Memaparkan catatan dengan label John Locke. Papar semua catatan
Memaparkan catatan dengan label John Locke. Papar semua catatan

Sabtu, November 14, 2009

Revolusi Kecundang

Dunia memang diakui, dihuni berbilion umat manusia. Tapi manusia hidup di bumi, di sebalik jumlah yang ramai, mengalami sensasi pengalaman, pengetahuan, perasaan dan kenikmatan itu secara sendirian. Cuma bagi ramai manusia, sensasi ini cuba untuk dikongsi bersama manusia yang lain dengan mencuri sedikit ruang dalam proses kehidupan seperti bertandang ke konsert atau menghadiri parti buih.

Sejak zaman kecil lagi saya kurang ‘bergaul’ dengan orang lain selain ahli keluarga sendiri. Kawan sepermainan saya tak lain hanya abang kandung saya sendiri. Kini, kami tak serapat dulu. Ada mitos menyebut, kalau hubungan adik-abang itu rapat semasa kecil, bila besar pasti merenggang, dan sebaliknya. Mungkin inilah yang terjadi kepada kami berdua hari ini yang menyebabkan mitos itu bertukar menjadi hakikat.

Adapun masa kecil saya juga saya suka bercakap seorang diri. Dari pengaruh televisyen, jika sesebuah drama atau filem itu cukup mengesankan, terutama hero-nya, maka saya akan ‘melakonkan’ semula babak-babak cerita itu. Ia bukan sekadar aksi, tapi turut disertakan dengan lontaran dialog. Misalnya, jika cerita itu cerita kepolisian, tamat saja cerita, tak lama sesudah itu saya pula yang akan berlagak seperti inspektor. Pernah sekali abah saya menegur – “oi, apa cakap sorang” – sewaktu saya dengan penuh perasan real melakonkan watak seorang kapten kapal yang sedang bergelut dengan gelungan ombak besar di Lautan Pasifik. Ruang tamu di rumah waktu itu saya jadikan set dalam ruang kopkit kapal laut.

Kenyataannya tabiat bercakap seorang diri berlanjutan sampai ke hari ini. Saya tak pasti sama ada pengakuan ini memalukan diri sendiri, bodoh, atau saya bakal dituduh sudah biol. Kalau ya, masakan saya sudah gila sejak belum baligh? Wah wah wah…

Betapa poyonya saya bercakap tentang ‘revolusi’, konon menyeru orang ramai melakukan perubahan sosial. Poorah! Mana mungkin, sedangkan saya tak menyukai orang lain, in particular! Hari ini kawan yang benar kawan bagi saya andai disusun sepuluh jari barangkali jumlahnya tak sampai separuh. Sungguh memalukan. Tak suka tak semestinya benci. Lalu dari mana datangnya rasa tak suka? Mungkin saya perlu menyuluh pada pandangan empirikal Lockean dalam hal ini.

Keluar dari perut ibu, dari satu situasi tabula rasa, manusia membangunkan kehidupan dengan menyerap segala sensasi pengalaman. Ia bermula dengan mengeksploitasikan segala deria – rasa, sentuhan, bau, penglihatan dan pendengaran. Dari sinilah otak mula berfungsi melakukan bertindak-balas terhadap kesemua tindakan pancaindera. Misalnya, macam mana saya pandai makan nasi suap ke mulut menggunakan jari, sedangkan seorang pemuda Irish pasti akan terkial-kial untuk melakukannya? Ini bermula dari ‘peniruan’ saya dengan memerhati gelagat orang yang paling hampir dengan saya. Dalam kes ini, mungkin emak saya, mungkin abah saya. Selain itu, kerja ‘peniruan’ diperhalusi lagi bila ibu bapa saya mengajar saya cara makan yang betul dan beradab. Hasil pengulangan demi pengulangan, akhirnya saya pandai makan suap (bukan rasuah, ya) dengan sempurna. (Masa kecil saya makan nasi berkecah. Emak saya selalu alas pinggan dengan surat khabar lama. Lebih senang mengemas dari asyik mengelap alas meja. Kalau makan atas lantai, lantai wajib dialas dengan surat khabar lama. Haha!) Dari menggunakan tangan, saya mula pandai menggunakan sudu dan garpu. Yang ini dari mana pula pengaruhnya? Mungkin dari ibu bapa saya, arwah datuk saya yang disiplin kehidupannya seperti seorang Inggeris tipikal, atau dari kotak bangang yang kerap menayangkan drama/filem Hollywood? Apa yang pasti, dari babak filem saya pandai melakonkan gaya orang mabuk minum arak dengan hanya memegang segelas teh-O.

