Memaparkan catatan dengan label Guy Debord. Papar semua catatan
Memaparkan catatan dengan label Guy Debord. Papar semua catatan

Isnin, September 07, 2009

Dari Wajda ke Pathiraja

Andrej Wajda mula menceburi bidang seni sebagai seorang painter di Kraków’s Academy of Fine Arts dan kemudian memasuki Łódź Film School di tanah kelahirannya. Tapi sebelum itu mari kita imbau sejarah sosio-politik negara Poland ini. Ia mencapai kemerdekaan kedua (Second Polish Republic) pada tahun 1918 sejurus selepas Perang Dunia Pertama. Kemudian negara ini telah diserang dan ditakluk oleh Nazi sekaligus mencetuskan Perang Dunia Kedua. Filem seperti The Pianist (2002) oleh Roman Polanski mampu membawa kita merasai kesengsaraan terutamanya bagi golongan Yahudi (seperti Wajda). Namun selepas jatuhnya pakatan Axis – Nazi – di Poland, tentera merah Soviet pula menakluk lalu ia digelar People’s Republic of Poland yang bertindak sebagai negara satelit Soviet. Perang Dingin pula berlaku di antara dua kuasa besar pasca-perang iaitu USSR—Warsaw Pact dan US—NATO. Sehinggalah pada tahun 1989 baru Poland mencapai kemerdekaannya buat kali ketiga (Third Polish Republic), lalu menjatuhkan fahaman Komunis authoritarian. Man of Iron (1981) arahan Wajda bukan saja mendokumenkan gerakan Solidarity dan Revolusi ’89 di Poland malah saya percaya turut sama meledakkan revolusi sosial — mula-mula di Poland, seterusnya di Eropah Tengah sehingga tersungkurnya USSR. Jika Guy Debord pernah mengkritik Godard bahawa filem-filemnya adalah revolusi sosial yang gagal. Tidak sama sekali bagi Wajda, beliau berjaya!

Pemikiran seseorang sutradara pasti terpancar pada karyanya. Bapa Wajda terbunuh ketika ‘Katyn massacre’ dan beliau menyertai Polish United Workers Party di usia mudanya. Turut menyelitkan unsur dokumentari, Lech Wałęsa (yang muncul dalam filem ini) memang betul-betul mengetuai gerakan Solidarity di Gdańsk Shipyard. Selain itu unsur-unsur simbol dan perlambangan juga muncul di dalam filem ini. Ini barangkali adalah kesan dari cabang seni painting. Masalah dan isu kesatuan juga turut dibangkitkan, sebagai contoh, para buruh dan pelajar tidak bersatu. Mereka melakukan demonstrasi secara berasingan (kecuali di penghujung cerita). Ini serius menyedarkan audiens Poland pada ketika itu, heck ia menyedarkan saya.

“I trust you will be a democratic couple, so let me share these flowers democratically.” – Lech Wałęsa.

Kemerdekaan (kali ke-3) yang mereka kecapi ini memberikan mereka erti kemerdekaan yang jitu. Mula-mula dirogol oleh fasis—Nazi, kemudian diliwat komunis—Soviet pula. Hidup mereka sentiasa ditindas, dikongkong malah dilenyapkan secara senyap.

Perkara yang sama juga berlaku di dalam filem Someday in Future (2001) hasil karya Dharmasena Pathiraja dari Sri Lanka. Seperkara yang menarik tentang filem ini, kebaikan dan kejahatan disusun sebelah menyebelah lantas merobohkan segala tanggapan dan pra-konsep baik-jahat. Contoh: 1. dua orang pemuda miskin teraju utama filem ini telah dilayan dengan baik oleh seorang anak gadis comel keluarga kaya di rumahnya. Kemudian ketika pulang, salah seorang daripada pemuda miskin itu bantu seorang gadis di tepi jalan lalu merogolnya di dalam semak. 2. Salah seorang pemuda miskin itu bermain bola keranjang bersama anak gadis kaya di rumahnya dengan manja. Di dalam belukar, kedengaran bunyi tangisan bayi lalu muncul tubuh seorang wanita (isteri salah seorang pemuda miskin itu tadi) meniarap mati berdarah dibunuh. 3. Anak gadis kaya yang naïf itu menceritakan bahawa dia dan salah seorang pemuda miskin itu akan bercuti ke London pada minggu depan. Pemuda itu lalu ditahan, diseksa dan dibunuh oleh polis. Berita mengatakan bahawa kedua pemuda miskin itu terbunuh ketika cuba melarikan diri dari tahanan polis.

