Isnin, Februari 28, 2011

Kesenian dan Konsumerasi

Kelmarin saya ke Buka Jalan International Art Festival di Balai Seni dan terlihat dua susuk pembikin filem berkacamata hitam: U-wei dan Mansor. U-wei akan datang dengan filem terbarunya Hanyut manakala Mansor pula mengingatkan saya kepada tulisan Abror baru-baru ini di JalanTelawi.com. Di dalam tulisan itu ada menyentuh mengenai filem Seman (1986) yang melawan dogma itu. Pabila melihat rambut kedua pembikin ini yang berwarna putih, hati saya sedikit gusar. Tanpa disedari filem Seman telah berlalu 25 tahun yang lalu. Umurnya seusia dengan tubuh saya. Ya, tidak salah kadang-kala kita bernostalgia, tetapi ke manakah perginya pembikin-pembikin yang masih belum berambut putih? Sampai bila kita mahu berpaut pada ‘satu-satunya’ filem eksperimental tempatan itu? Saya tanya, saya sendiri akan jawab.

Baru-baru ini saya ada menonton filem Chermin (2007) dan Bila Punggok Rindukan Bulan (2008) secara terus menerus. Kepada yang tidak tahu, kedua-dua filem ini dihasilkan oleh mereka yang masih belum berambut putih (dalam lingkungan bawah 30-an). Tak dinafikan saya lebih cenderung untuk meminati filem yang kedua. Chermin bermula dengan baik bagi sebuah filem yang berlokasikan resort… eh silap kampung. Dari segi jalan cerita ia kuat mengikuti acuan Hollywood. Saya tiada masalah dengan ini, cuma semakin lama – filem ini semakin gedik. Bagaimana mak cik sismance itu balik rumah melalui hutan rimba sangat menggelikan hati. Di kampung-kampung, laluan manusia dipanggil denai. Mengetahui ini saya sedari terdapatnya satu paten di mana seseorang pembikin itu, belajar di Barat kemudian ingin bermain kembali dengan semangat Nusantara. Ini tidak salah tetapi jika silap dilaksanakan, ianya akan jadi kelakar. Yang membuatkan saya melupakan filem ini adalah babak exorcist di mana seekor Smeagol merangkak keluar dari tubuh Natasha masuk ke dalam cermin. Entah mengapa saya fed up dengan filem yang baru saya tonton itu. Apa pun daripada 100 markah saya berikan 40/100, sama macam Khurafat. Ia tidaklah seteruk Haq (2011) atau Antoo Fighter (2009).

Filem Punggok Rindukan Bulan pula tanpa berlengah saya beri 70/100 markah. Ini adalah sebuah filem yang baik dan penting sekaligus. Tidak bermain dengan dunia kampung, filem ini mendekati jiwa-jiwa kota. Semangat perbandaran dan kemajuan; permainan ruang publik/privasi digerakkan dengan jayanya. Mereka yang mendalami ilmu senibina saya syorkan menonton filem ini. Seperkara yang saya perasan, filem ini berhijrah daripada fiksi kepada dokumentari secara halus dan puitis. Terdapat 3 segmen nyata yang saya perasan. Pertama kerinduan berlarutan seorang budak bernama Sidi terhadap ibunya. Ini jika ditekan lebih dalam boleh jadi berupa kerinduan feminisme kesemulajadian alam di dalam dunia maskulin konkrit dan keluli. Kedua proses rakaman dan dokumentasi Amani yang menemubual penduduk setempat. Seperti ruang tangga dan koridor sempit flat Bukit Chagar yang bersifat semi-publik (laluan penduduk) dan semi-privasi (couple bercanda), segmen ini adalah di antara semi-fiksi dan semi-dokumentari. Dan segmen terakhir, bersemadinya flat itu di duniawi ini.

