Memaparkan catatan dengan label Wan Azli Wan Jusoh. Papar semua catatan
Memaparkan catatan dengan label Wan Azli Wan Jusoh. Papar semua catatan

Ahad, Februari 07, 2010

Keaslian Seni

Sesetengah pembikin filem (/pendek) di institusi saya ini ternyata mahukan kelainan. Mereka ingin hasilkan sesuatu yang tidak pernah dibuat orang, pendek kata sesuatu yang baru. Ini apa yang mereka percaya sebagai ‘originality’. Tidak menghairankan jika hasilnya berupa sesuatu yang di luar luar tabii. Ini tidak mengapa bagi saya, cuma selalunya perlaksanaannya kelakar. Jika ditanya kepada saya apa itu originality, saya akan menjawab serupa mana Antoni Gaudi kata:
“But man does not create…he discovers. Because of this, originality consists in returning to the origin.”
Keaslian adalah pengembalian kepada asal usul.

Kenapa? Kerana kita manusia di era globalisasi ini pada asasnya serupa, iaitu selaku konsumer global. Tidak ada bezanya kamu di sini minum Pepsi dengan minah Belanda di China yang minum Pepsi. Atau kamu di sini memakai seluar Levi's dengan mamat Afrika di Jepun yang pakai seluar Levi's. Atau kamu di sini isi minyak Shell dengan minah Chile di Kanada yang isi minyak Shell. Sama.

Untuk menjadi asli adalah dengan bertindakbalas terhadap semangat setempat. Di sini biar saya mulakan dengan senibina terlebih dahulu kerana ianya tampak dan lebih jelas. International Style yang didokong oleh para modenis bermula 1900 suatu ketika dulu, idamkan senibina yang serupa satu dunia. Bangunan-bangunan tingginya berbentuk empat segi, bersudut 90 darjah dengan tingkap (curtain wall) bergrid ada hampir di mana-mana sahaja di seluruh dunia. Walaupun ianya memenuhi fungsi semata-mata, ianya membosankan dan sampai satu tahap, bersifat anti-manusia.

Ini berbeza dengan senibina vernakular yang bersifat contextual. Ia respon kepada cuaca dan alam setempat. Rumah kampung kita jika dipindahkan ke benua Afrika atau Antartika atau ke Jepun, malah Nepal sekalipun, ianya tidak berfungsi. Inilah keaslian. Ia mempunyai nilai-nilai keaslian yang meraikan alam 'sekitar'.

Bagi saya internasionalis umpama pokok, dahannya boleh ke mana-mana bahagian dalam dunia ini, tetapi akarnya tetap bertapak di satu tempat.

Pernah dahulu ada seorang kenalan saya ini bertukar barang secara barter dengan seorang mamat Peranchis di Peranchis. Mamat Peranchis ini mahukan kretek Gudang Garam, kenalan saya ini pula mahukan CD-CD lagu rare. Di Peranchis barangkali rokok kretek ini rare. Jadi mereka pun trade dengan sistem barter.

Dalam cabang filem, tidak kira komersial atapun tidak, originality tetap wujud. Yang membuatkan saya tidak begitu gemar dengan filem-filem komersial ada dua, pertama perlaksanaannya, kedua (paling teruk) ideanya. Idea francais Anak Mami oleh Prof. Razak itu original bagi saya. Ia adalah sesuatu yang dekat dengan dirinya. Cuma tidak banyak ‘buah-buah’ rahsia Jawi Peranakan yang disisipkan, ini barangkali atas faktor komersial. Atau mungkin ia sudah diterapkan ke dalam telemovie Anak Mami (1996) yang lebih raw, (yang saya belum pernah tonton).

Sama halnya dengan Wan Azli dengan Budak Kelantan (2009) yang dekat dengan dirinya. Ianya lebih real dan original tak kisah pendekatan apa yang ingin diambil.

Bayangkan jika Wan Azli mengarahkan filem tentang anak mami ataupun Prof. Razak mengarahkan filem tentang budak Kelantan. Ia punya gap dan berpotensi untuk menjadi tidak jujur (lagi lawak). Jika dilakukan kajian dan research bertubi-tubi sekalipun, ianya tetap tidak sebati di dalam jiwa.

Baru-baru ini saya tertonton telemovie Indie Yeah Yeah (2010) yang entah apa-apa itu. Serius, My Indie Rock Darling (2008) oleh Razaisyam itu berganda lebih menarik. Mungkin dari segi perlaksanaannya saya tidak gemar, tapi ia sekurang-kurangnya punya jiwa kenaifan bebudak 'indie' dari kawasan luar bandar. Ia tidak mengada-ngada seperti Sayang You Can Dance (2009) yang cuba menggapai sesuatu yang entah di mana.