Menurut Pathiraja sendiri, filem-filemnya hanya mendapat tempat di kalangan ‘upper middle class’ yang mampu tonton wayang atau punya tv. Ini sama kesnya di sini, cuma yang ‘mampu’ itu, lebih cenderung untuk menonton filem-filem yang tidak membebankan akal. Ini kerana nilai ‘kehidupan’ dan ‘kemerdekaan’ tidak disulami makna. Sistem dan media massa berterusan melarang kebenaran. Keadaan menjadi terlalu pasif dan selesa umpama kembali ke dalam rahim.

Seperkara yang mengelirukan adalah Parti Buruh di negara ini tidak mendapat sambutan. Yang menggerakkan ekonomi kapitalis adalah para buruh, iaitu mereka yang makan gaji. Kewujudan Parti Buruh adalah untuk menjaga kepentingan buruh-buruh tadi. Ia menjadi pelik pabila mereka yang makan gaji ini menafikan diri mereka sebagai buruh. Buruh disinonimkan dengan buruh kasar pendatang asing. Itu kelas yang berbeza kata mereka. Sedarlah bahawa kita telah pun memasuki abad ke-21. Demokrasi kapitalisme adalah cubaan yang gagal, ianya sungguh kurun ke-20. Sudah ketinggalan zaman. Tiba masanya untuk kita cuba demokrasi libertarian sosialis yang masih sunti. Kenapa mesti kita teruskan sistem lapuk yang gagal? Adakah kita perlu tunggu sehingga SWP (Socialist Workers Party) kuasai Britain, ISO (International Socialist Organization) kuasai US dan NPA (Nouveau Parti Anticapitaliste) kuasai Perancis baru kita terhegeh-hegeh nak ikut sama? Dasar lalang!


Ridhwan Saidi adalah seorang sosialis yang anti-sosial.

Ahad, Julai 26, 2009

Romantika Marhaen

Selaku penganut sinema ortodox Soviet mahzab Eisenstein dan Kuleshov, saya percaya bahawa sinema itu ibarat bom yang akan meledakkan revolusi sosial, yakni pencerahan minda secara mutlak dari bawah ke atas. Walau bagaimanapun saya terpaksa akur dengan hakikat bahawa masyarakat kita masih lagi jahil (ignorant.) Ditambah jumlah penonton filem “arus perdana” di negara ini hanya sekitar 100,000 daripada 28 juta rakyat. Ini berbeza dengan Czechoslovakia yang mana rakyatnya hanya 15 juta, tapi jumlah penontonnya melebihi 1 juta. Dari situ wujudnya Czech New Wave yang mana tujuannya adalah untuk membuatkan warga Czech sedar bahawa mereka adalah sebahagian daripada sistem, yang ironisnya sedang menghentam mereka secara brutal ketika itu. Pokoknya memberi kesedaran! Tapi di negara bertuah ini ia terbalik, yang menonton filem itu makin lalok.
Guy Debord kunci kepada gerakan Lettrist dan kemudian Situationist pernah mengkritik Jean Luc Godard bahawa filem-filemnya adalah revolusi sosial yang gagal. Ini sama ceritanya dalam cabang senibina. Rem Koolhaas mengkritik Le Corbusier bahawa senibina-senibinanya adalah revolusi sosial yang gagal, (pulak dah.) Dogme 95 (yang dianggotai Lars von Trier) juga mengkritik karya-karya Godard yang “anti-borjuis” itu, kerana akhirnya menjadi santapan golongan borjuis lagi exklusif. Turut dikritik adalah teori auteur yang bersangkut paut dengan French New Wave dan Cahiers du Cinéma yang dikatakan tak lebih dan tak kurang adalah romantika borjuis semata-mata. Kontra, saya pula percaya apa yang saya raikan selama ini adalah romantika marhaen, counter-auteur! Konon.

“Sinema telah mati!”