Ada pandangan yang membangkang teori ini dengan mengatakan bahawa manusia membangunkan sisi individu berdasarkan faktor genetik dan keturunan. Saya tak menolak mentah-mentah pandangan ini. Namun kalau diikutkan pada pandangan pertama, dalam kes saya, ia relevan, malah amat relevan. Puncanya, manusia secara umum mudah membuatkan saya berasa “annoying” atau rasa ‘tak selesa.’ Lingo muda-mudi zaman sekarang kata, tak boleh blah. Apa pasal? Dalam kes saya, pandangan ini saya yakin hadir bersama hasil pemerhatian dan pergaulan saya dengan alam persekitaran. Pengalaman hidup telah mengkonstruk pandangan saya terhadap manusia sekeliling. Saya telah terserempak dengan realiti sosial yang amat hodoh bak hantu Frankenstein. Saya terkepung dalam kelompok masyarakat yang kebanyakannya masih tinggal di dalam ‘gua.’ Manusia tipikal spesis ini memang cukup membosankan. Rasanya inilah punca saya mengamalkan dasar ‘tutup pintu’ dan bila diberi salam, tak dijawab.

Jadi saya pun selalu terfikir apa sebabnya ada manusia bercakap seorang diri? Setakat jawapan yang saya temui, kerana manusia ini mesti bercakap. Dan saya – saya mesti meluahkan. Kerana ada sesuatu yang berlegar-legar di dalam benak fikiran. Bila sudah bercakap sendirian (bukan menulis!), saya akan rasa lebih selesa. Masalah timbul kerana ‘kelemahan’ diri saya sendiri yang tak berapa gemar bergaul atau digaul dalam kuah rojak yang tak sedap. Jadi akhirnya saya terkantoi bercakap seorang diri. Saya umpama filem di panggung yang tiada penonton – membebel, mengilai, mentertawa, memesan, memuji, memuja hatta membangsatkan kehidupan itu sendiri. Filem yang tiada penonton di panggung pada hakikatnya sedang bercakap seorang diri.

Tapi, tunggu seminit. Yang sebetulnya bukan tiada audien. Saya percaya walau jumlahnya mungkin tak ramai, namun tetap ada “potential audiens” yakni terdiri dari kalangan mereka yang ‘celik’ yang barangkali sudi mendengar bebelan saya. Malangnya, golongan ini tak saya temui. Mereka berada di-somewhere. Malah ada kemungkinan “potential audiens” ini tidak akan ditemui sampai bila-bila. Kesudahannya, saya sekadar mampu menembak suara sumbang saya ke zarah-zarah halus yang tak mungkin mengerti. Saya tak menjangkakan “potential audiens” terdiri dari kalangan pembaca ‘Kreko’ atau ‘Mangga’ atau ‘Mingguan Misteri.’ Namun andai saya berjaya menemui golongan ini, “potential audiens”, atau lebih baik kiranya lebih ramai yang ‘celik’ dan boleh berfikir, berkemungkinan saya beralih mengamalkan dasar ‘buka pintu’ pula.

Ironinya, adakah itu sebabnya saya berpura-pura melaungkan revolusi pemikiran? Atau nak lebih pekat poyonya, anjakan paradigma? Pencerahan tak akan berlaku jika tidak dimulakan dengan mempertikai dan mempersoal. Inilah dia asas manusia berfikir. Dalam situasi yang tak menentu ini, bagi yang masih tinggal di dalam gua, secebis keberanian mempertanya mengapa gua ini gelap, itulah salam untuk ‘pencerahan.’