Secara amnya apa yang saya ingin sampaikan terlihat pada niat filem-filem Hollywood yang mula mengamalkan dasar pandang ke Timur. Filem-filem Timur yang dikitar semula {seperti Shutter (2008), Shall We Dance (2004) dll.} ini saya jamin lebih teruk daripada yang asli {Shutter (2004), Shall We Dansu? (1996) dll.}. Cuma kuasa mereka dari sudut komersial adalah dalam bentuk kuasa pasaran (ini tak boleh kita nafikan). Yang pasti, jiwa filem-filem kitar semula ini berada di lingkup geografi yang berbeza. Jadi, pasti ada sesuatu yang tidak kena.

Dari segi teknik dan perlaksaan filem sebagai medium pula, ia milik setiap manusia. Kerana ia adalah seni. Jika dalam Mautopia Fadz mengatakan bahawa ia mempunyai doppleganger tipikal Lynch. Saya boleh kata dalam filem-filem Lynch, ia mempunyai doppleganger tipikal Maya Deren. Ini sebenarnya serupa macam falsafah.
“The safest general characterization of the European philosophical tradition is that it consist of a series of footnotes to Plato.”
–A.N. Whitehead
Contoh: Dalam karya Tarantino kita jumpa Fassbinder (New German Cinema), dalam karya Fassbinder kita jumpa Truffaut (French New Wave), dalam karya Truffaut kita jumpa Hitchcock, dalam karya Hitchcock kita jumpa Murnau (German Expressionism) dan seterusnya. Oleh itu bagi saya mahu mencari originality dari segi teknik (lagi-lagi buat filem pendek) adalah kerja gila.

Saya pernah bertanya kepada Amir Muhammad samada ada filem yang lebih terdahulu berkonsepkan pantun {padahal saya tahu Tokyo Magic Hour (2005) ada unsur pantun} pasal tak nak sama. Beliau kata takpe, kalau sama pun tak mengapa. Bagi saya ini seperti sejarah. Kita perlu tahu sejarah agar sejarah tidak berulang. Sama seperti filem, saya mahu tahu untuk dijadikan rujukan supaya tidak mengulangi perkara yang sebijik serupa (kalau sama baik buat kerja komersial). Paling koman, rujukan tadi dimanipulasi kena dengan hidup saya. Sebab kesamarataan terlampau membosankan sebenarnya.

Bayangkan kita di negara komunis dengan rumah flat yang sama setiap seorang. Bagaimana dengan kebebasan ekspresi individu? Tak ke bosan.

Di sini, ini soal idea bukan teknik. Dari segi teknik saya bikin Mautopia cara bajet adi-rendah pasal memang bajetnya adi-rendah pun. Takkan guna teknik handheld pasal nak ikut Dogme95.

Menyentuh tentang Dogme95, ia adalah salah satu penanda jatuhnya konsep auteur. Filem bukan lagi milik seorang individu bernama pengarah, tetapi kerja berkumpulan: pemberi idea dan pelaksananya. Duo-duo popular seperti Dolce & Gabbana (fesyen), Herzog & de Meuron (senibina), Coen Brothers (filem) dan seumpamanya mendapat tempat.

Di Malaysia, jikalau teater kita ada KoKen. Semasa vol.1 ada 4 pengarah dengan 4 play dilangsungkan. Vol. 3 Tanda pula ia semakin maju, dengan kolaborasi 6 pengarah, 20 pelaksana (+ partisipasi secara tidak langsung penonton) dalam 1 play. Ini sama seperti jika suatu masa dulu, satu kanvas hanya seorang artis saja yang melukis. Tapi kini (barangkali), satu kanvas ada dua atau lebih individu yang melukis pada masa yang sama dengan stroke yang bertindih dan bertindan. Kanvas itu dikongsi bersama atas dasar keterbukaan dan toleransi setiap individu. Barulah dunia semakin maju.


Ridhwan Saidi

Selasa, Jun 23, 2009

Ilustrasi Sastera

‘Filem bukan ilustrasi sastera’ – Reygadas.

Melalui Wan Azli, saya telah diperkenalkan kepada Carlos Reygadas iaitu seorang sutradara muda dari Mexico. Beliau ini saya kira satu batch sama itu Michel Rojkind yakni arkitek kontemporari kegemaran saya juga dari Mexico.