Berbalik kepada hal asal, ya kesenian di negara ini sentiasa sempit dan terhimpit. Baru-baru ini industri perfileman tanah air telah menampakkan pemecahan rekod keuntungan yang memberangsangkan. Saya turut bergembira di atas kekayaan yang masuk ke dalam kocek para pengusaha sinepleks dan pemilik syarikat produksi ini. Cuma jika kita tolak lebih jauh, apakah makna semua ini? Bagi saya penonton di negara ini semakin banyak wang untuk dibelanjakan. Itu saja. Ini serupa dengan makanan yang berlambak di negara ini. Sehinggakan kadang-kadang saya terfikir terdapatkah mereka yang mati kebuluran di negara ini? Melalui alam kita dapat menikmati kesuburan aneka pilihan makanan. Kalau di kota pula lihat saja makanan yang tidak habis. Ianya berlambak. Kita terjerat di dalam kitaran konsumerasi yang statik. Dan kesenian adalah salah satu jalan untuk kita bergerak menjadi manusia yang sempurna.

Di Balai Seni Lukis Negara yang menganjurkan festival seni persembahan Buka Jalan, jika kamu perasan berlaku satu penyongsangan. Bukankah sepatutnya seni persembahan bertaut dengan Istana Budaya? Ya, saya faham. Saya juga jika diberi pilihan akan menjauhi Istana Budaya. Kesenian di negara ini tidak kiralah apa pun, mula korup apabila ia di-glam-kan. Dan Istana Budaya menggenggam falsafah glam ini sampai jadi bara. Mujur adanya kubu kesenian (boleh tahan) di Balai Seni Lukis Negara. Lebih kuat tempat itu mempunyai sejarah. Malah jika mahu dibuat panggung alternatif, mungkin boleh difikir-fikirkan. Saya pernah menonton filem Mexico di situ dan ianya not bad. 

Selain itu, Ayam ada menceritakan kepada saya mengenai kewujudan filem terbaru arahan Nam Ron: Jalan Pintas. Katanya filem ini seperti Gadoh (2009) akan menggunakan jalan songsang, di mana filem itu yang akan mencari penonton. Saya cukup faham dengan tindakan ini kerana di negara ini, sinepleks berkuasa. Kamu perlu tahu beza pawagam dan sinepleks. Sinepleks yang kalau tidak silap saya bawaan Amerika ini adalah gedung yang memiliki banyak panggung (wayang gambar). Pawagam pula lebih bersifat peribadi (atau kecil skalanya). Berbeza di antara menonton di pawagam dan sinepleks. Di sinepleks, kamu adalah seorang konsumer tidak kira apa latar kamu. Pilihan filem sentiasa teruk. Oleh kerana itu saya cukup bersetuju dengan Abror bahawa kita yang meraikan kesenian sejati ini memerlukan sebuah panggung alternatif. Konsumer jamak yang bebal perlu dipariahkan.

Apa pun tidaklah bermakna saya menolak sinepleks seratus peratus. Dua filem yang saya tunggu-tunggu untuk tonton ialah Bunga Lalang dan Hanyut. Di mana lagi dapat saya tonton filem ini jika tidak di sinepleks? Lol. Selalu juga saya perasan atas dasar apa kamu menonton sesebuah filem? Adakah ulasan di surat khabar dan blog atau status FB/Twitter akan mempengaruhi kamu? Ini saya tidak peduli, tetapi bagi saya yang paling penting adalah sesi temubual bersama pembikinnya. Tidak dinafikan Bissme antara yang paling pakar dalam hal ini. Setakat ini temubual bersama Dain dan U-wei paling berkesan buat saya. 


Ridhwan Saidi
P/s: Melalui temubual juga kita berpeluang untuk detect samada seseorang itu benar pembikin filem atau sekadar seorang tukang beri arahan.
P/s/s: Menurut Bissme, tajuk filem Bunga Lalang telah ditukar kepada Bunohan.

Sabtu, Februari 26, 2011

Filem Cereka 70 Minit Pertama

Selalunya apa yang saya mahu lakukan, saya laksanakan tanpa berlengah menghalalkan segala ketidakrasionalan. Seperti membikin filpen tanpa bajet secara mengejut, ataupun menulis novel. Saya sentiasa tidak bersabar dengan masa depan. Tetapi tidaklah bermakna saya meletakkan harapan yang menggunung, saya bukan jenis orang yang begitu. Saya ini rasanya cukup bertenang. Saya sentiasa ada kesedaran dalaman bahawa harapan itu punca nombor satu kekecewaan, jadi saya sentiasa meredhakan apa yang telah, sedang dan akan terjadi. Tetapi ini bukanlah sesuatu yang pelik, sebab nama saya Ridhwan yang bermaksud ‘keredhaan.’