Mohd Ikhwan Abu Bakar

Selasa, November 03, 2009

Penulisan dan Perubahan

Saya cukup realis bila mengatakan, setidak-tidaknya waktu ini, yang BinFilem masih terlalu kerdil skalanya untuk menolak sebuah ‘revolusi.’ Kenyataan ini dirujuk pada statistik purata pelawat setiap hari yang kurang lebih, 200 orang. Untuk melakukan perubahan menyeluruh, paling penting bermula dari perubahan pemikiran, blog ini perlu dibaca oleh sejuta pembaca dari segenap lapisan masyarakat, pada setiap hari. Apapun, ini bukanlah motif utama Binfilem wujud.

Salah seorang pembaca berjaya dikesan. Apabila ‘Kitab Binfilem’ diterbitkan secara amatur, Jhebat ada memberitahu saya salah seorang penempah awal ialah seorang lelaki yang sudah berkeluarga. Jhebat pergi menghantar sendiri tempahan, by hand kepada lelaki ini. Tapi yang menerima adalah isterinya. Lalu saya bertanya pada Jhebat, dia tinggal di mana? Di sebuah rumah pangsa dekat Sungai Buluh, kata Jhebat. Saya langsung mengagak, keluarga ini adalah dari kalangan kelas pekerja. Lagipun ikut logik, takkan ada golongan bangsa(t)wan yang tinggal di rumah flat?*

(Binfilem, sebagai kitab ianya ‘amatur.’ D.I.Y 99%. Kalau penulisannya tak cukup gerek bagi kamu, tapi tolong, jangan pandang remeh pada kulitnya. Untuk kitab ini, wajib beriman dengan frasa; jugde book by its cover, dude.)

Saya tak berapa hairan kalau yang baca Binfilem itu dari kalangan blogger, penulis, artis, aktivis sosial, hipsters, freethinkers, professor, pembikin filem, moviegoers, pelajar, ulat buku, tok imam, mak bidan dan sebagainya. Yang cukup membuatkan perasaan saya nyaman, bila mengetahui salah seorang yang membaca ialah seperti saudara dari Sungai Buluh tadi. Sambil tiada niat memperlekeh intelektual dan tahap penguasaan saudara tadi dalam bahasa Inggeris, saya percaya pemilihan penulisan dalam Bahasa Melayu (maaf, saya masih agak janggal menggunakan Bahasa Malaysia. Rasanya, ia belum pernah ‘wujud.’) membuatkan beliau mudah mengikuti penulisan di blog ini. Bayangkan, andai Binfilem dikarang dalam bahasa Inggeris, saya terpaksa berteka-teki sama ada saudara tadi akan mengikuti penulisan di blog ini atau tidak. Malah tanpa bancian sekalipun, saya lekas percaya majoriti Melayu dari kalangan kelas pekerja tetap selesa dengan bahasa Melayu. Mereka tetap bertutur dalam bahasa Melayu dalam perbualan harian; di rumah bersama isteri dan anak-anak, di tempat kerja bersama rakan sekerja, di warung kopi, di masjid, di majlis kenduri-kendara, di balai raya, di kedai runcit, di mana-mana saja. Jadi, apa hak kita untuk menuduh kelompok dari kelas ini sebagai tak ‘global’ atau ‘anti kemajuan?’