Ilustrasi sastera ini bermaksud imej-imej bernaratif atau gambar-gambar yang bercerita (seperti komik/novel grafik.) Jadi, jika filem bukan ilustrasi sastera, habis itu apa? Ini membawa kita kembali mencari makna filem. Adakah 'cerita' itu filem? Adakah 'storytelling' itu filem? Jika kita kembali kepada Pure Cinema, sejujurnya kita sepatutnya sudah faham filem (sesucinya) pada dasarnya apa. Stan Brakhage, Koyaanisqatsi & Baraka, antaranya pada dasarnya menolak esensi teater dan sastera. Menolak ‘lakonan’ dari teater dan ‘naratif’ dari sastera. Filem seolah lebih dekat dengan muzik iaitu ‘feel’, cuma ianya secara visual.

Sebab itu, berbekalkan penghayatan Pure Cinema, kita berkebolehan untuk menilai atau menguji kredibiliti sesebuah filem itu. Bogelkan saja filem itu daripada lakonan (kepura-puraan) dan naratif, apa yang tinggal? 

Ini bagaimanapun tidaklah bermakna saya menolak naratif dan lakonan secara fanatik membuta tuli. Cuma kenyataan tersebut tanpa disedari telah membuatkan saya sedar lalu insaf. Ini kerana saban hari, acap kali saya menonton filem di multiplex, apa yang dipaparkan hanya sekadar sebuah ilustrasi sastera semata-mata.


Ridhwan Saidi

Jumaat, April 17, 2009

Koya Best

Syot pembukaan filem Budak Kelantan (2008) oleh Wan Azli Wan Jusoh adalah syot yang paling wow pernah saya tonton (dalam konteks filem tempatan) setakat ini. Bagaimana pada awalnya minda kita dibentuk dan diacu bahawa Jaha itu simbol kejahatan (main daun terup) manakala Buchek pula adalah simbol kebaikan (sembahyang). Kemudian semasa kredit mula dipaparkan, kita dibawa mengembara menaiki bas dari Kota Bharu ke Kuala Lumpur diiringi alunan musik dikir barat. Perjalanan ini walaupun nampak biasa, tapi cukup bermakna dalam membuatkan audiens seolah juga dari Kelantan, heck saya rasa saya orang Kelantan masa tonton filem ini.

Seterusnya permainan baik/jahat ini akan dicelarukan sedikit demi sedikit dengan serbuk perasa cauvinis. Mula-mula kita digula-gulakan dengan kejahatan yang disaluti kebaikan Jaha. Menyakitkan hati, anehnya, selepas itu kita dipaksa untuk menjilat kejahatan yang disaluti kebaikan Buchek pula. Persamaan berulang, Jaha secara literal memperlakukan gadis-gadis sebagai barang dagangan. Diakhir kisah, tiba giliran Buchek pula (tanpa disedari) memperlakukan teman wanitanya Che Nor sebagai barang dagangan. 

Di saat si Jaha ingin berubah ke arah kebaikan (kononnya atas nama cinta,) lawaknya si Buchek ini dalam diam menampakkan siongnya. Buchek menggunakan Che Nor sebagai alat untuk berdakwah (kononnya untuk membawa Jaha ke jalan kebaikan,) dan dalam masa yang sama barangkali Buchek sendiri ingin berdakwah kepada Chen Chen (yang berlainan agama) yang diselamatkannya. Disebabkan Che Nor sudah molek zahir dan batinnya (dari kacamata Buchek,) dengan itu saya merasakan bahawa Buchek lebih selesa merapati manusia-manusia yang kononnya masih belum ‘sempurna’ untuk 'disempurnakan'. Pokoknya, bagi saya Buchek adalah hero poyo yang boleh kita dapati dengan mudah di luar sana.

Oposisi binari, mulanya kita dipaparkan ruang tangga rumah Jaha (malam) di mana gadis itu akan dibawa ke atas lalu diperkosa (secara fizikal.) Di syot terakhir, kita akan dipaparkan pula ruang tangga jejantas (siang) di mana Buchek sedang menunggu Chen Chen turun. Lawan bagi perkosa adalah belaian cinta (mungkin?) tapi saya punya intepretasi yang berbeza. Tekaan saya? Selepas itu amoi itu akan diperkosa secara mental oleh Buchek haha.

