminat bertemu beliau di rumah, dalam keadaan biasa. Tak ganas, tiada celak hitam tebal menebal dibibir mata sepanjang masa. Amat berlainan dengan situasi di sini, Black Metal digambarkan dengan fesyen yang sangat palat, walhal ‘metalhead’ tempatan yang sebenar, gaya dressingnya adalah cool, malah ramai juga yang langsung tak bergaya. Falsafah mereka, yang penting hati, bukan baju-T.

Rasanya, ragu-ragu saya bertempat. Sudahnya, saya masih tak tahu sama ada mahu tonton atau tidak. Bukannya apa, cuma saya risau sekiranya saya tonton juga ini filem, saya bakal diserang sakit kepala yang tak dapat dilegakan dengan panadol. Apapun, kepada sesiapa yang sudah menonton Maut, alhamdulillah, dan saya berdoa agar kamu semua sudah bertaubat nasuha.


Mohd Ikhwan Abu Bakar

p/s: Secara peribadi, ‘Budak Kelantan’ lebih jujur. Lepas tonton preview, terus rasa nak tengok filemnya. Tak macam yang ‘ini’, cerita ketiga bikin kacau.