Rata-rata orang Melayu itu sendiri, saya turut percaya masih selesa dengan bahan bacaan berbahasa Melayu. Tak payah nak menipu diri sendiri. Yang beria-ia mahukan bahasa Inggeris diserap sebagai tunjang utama proses pendidikan hanya dari kalangan elit pertengahan termasuk kalangan bangsawan dengan menempek pada alasan ‘global.’ Saya sedikit pun tak hairan, tuduhlah saya ‘tak global’ atau ‘anti-global’, saya yakin persoalan bahasa juga melibatkan soal pertembungan kelas: marhaen (majoriti) VS elit borjuis (minoriti). Buktinya, ada kelompak elit borjuis yang lebih rela menghantar anak ke “International School” jika PPSMI dihapuskan. Ke sekolah sebegitu perlu bayar yuran yang mahal. Dia, si borjuis, berani mengancam begitu bukan kerana dia lebih pandai atau lebih global atau pemikirannya lebih sofistikated dari orang lain, tapi hanya disebabkan dia banyak duit.

Selain itu, saya juga terperasan, hanya sebahagian masyarakat di negara ini saja yang riuh-rendah tentang ‘ancaman globalisasi’, walhal hakikatnya negara ini masih tak ke mana jua. Mereka yang dok kecoh ini masih tetap ‘terperangkap’ di negara ini atau mungkin masih sabar menanti tawaran kerja bergaji lumayan dari syarikat produksi multinasional di seberang laut? Maklumlah, kata ‘global.’ Kerana itu mereka masih tinggal di negara ini dengan penuh kesabaran di dada agaknya. Sebab, dari sedikit pengalaman menonton filem-filem dari negara Eropah seperti Perancis, Itali, Jerman, Sepanyol, Finland, Denmark, dll, realiti kehidupan yang dipaparkan dalam filem-filem tersebut tak pula menampakkan yang mereka terlalu terdesak untuk berbahasa Inggeris. Ataupun poyo bercerita tentang globalisasi. Yang saya nampak hanya secebis cerita dari sebahagian masyarakat di sana, yang boleh dikatakan cukup selesa dengan budaya tempatan, termasuklah bahasa pertuturan. Negara-negara ini, kena ingat, adalah negara-negara maju. Negara-negara ini tak cukup ‘global’ ke?

Ada satu anekdot. Tak lama dulu, ada seorang pembaca berbangsa Cina tempatan mengeluh dalam ruangan ‘komen.’ Kesahnya, dia telah terserempak dengan Binfilem yang terapung di sebuah laman web, lalu cuba membaca dan dia tak faham. Lalu seorang lagi pembaca Cina memberi komen. Cuma kali ini, Cina yang menulis komen warga Singapura. Dia membalas komen Cina tempatan tadi dengan mengatakan tulisan itu (di Binfilem) sebagai bagus (bagi perspektif beliau) dan hairan bagaimana Cina tempatan tadi boleh mendakwa yang dia (Cina tempatan) tak faham apa yang direpekkan oleh Binfilem. Mengetahui kesah ini dari Jhebat, saya pula yang hairan. Macam mana Cina di Singapura yang majoriti di sana boleh faham Bahasa Melayu dengan baik, nak-nak Bahasa Melayu hanyalah bahasa pertuturan kaum Melayu di sana, iaitu kaum minoriti? Cina Singapura takkan pernah menulis karangan Bahasa Melayu untuk menjawab kertas Bahasa Melayu dalam peperiksaan SPM. Oh Tuhan, inikah yang dinamakan pelik bin ajaib? Sial, Singapura juga negara maju!

Pepatah Mat Saleh menyebut, “kota Rom tak dibina dalam sehari.” Negara ‘kafir’ Eropah membina tamadun hasil dari pemikiran cerah dan jiwa yang merdeka. Bukan dengan fasih bercakap Inggeris. Dari Dante ke Voltaire ke Popper, teks mereka yang asal masing-masing dalam bahasa Latin, Perancis dan Jerman. John Locke, dia memang menulis dalam bahasa Inggeris, sebab dia orang Inggeris. Mereka yang saya sebut ini adalah antara ajen pencerahan bumi Eropah. Masyarakat yang ‘celik’ menolak rasuah, merayakan demokrasi, menolak feudalisme, merayakan keilmuan. Agak aneh, mereka yang bertempik tentang globalisasi di sini seakan tak pernah sedar yang masyarakat di negara ini masih bermastautin dalam gua kegelapan. Yang gelap perlu disuluhi. Mengapa perlu tunggu sampai 200 tahun baru nak keluar dari gua?