Sebagai filem, Budak Kelantan menghidangkan ketegangan (intensity) yang saya idam-idamkan selama ini walaupun ia seakan kendur bila tiba di penghujung. Baik jahat dikelirukan. Bila difikirkan kembali, sebenarnya audiens yang akan menentukan siapa jahat siapa baik. Cuma celakanya posternya hampeh. Jika posternya menarik, tanpa segan silu saya tampal ia di sebelah poster Sofia Jane Perempuan, Isteri dan Jalang (1993) dalam bilik tidur saya.


Ridhwan Saidi

Khamis, November 20, 2008

Kelihatan Urban

Sudah lama saya terperasan, kita, di negara ini selalu memiliki nilai atau kefahaman songsang. Songsang di sini – jangan salah faham – bukan saya cuba saya kaitkan dengan sebarang bentuk budaya. Songsang di sini juga tiada kena mengena dengan gay atau pengkid.

Antara pemahaman songsang yang kerap diterima masuk dalam kehidupan harian kita adalah berkaitan dengan istilah, yang pastinya menjulur kepada soal pemahaman konsep. Pertalian istilah dengan konsep ibarat hubungan suami isteri yang belum bercerai, iaitu, sentiasa saling memerlukan. Namun, jika pertalian ini bercerai-berai, maka dunia akan porak-peranda.

Selain khuatir dengan bentuk slogan yang diterap oleh pemerintah, seperti ‘Cinta IT, Sayang IT‘ atau seremeh ‘Islam Hadhari‘, saya juga cukup gerun apabila berhadapan dengan istilah-istilah yang subur di kalangan masyarakat, namun istilah itu sangat songsang. Antara istilah yang sering meninggalkan mimpi ngeri kepada saya ialah istilah ’urban’.

Pada awalnya, saya agak keliru dengan istilah ini. Sampaikan saya terpaksa menyelak dua beban kamus, Melayu dan Inggeris. Ini lama sebelum saya menjengah dunia senibina. Mengapa agaknya saya keliru? Hah, inilah yang cuba saya ceritakan di sini.

Dalam senibina, urban itu merujuk kepada perbandaran. Dalam urban, wajib memiliki konsep-konsep tertentu. Ini hanya dalam kata mudahnya saja. Saya meminati urban, bukan kerana urban itu nampak glamour atau kelihatan ‘stylo’. Saya tak pernah hairan pun dengan urban atau tak urban. Saya menulis tanpa sebarang peduli sama ada penulisan ini berbaur urban atau tidak kerana soalan itu tak penting, sebenarnya.

Urban dalam pembelajaran arsitektur menyediakan ruang buat saya menjadi pemerhati bebas. Urban semestinya membabitkan pemerhatian kita terhadap masyarakat, budaya, politik dan ekonomi. Dan bagaimana kamu, jika seorang arkitek atau perancang bandar seharusnya bertanggungjawab membekalkan peluang kehidupan yang lebih baik kepada penghuni di dalam sesebuah bandar itu. Ini kerana, seperti kata Rem Koolhass, “urban is about creating potential”.

Kamu tak patut menjadi perancang bandar atau arkitek jika semata-mata berniat membesarkan tembolok kamu saja. Sebabnya mudah, kamu bakal menyusahkan hidup orang ramai. Sikap concern terhadap kemanusiaan itu yang sepatutnya menunjangi karier kamu sebagai arkitek, bukan wang semata-mata. Inilah sikap mulia arkitek tersohor seperti Frank Lloyd Wright, Louis Sullivan, Le Corbusier, Aldo Rossi, Louis I Kahn, Walter Gropius dan lain-lain yang patut ditiru oleh sesiapa yang mahu bergelar arkitek. Tapi bagaimana mungkin kita dapat meningkatkan kualiti hidup di sesebuat petempatan padat seperti di bandar, jika yang berkantung di kepala otak kita hanya soal untung-rugi?

Inilah juga perbezaan ketara antara bandar dan desa, yang mana bandar selalunya perlu dirancang, manakala desa pula konsepnya lebih bebas, tak terancang, atas pola budaya dan ekonomi yang berbeza. Namun di negara ini, yang dirancang itu lebih teruk dari yang tak dirancang, sebagaimana yang dikatakan bohong itu selalunya betul.

Disebabkan itu, saya tak faham dari celah kelengkang mana datangnya istilah ‘nampak urban’ atau ‘kelihatan urban’ ini. Badigol mana yang mula-mula mengguna pakai terma ini pun, masih menjadi misteri. Saya sebenarnya faham apa yang dimaksudkan dengan istilah ‘urban’, tapi masalahnya ialah, istilah ini satu istilah yang songsang.