Saya sentiasa meraikan kespontanan dan kerawakan. Walau bagaimanapun bukanlah bermakna saya ini tidak mendamba orde dan mengejar kesempurnaan. Terutama sekali di dalam penghasilan filpen. Ada yang menasihati saya agar menaiktarafkan kualiti produksi. Ini saya faham, tetapi memang dari mula saya menolak sistem produksi ini. Ada benda lain yang ingin saya uji selain daripada ‘kualiti produksi’ yang boleh dibeli dengan wang ringgit itu. Lihat saja filem-filem dengan produksi berbajet dan pembikinan yang bersungguh seperti Krayon, Haq dan seumpamanya. Kualiti produksinya boleh dikira elok dan bersih tetapi…? Lebih-lebih lagi buat filpen, saya merasakan kualiti produksi itu bukan satu keutamaan. Filpen adalah tempat kamu mencuba-cuba. Gelanggang sebenarnya, nah… Filem cereka!

Saya sudah hilang kiraan berapa jumlah filpen saya, ada yang segan ditunjuk dan ada yang entah apa-apa. Tetapi ini semua adalah persediaan dan pembelajaran saya dalam menghasilkan filem cereka. Seperti kata Picasso, “Tuhan cipta zirafah, kemudian Tuhan cipta kuda belang pula,” saya cuba macam-macam untuk kenal diri. Saya belajar untuk yakin dengan sepenuh hati, apa yang saya rasakan betul. Tak dinafikan kita selalu dipengaruhi oleh orang lain. Bak kata pepatah, “kawan-kawan terdekat kamu merupakan satu bentuk cerminan.” Kita secara bawah sedar menggunakan perkataan yang kawan kita guna, atau paling tidak kita akan terikut dengan tindak-tanduk kawan kita. 

Dalam kes saya, saya merasakan filpen Ah Long dan Cekik yang paling dekat dengan diri. Selepas itu saya bukannya menghasilkan filpen-filpen yang gagal macam Tan Chui Mui—All My Failed Attempts. Sebaliknya saya mula menghasilkan filpen-filpen yang mengada-ada. Ini saya sedari melalui kemasukan anasir ‘lakonan’ ke dalam filpen saya. Bukanlah bermakna pelakon-pelakon di dalam filpen saya tidak bagus, mereka ini bagus, cuma saya merasakan potensi sebenar diri saya terletak pada permainan simbol-simbol. Saya perasan saya berkebolehan untuk berpolitik dan bererotik dengan menggunakan simbol. Jika ada pelakon pun, nanti saya akan menggunakan ia sebagai alat untuk membentuk simbol.

Ada sebabnya kenapa saya cuba bentuk-bentuk lain. Pada mulanya saya kurang selesa dengan label ‘eksperimental’. Yelah, pada waktu menghasilkan Ah Long dan Cekik itu, saya sedang kebosanan dan kelaparan seorang diri hidup di dalam loteng tak bertingkap. Saya terjumpa mode video pada kamera prosumer saya dan mula rakam. Kemudian sunting dalam Adobe Premiere Elements. Sebelum itu di waktu persekolahan saya ada cuba-cuba menyunting video-video papan selaju bersama rakan-rakan. Jadi, saya bukanlah bermula dari tidak tahu apa-apa. Saya rasa pembikinan filpen tersebut berlaku secara spontan, dan label ‘eksperimental’ itu kedengaran seperti mengada-ada. Macam ni, kamu tibai rakam apa-apa, lalu berselindung di sebalik label ‘eksperimental’. Ianya seperti terlalu mudah. Macam kamu malas buat kerja lepas tu berselindung di sebalik label ‘minimalis’. Mengelat betul! Walau bagaimanapun macam eksperimental, minimalis ini ada yang betul dan ada yang tipu. Jadi kita ini selaku manusia seharusnya mencari jalan yang betul!