“Lebih tepat pada 31 September 1983” bak kata Peter Greenaway. Tambah si futurist bermulut celupar ini lagi, “apa kejadahnya audiens duduk membatu di dalam gelap?”. Meta-sinema yang dibawanya sudah melangkaui zaman, penonton tidak lagi sepatutnya duduk diam, sebaliknya sudah mula berinteraksi (pengalaman fizikal) atau bersimbiosis dengan imej-imej visual. Jadi karya yang dipersembahkan kebiasaannya kini berupa, apa yang kita panggil art installation. Dari segi kemajuan sinema sebagai meta-sinema, saya cenderung bersetuju dengan pendapatnya. Malah dengan selamba beliau menyamakan filem-filem Martin Sorcese dengan filem-filem D.W. Griffith kembali sejak 1910. Hujahnya bahawa emosi dilayar kelihatan lebih bijak, enjin publisitinya beribu kali ganda lebih baik, akan tetapi format naratif serta organisasi material dan karakternya tetap serupa, tidak berubah, statik.

Meta-sinema itu selari dengan pasca-moden. Ini saya terima sebagai satu landasan diakronis evolusi seni. Cuma masalahnya, di negara serba eklektik lagi keliru ini, pemikiran pasca-moden hanyalah satu lawak jenaka semata-mata. Orde!

Tradisional—Moden—Pasca-moden

Pasca-moden menolak modeniti seratus peratus, manakala modeniti menolak tradisi seratus peratus. Salah satu ciri modeniti adalah dengan menolak hiasan (ornament) sebagai nilai estetika. Kita ambil contoh baju kurung tradisional, dengan teluk belanga/cekak musang berserta pesak dan kekek. Kainnya biasanya bercorak bunga-bunga kecil. Ia berbeza dengan baju kurung moden, yang sepatutnya tidak lagi berbunga-bunga. Dari segi potongan pula, pesak dan kekek dibuang (tolak tradisi.) Malah ada juga yang satukan baju kurung dan kain sekali macam dress. Lepas itu, baju kurung pasca-moden pula – rasanya belum dibuat orang – tapi pokoknya geometri paten pesak dan kekek yang dibuang tadi didekonstruk (revive) menjadi sesuatu yang baru. Kalau saya pereka fesyen, baru kurung moden tadi dibikin seperti dress paras atas lutut (ya, memang seksi,) kemudian paten kekek dijadikan poket (comel) manakala pesak dijadikan waist line ala belt gitu. Teluk belanga atau cekak musang boleh dekonstruk menjadi sesuatu yang baru. Malah pada tahap ini, material kain boleh diadu domba: kain kapas, cashmere, sheer, jersey, denim, linen, lycra, leather atau suede belasah saja, eklektika!

Berbalik kepada realiti estetika masyarakat kita. Macam mana nak moden sedangkan kedai kain di negara kita ini penuh dengan kain bercorak? Lebih kacau bila kain-kain itu berkilau, bercorak penuh dan berlabuci, over bak kata omputih. Estetika tradisional ini patut dibuang jauh-jauh. Ini sangat penting, pencerahan estetika mesti berada di tangga teratas revolusi sosial.

Sekarang, dari kedai kain ini akan saya bawa anda masuk ke dalam filem dan televisyen, apa yang kamu nampak? Ok, pertama sekali pemikiran tradisional, ahli keluarga golongan borjuis yang tak habis-habis berebut harta atau cinta di antara dua darjat, tipikal, klise. Takpe, mungkin terlalu berat atau deep untuk berfikiran moden (yakni hanya dengan menolak tradisi.) Mula-mula kita tengok kereta, ah, rekabentuk moden Eropah, BMW, clean & sleek, cun. Tapi bila kita masuk ke dalam istana si borjuis tadi, aik? Kerusi gajah? Langsir bercorak? Bingkai gambar berukir? Pasu bunga berhias? Hey ini art direction, kalau bajet sifar atau rendah tak mengapa, ini bajet ribu-ribu tahap industri. Percanggahan demi percanggahan estetika ini serius membingungkan, malah sampai satu tahap, menghina intelektualiti saya selaku penonton.

Sebab itu saya percaya bahawa kita perlu redefine kembali modeniti (rujuk: remodeniti,) sebab kita belum betul-betul moden. Dalam senibina, kalau kamu nak tahu, Masjid Negara adalah simbol modeniti sebenar. Malah adalah identiti negara Malaysia, ianya original dan tak pernah dibuat orang. Kepada yang layan semiotik, bumbung Masjid Negara adalah simbol payung, yang memayungkan kita daripada hujan panas, sekaligus bertindakbalas dengan iklim negara ini. Tapi hairan, identiti Malaysia ini tidak dikembangkan atau diterapkan ke dalam Putrajaya. Identiti orang lain yang dicedok, mengecewakan. Sama macam filem dan televisyen, identiti orang lain yang dicedok, kasihan.


Ridhwan Saidi