Saya katakan begitu kerana istilah ini telah menjulingkan pandangan kita terhadap konsep ilmu, malah kehidupan itu sendiri. Dengannya juga, kita telah mewujudkan satu pengkelasan budaya yang tak sepatutnya berlaku. Selain dari pengkelasan ekonomi, pengkelasan strata sosial, kita telah menambah satu lagi bentuk pengkelasan di negara ini.

Dalam negara ini, kita pasti pernah mendengar ungkapan seperti ‘musik urban’, ‘artis urban’, ‘filem urban’, ‘drama urban’, ‘penulis urban’, ‘majalah urban’ dan berbagai-bagai lagi urban. Kefahaman urban itu nyata sekadar cubit-cubitan manja, hanya terjuntai-juntai pada istilah yang tak tegang. Kita tak pernah ambil kesah dengan mutu perbandaran kita (atau ‘urban’ dalam erti kata sebenar) yang macam tahi.

Akibat dari kefahaman songsang ini, pandangan kita jadi dangkal. Kita tidak lagi melihat sesuatu itu dalam skala yang lebih luas, luwes, dan poros. Ini kerana pandangan kita diasing-asingkan pada kadar yang ketara. Misalnya, apabila ada seseorang yang cuba mengatakan sesuatu hal yang luar dari kefahaman tradisional, orang itu malah terus dituduh sebagai ‘berlagak urban’. Walhal yang sebenarnya apa yang diperkatakan itu tiada langsung sangkut paut dengan ‘urban’. Ini seolah-olah kita perlu ‘menjadi urban’ semata-mata untuk menyatakan sesuatu hal yang canggih. Dan yang ‘biasa-biasa’ itu hanya selayaknya jadi mainan orang yang ‘tak urban’.

Katakan, jika saya orang kampung, apakah saya tak patut menghurai soal-soal pemikiran kontemporari, contohnya? Dan bila kita mengatakan perlu ‘kembali kepada agama’, kepada orang yang mengatakan hal-hal yang ‘bukan agama’, tidakkah kita sedar bahawa kita juga tanpa disedari, telah melakukan ‘degradation’ atau penurunan taraf, terhadap agama itu sendiri? Kerana apa, kerana kita hanya mengatakan perlu kembali sesudah idea canggih yang ‘kelihatan urban’ itu diperkatakan. Mengapa tidak kita gaulkan sekali perbicangan, mengapa tak diselarikan idea agama itu? Seolah-olah yang terkedepan tak cukup cocok dipertemukan dengan soalan-soalan keagamaan. Mengapa perlu mengeluarkan istilah ‘kelihatan urban’ dan dilagakan pula dengan ungkapan ’agama’? Ia seperti mengatakan yang orang ’urban’ itu mesti tak beragama, dan yang beragama pula ’tak urban’.

Apabila kita berfikiran begitu, kita sebenarnya sudah termasuk ke dalam perangkap konsep, slogan atau istilah yang sempit, akibat memiliki kefahaman yang songsang.

Di sini saya ingin mengajak kamu membuat lawatan pendek ke Singapura dan Indonesia. Satu saiz kecil, satu lagi saiz besar. Okay, sebelum itu, WAJIB saya jelaskan, Singapura dan Indonesia ini terletak di bahagian TIMUR.

Pertama, Singapura. Pulau ini dikatakan kota 'ranggi' metropolis. Hampir kesemua warga hidup selesa walaupun tetap juga terkejar-kejar ke sana-sini. Tapi apa yang pasti, tiada istilah budaya ’urban eksklusif’ di sana. Mungkin kerana seluruh pulau itu sudah pun ‘urban’, dalam erti kata sebenar, jadi tak payah ‘nak jadi urban’ itu semua. Sekurang-kurangnya, di sana tiada istilah yang mengelirukan. Urban di Singapura, sifatnya menyeluruh, dari soal perbandaran yang solid seperti longgokan bongkah-bongkah konkrit (bangunan), berjangkit pula kepada tatacara hidup sehari-hari. Urban itu, jika di sana, telah berjaya melangkah keluar dari konsep sempit, ia telah merujuk kepada sesuatu perkara yang bersifat sofistikated, dalam semua segi kehidupan.