Kelmarin Fasyali ada menceritakan kepada saya mengenai minimalisme di dalam seni teater. Entah apa nama tokoh itu, mula menolak prop dan set kerana beliau percaya bahawa kekuatan teater terletak pada lakonan. Seorang pelakon sepatutnya boleh mewujudkan prop dan dunianya sehingga membuatkan penonton boleh rasa kewujudan prop dan dunia tersebut walaupun tak ada secara zahirnya. Lebih kurang… Mengetahui ini, menguatkan lagi kepercayaan saya bahawa lakonan bukan anasir terpenting di dalam sesebuah filem. Malah saya juga menolak idea bahawa cerita/story, isi/content dan karakter adalah anasir-anasir utama sesebuah filem.

Ramai orang kebiasaannya memberikan komen seperti, “filem si polan itu takde content.” Ini bermaksud, filem itu tak ada mesej tersirat atau ‘moral of the story’ atau entah apa yang mereka fikirkan. Bagi saya yang terdidik dengan ilmu senibina pula, saya tidak percaya dengan konsep ‘tak ada content’ ini. Bagi saya semua bentuk/form secara semulajadinya mempunyai isi/content. Begini, di dalam senibina ianya dipanggil bentuk/form dan ruang/space. Space ini serupa macam content dalam konteks filem. Dalam filem barangkali kamu perlukan penglihatan laduni untuk melihat isi/content, tetapi tidak mengapa, ada cara yang lebih mudah. Melalui senibina kamu hanya perlu menggunakan kedua biji mata kamu. Bentuk/form ini adalah benda-benda yang ‘ada’, solid dan boleh disentuh, manakala ruang/space pula adalah benda-benda yang ‘tak ada’, void dan tak boleh disentuh. Boleh dianalogikan, mereka yang rasional dan politikal melihat sisi-sisi bentuk/form ini. Bagi mereka yang intuitif dan erotik pula melihat sisi-sisi ruang/space. Mahu tidak mahu, saya percaya semua filem mempunyai isi/content, cuma kualitinya yang boleh kita pertikaikan. Macam ruang tempat letak kereta, kualitinya yang teruk tetapi ‘ruang/space’ tetap wujud!

Kemudian kita ada cerita/story dan karakter pula. Karakter ini nadinya digerakkan oleh lakonan. Dan lakonan ini datangnya daripada teater, jadi bukanlah keutamaan filem khususnya. Cerita pula, datangnya daripada novel, juga bukanlah keutamaan filem khususnya. Anasir-anasir ini hanya sekadar pinjaman daripada cabang seni lain. Bukanlah bermakna saya menolak semua ini dan menjadi ultra-filem, tetapi di dalam penghasilan filpen, bukankah lebih baik jika kita cari dan kenal dengan medium filem itu sendiri? Kalau nak fokus lakonan baik buat teater sebabak. Kalau nak fokus cerita baik tulis cerpen. Malah jika kamu lihat filpen-filpen awal pembikin filem Hollywood seperti Steven Spielberg, Robert Zemeckis, Christopher Nolan dan seumpamanya, boleh jadi secara klisenya ramai penonton yang akan mengeluh, “tak faham.”

Walaupun mereka yang mempunyai alasan ‘tak faham’ ini tak patut dilayankan sangat, tetapi filem bukan sekadar kefahaman. Filem juga ada sisi-sisi kerasaannya. Keghairahan itu bukannya sesuatu yang patut kamu fahami. Memetik kata-kata U-wei Shaari yang ditemubual Bissme:

“Semua seni wajib ada dua anasir – politik dan erotik. Tetapi bukan erotik yang bermaksud kelucahan. Erotik di sini bermaksud keghairahan.”