Saya bukan anti bahasa Inggeris. Saya cuma tak suka bola sepak Inggeris. Satu fakta tak tipu punya, setiap hari saya membaca bahan bacaan dalam bahasa Inggeris, selain Bahasa Melayu. Tapi bila berbicara tentang perubahan sosial, kita wajib berfikir secara pragmatik. Setiap warga di negara ini perlu sedar bahawa bagi majoriti kelas pekerja berbangsa Melayu, bahasa pertuturan harian masih tetap Bahasa Melayu. Orang Cina dan India serta palbagai lagi etnik dari kalangan marhaen luar bandar pula jangan dipingggirkan, mereka lebih ‘selesa’ dengan Bahasa Melayu. Mereka juga kelompok sasar untuk ditarik keluar dari jurang kegelapan. Kenapa? Tak percaya? Janganlah bertenggek kat Sri Hartamas saja, memang la tak nampak, ngok.

Maaf jika berbunyi poyo (macam tak biasa), menulis dalam bahasa Inggeris sekadar melewatkan proses pencerahan (aufklarung la konon) ke arah menuju masyarakat moden yang sebenar yang bebas dari kelengkang feudalisme. Ini kerana untuk memastikan majoriti ini fasih berbahasa Inggeris, bertutur, membaca dan menulis, ia bakal memakan masa yang panjang. Mereka yang menulis dalam bahasa Inggeris dengan harapan dapat menyedarkan masyarakat pula, hanya mampu pergi ke kelompok minoriti yang berkemungkinan terdiri dari kalangan mereka yang telah sedia ‘celik.’ Jadi penulisan bahasa Inggeris dalam konteks ini melecehkan proses percerahan tadi, bahkan silap hari bulan membuang masa. Menghamparkan kesedaran dan idea pencerahan melalui bahasa bukan pertuturan majoriti juga berkemungkinan membuatkan tulisan itu berpatah balik kepada diri si penulis. Kesedaran yang timbul, hanya kekal timbul dalam diri penulis. Ia umpama menulis diari peribadi, memoir buat diri sendiri. ‘Idea’ itu kembali bersatu dengan tuan empunya diri, penulis. Seterusnya penulis tadi terus berilusi yang dia telah melakukan ‘sesuatu.’ Mungkin juga tulisan begitu dipuji dilambung oleh sarjana, pengkritik, wartawan luar negara, namun hampeh kesannya terhadap potensi perubahan dalam konteks tempatan hampir sifar. Mungkin benar dia punya idea, tapi malangnya tulisannya itu tak menjenguk ke ‘luar’, sedangkan masyarakat ramai itu ada di ‘luar’, bukan dalam kepala otak dia.

Tapi jika Bahasa Melayu dijadikan pengirim mesej kesedaran tadi, ia lebih cepat dan terus ke kelopok sasar yang majoriti tanpa perlu merewang-rewang berlagak pandir. Motif penulisan dalam konteks ini adalah untuk menghamparkan kecerahan pemikiran, bukan untuk dianggap ‘global’ disebabkan fasih berbahasa Inggeris. Ini logik, bukan lebong. Pergi mampus la dengan ‘global’! Ini kerana, hanya golongan ini, kelas pekerja, yang berpotensi melakukan perubahan sosial secara total tanpa bergantung harap pada parti politik yang tak boleh diharap. Dengan syarat; saya dan kamu dan mereka semua celik dan sedar. Dengan mengecualikan Binfilem, bila bercakap soal perubahan/pencerahan, menulis dalam Bahasa Melayu adalah tindakan revolusioner, lebih jujur, dan berpekerti mulia.


Mohd Ikhwan Abu Bakar

* Akan tulis tentang fenomena rumah flat, apartment dan kondominium mewah di Negara ini, kalau rajin.