Kedua, Indonesia. Ini kes yang berlainan. Penduduknya lebih dua bilion. Tapi, tak perlu terkejut, di sana juga tiada istilah urban-urban ini semua. Misalnya, musik. Di sana musik itu tiada sempadan geografi, kedaerahan, malah kelas sekalipun. Kugiran segah Dewa 19 bebas bermusik tanpa sempadan urban – non urban, tapi musiknya tetap bermutu. Musik sebenar sepatutnya mampu dinikmati segenap lapisan masyarakat. Apatah lagi Iwan Fals dan ’Kantata Takwa’nya. Malah dengan musik, Iwan Fals dan rakan-rakannya berjaya menggerakkan mobiliti sosial yang akhirnya terjelma melalui gerakan Reformasi Mei 1998. Ini bukan soal berjaya atau tidak gerakan Reformasi itu merobah segala-galanya, tapi kejayaan meletuskan gerakan massa dalam skala besar bagi menuntut perubahan, disuntik oleh semangat lagu-lagu Iwan Fals itu lebih mengujakan saya. Setidak-tidaknya, rakyat di sana mula sedar, dan tidak terus-terusan diperbodohi rejim ‘militer‘ Orde Baru.

Filem juga, di Indonesia, misalnya Ada Apa Dengan Cinta, tak pernah dicap dengan label ‘urban‘, tapi masih tetap punya ‘isi‘ dan mempamerkan mutu filem yang lebih sofistikated dengan menyulam puisi dibalik filem, jika dibandingkan dengan ‘Gol dan Gincu‘, yang konon ‘urban‘ itu. Mengangkat semangat Chairil Anwar melalui filem sesuatu yang sangat bermakna, bukan ‘urban‘. Yang disebut ‘urban‘ di negara ini jarang melibatkan sesuatu yang sofistikated, melainkan hanya disimbolkan dengan trend semasa seperti permainan futsal. Lantas, sekadar diolah dengan beberapa konflik cinta picisan yang membosankan. Namun perlu juga saya katakan di sini, ada beberapa filem tempatan yang patut ditonton kini, seperti filem-filem Mamat Khalid, dan terbaru 'Budak Kelantan' olahan Wan Azli.

Jaringan budaya di sini nyata terpisah-pisah. Bentuk budaya yang berlapikkan urban ini bukan fenomena menyeluruh. Ia sekadar merewang-rewang dalam kelompok terpencil, yang biasanya tampak lebih ‘kelas’. Adakah ini disebabkan kita terkena tempias mentaliti feudal? Sesetengah kumpulan musik urban, atau penggerak seni urban ini tak lama untuk ‘berkarya’, mungkin kerana keputusan idea, atau sekadar melayan zaman muda? Malah,‘karya’ mereka pun belum tentu boleh dihadam oleh orang kebanyakan. Jika ada sekalipun puak urban yang berjaya menerobos masuk ke khalayak ramai, kebanyakannya hanya diransang oleh media massa, seperti TV. Itupun kerana melayan trend semasa, dan ada peluang keuntungan di situ.

Kita tiada pembikin segigih dan seberani Oliver Stone. Kita kekurangan Gramsci, Pramoedya, Tagore, Orwell. Kita juga masih tiada Iwan Fals, Sawung Jabo, Doel Sumbang, Bob Dylan, Patti Smith, The Smith, Sex Pistols. Dulu ada sorang, tapi dah jadi hampeh, semenjak menjadi pengetua sebuah akademi tahi kucing.

Ini tak mungkin akan menghasilkan sebarang mobiliti – bukan revolusi lagi – sosial yang menyeluruh. Saya berani katakan sebegitu kerana, perubahan struktur sosial mesti berakarkan perubahan dari kebudayaan. Kerana itu, di China, Revolusi Budaya yang digerakkan, bukan revolusi politik, bukan juga ekonomi. Medium budaya itu hanya ampuh jika ditolak oleh kekuatan bahasa, yang menunjangi dasar kebudayaan, kerana hanya melalui kekuatan bahasa kita boleh mengetuk-ngetuk pintu kebenaran.

Perubahan menyeluruh memungkinkan kesepaduan dari segi kafahaman budaya, kerana ini yang paling fundamental. Mobiliti sosial, saya fikir, perlu berakar kepada budaya, budaya dengan kefahaman yang jelas, tak eksklusif, apatah lagi terputus-putus. Dan, medium komunikasi bahasa ini semestinya ditatang oleh cabang-cabang intelektual seperti musik, filem, puisi, novel, lukisan dan sebagainya. Oh, dalam masa yang sama, saya masih juga tertanya-tanya, mengapa saya tidak pernah menemui ‘ulamak urban?’


Mohd Ikhwan Abu Bakar

p/s: Jimmy tak mungkin pupus dari ingatan...