Sepuluh tahun sebelum itu, sekolah senibina saya digelar “school of thought and senses.” Benda ini lebih kurang sama. Atau nama ruangan komen di blog ini satu ketika dahulu iaitu “fikirasa” yang merupakan kata majmuk fikir dan rasa. Ianya adalah dualiti timbal balik antara otak/brain dan ‘hati’ (jantung)/heart. Kalau jantung berhenti, jawapannya mati. Kalau otak berhenti, jawapannya koma. Bagi mereka yang rasional, mereka percaya otak (melalui medulla oblongata) mengawal degupan jantung/heart. Bagi mereka yang spiritual pula, mereka percaya gelombang degupan jantung dan pernafasan yang mengawal otak. Sama macam kereta, takde bateri (cas letrik macam otak) tak boleh start, takde enjin (jantung yang mengepam petrol) pun tak boleh start. Terpulang pada kamu samada mahu pilih mati atau koma.


Ridhwan Saidi
P/s: Asal nak tulis fasal projek filem cereka pertama tapi mengarut ke tempat lain, cis!

Rabu, Februari 23, 2011

Kesufian Tempat Letak Kereta

Saya telah tiga atau empat kali ke Maps, KL dan setiap kali saya pulang jiwa saya pasti resah (kecuali waktu Mimpilem – waktu rakam babak Mat Skodeng; yang ini istimewa.) Saya sendiri tidak pasti mengapa tetapi feng shui tempat itu cukup negatif – ini sesiapa dengan kepekaan intuisi yang tinggi boleh rasa.

Pertama kali saya memandu masuk ke ruangan ini, saya seolah terasa seperti telah ditekan oleh material keluli dan kaca yang maha besar saiznya itu. Skalanya sebesar Pulgasari dan Godzilla di-Katamari-kan—kompleks Maps yang entah apa namanya. Semalam juga pertama kali saya meletakkan kenderaan di bawah tanah tempat letak kereta. Pabila di dalam, saya terus hilang konteks. Saya tiada idea di mana utara, selatan, timur atau barat. Saya hilang pedoman, dari arah mana saya masuk ke dalam ruang itu/di manakah arah jalan utama? Walaupun petunjuk berupa peta disediakan, ianya masih mengelirukan oleh kerana fitrah senibina kompleks itu yang dibina oleh mereka yang berimankan dunia materi. Kamu pasti tahu bukan, mereka yang cenderung kanan, koya-moden, koya-minimalis, super-rasional, anti-manusia dan dan dan. Ini entah mengapa – di dalam kesesatan itu – saya menghiburkan diri saya mengingati saat saya mempelajari subjek sejarah senibina masjid lebih tujuh tahun dahulu.

Ruang letak kereta ini jika kamu perasan dipenuhi dengan tiang-tiang struktur dan service shaft/core (tangga, lif—ruang sirkulasi vertikal). Tiang-tiang struktur yang berkesan mempunyai struktur yang bersistem; dalam erti kata lain, bergrid. Jika kamu pernah ke tempat letak kereta CapSquare, kamu pasti sedar yang tiang-tiang strukturnya bercelaru. Ini saya rasa oleh kerana sifat bekas tapak itu yang sudah pun mempunyai sistemnya yang tersendiri. Boleh jadi kompleks pusat membeli belah itu berdiri di atas tapak sekolah atau rumah kedai; dan tidak cukup bajet untuk mengubahnya, atau lebih stailo, berselindung di sebalik jenama 'adaptive re-use' atau 'green architecture' atau apa lancau. Saya harap tanggapan saya betul, sebab kalau salah, apa kejadahnya mereka bikin ruang letak kereta yang bercelaru?!

Yang menariknya di sini, ruang tempat letak kereta yang dipenuhi tiang ini bukankah sama seperti masjid tanpa kewujudan kubah? Ini bukan penjelasan akademik yang beralaskan fakta, ini hanya sekadar apa yang telah diajar kepada saya yang mempunyai ingatan yang tidak seberapa.

Tempat sembahyang yang pada awalnya berbumbungkan kain dan bertiangkan pohon bergerak selari dengan perkembangan Islam. Pada satu takah, dengan teknologi sedia ada, pembinaan masjid semakin besar dan besar. Dan di dalam perkembangan ini, para arkitek pada zaman itu dengan akal yang dikurniakan Tuhan mula tersentak. Wujud rasa ragu-ragu dan was-was. Bayangkan jika Masjid Cordoba di Sepanyol itu tidak mempunyai kubah. Hanya ruang yang luas dan tiang-tiang struktur. Pasti rekaannya akan jadi serupa seperti ruang letak kereta Maps di kompleks Publika (eh baru ingat nama.)

Kewujudan kubah, selain daripada aspek teknikal (seperti pendentive Hagia Sophia: singgah kubah bagai) juga secara falsafahnya memberi kesan tauhid, bak kata orang putih ada sense of place – a sense of belonging. Bila masuk kita tak sesat. Ini penting, ini sangat penting! Kalau sesebuah senibina itu tidak membimbing manusia keluar dari Gua Plato, bak kata orang Pantai Timur, "ini berat, berat!" Malah Masjid Cordoba ini juga jika kita lihat, koridor-koridornya terang dilimpahi cahaya matari. Ini lama dahulu sebelum green architecture jadi topik perbualan di BFM. Matari percuma di luar, apa kejadahnya pasang lampu di siang hari?!

Ingin juga saya kongsikan pengalaman saya di sini, kalau tak silap saya waktu Krismas tahun lepas, menonton teater Asrar oleh kolektif eh jemaah Seni Suri Jawi. Ada enam garapan, tetapi yang paling menyentuh hati saya digerakkan oleh K'n. Ianya antara pengalaman paling indah menonton teater. Jika ada orang lain seperti Fasyali yang buka cerita mengenai teater, saya tanpa segan silu pasti bermodalkan karya K'n tadi. 

Jadi ceritanya teater Asrar ini dijalankan di Damansara Damai. Kepada yang tidak tahu, tempat ini merupakan antara tempat yang paling ghetto di Malaysia (bagi saya-lah.) Ianya padat, sesak, kelam dan serabut, nampak banner teater ini waktu balik. Tanpa alamat, saya redah sahaja, ingatkan dewan Apartmen Harmoni ini terasing daripada blok sebelah surau gitu, rupanya tak. Prasangka betul! Dalam mencari tempat letak kereta, saya cuba telefon Dewa dan Fasyali mana tahu diorang tahu—tapi tak. Suasana malam bising, tiada idea mahu hubungi siapa (telefon Amerul dah tutup sebab dah sedia untuk persembahan,) dah terlintas untuk makan McDonald's Damansara Damai, tiba-tiba Faiq telefon. Rupanya persembahan teater itu ada enam langkah di depan.


Ridhwan Saidi
P/s: Tak nak dituduh pembenci tempat letak kereta kompleks membeli belah moden tanah air, tempat letak kereta Jusco AU2 adalah contoh yang baik. Sejuk aja hati bila kat situ, siap ada telaga cahaya lagi.

Ahad, Februari 20, 2011

Hikayat Melayu Minimalas

Lebih kurang seratus tahun dahulu, berlaku revolusi citarasa estetika bani Melayu Melaysia daripada ukiran kerawang kepada rekaan minimal IKEA, daripada basikal tua dengan loceng tangan kepada basikal bergear-tetap tanpa brek, daripada berbulu pubik kepada tidak berbulu pubik. Fundamental tauhid estetika ini berubah kerana HIASAN yang berserabut itu tidak lagi dianggap indah sebaliknya ditukarganti dengan FUNGSI yang lebih rasional—pada takah radikal, hiasan dianggap jenayah!

Sidang Sabtu yang dihormati sekalian,

Adapun mereka yang menggelarkan diri mereka Minimalis ini telah melakukan pemberontakan tanggal 13 Mei 2020 untuk menjatuhkan puak Hiasanis. Ia tidak ambil masa yang lama untuk menjatuhkan Melayu Hiasanis yang pada ketika itu malas membaca buku. Mereka telah dilenyapkan secara perlahan-lahan menggunakan teknologi kuno Internet oleh golongan Melayu Minimalis yang rajin membaca blog. Ini boleh dikesan 150 tahun dahulu apabila lukisan-lukisan abstrak yang dibawa oleh pelukis-pelukis yang berpendidikan dari Barat telah dikeji oleh para pelukis vernakular alam natural. Mereka yang meraikan alam kesemulajadian ini adalah puak Hiasanis. Ukiran kerawang dan corak batik mereka berilhamkan alam persekitaran. Mereka yang memuja pohon-pohon, kucing-kucing, sungai-sungai, bukit-bukit, tanah-tanah ini di dalam karya mereka ternyata sesat!

Sidang Sabtu yang dihormati sekalian,

Tidak! Menteri Perdana dan kuncu-kuncu korupnya tidak terusik. Ini bukan peralihan tampuk kuasa seperti di Tunisia, Mesir, Itali dan Albania sebaliknya sekadar peralihan citarasa estetika. Malah melalui Menteri Perdana dan sekutu-sekutu media yang turut sama melanggan mazhab Minimalis, ini telah menjadikan mereka yang masih bertaqwa pada mazhab Hiasanis itu terpinggir dan terdedah kepada bahaya. Majoriti rakyat menerima pembaharuan yang direstui pemimpin kesayangan mereka itu. Setiap malam Jumaat juga Menteri Perdana akan mengayuh basikal bergear-tetapnya bersama rakyat yang baru melanggan mazhab Minimalis di sekitar Petrajaya. Ia satu kemenangan revolusi citarasa yang indah. Lebih sejuta pelanggan baru mazhab Minimalis berkumpul di Petrajaya bersama basikal bergear-tetap mereka yang tidak berbrek, bebas wayar, bebas hiasan.

Ini berbeza pula bagi mereka yang masih berpegang kepada mazhab nenek moyang Hiasanis yang masih mengekalkan tradisi. Nyawa mereka terancam acap kali pemeriksaan mengejut dilakukan pada Hari Raya Aidil Fitri pertama. Langsir-langsir yang bercorak melangkaui skala Mn, melebihi satu warna akan dikenakan tindakan undang-undang malah jatuh sesat. Corak flora atau fauna diharamkan sama sekali, yang dimakruhkan hanyalah corak segiempat sama, segitiga sama, bulat atau garisan lurus bersudut 90 darjah. Malah kain batik pelangi yang digunakan sebagai panji oleh puak Hiasanis ketika pemberontakan mereka dahulu telah pun pupus pada ketika ini.

Sidang Sabtu yang dihormati sekalian,

Baru-baru ini kita telah dikejutkan dengan gerakan reformasi yang telah menuntut pembaharuan di dalam mazhab Minimalis. Ini ternyata satu bentuk penghidupan semula semangat sesat puak Hiasanis. Mereka yang menggelarkan diri mereka Melayu Minimalas ini telah berkata menggunakan intuisi mereka yang tidak tetap itu, bahawa mazhab Minimalis yang kita langgani ini atas sebab kemalasan umat Melayu itu sendiri. Kata mereka, kita yang meraikan semangat kesederhanaan minimalisme ini sebenarnya pemalas! Menyamakan kita dengan puak Hiasanis yang telah kita tewaskan seratus tahun dahulu. Ini sudah tentu ajaran sesat yang cuba dilakukan untuk memesongkan tauhid pelanggan-pelanggan mazhab Minimalis kita. Jika benar dakwaan mereka itu, mengapa saudara dan saudari berhimpun di pagi Sabtu ini di pusat membeli belah terbesar di Asia? Jika tidak kerana kerajinan? Maka dengan itu wajarlah saudara dan saudari Minimalis sekalian memerhatikan tindak-tanduk kawan-kawan dan ahli keluarga jika mendapati sesuatu yang di luar tabii berlaku. Maka laporkanlah ia ke pihak-pihak berwajib bagi membendung gejala tidak sihat ini.

Mereka Melayu Minimalas ini dengan lantangnya mengkritik bahawa iPhone 8 dengan rekaan minimal yang kita wajib ada ini sebagai jerat kontrak kepada agama Kapitalisme. Ini bagaimanapun berlandaskan emosi mereka yang bersentimentalkan agama Sosialisme semata-mata. Jadi janganlah kita mudah termakan hasutan mereka yang bercitarasa rendah itu. Lebih teruk, mereka juga telah mengatakan bahawa mazhab Minimalis yang kita langgan ini bersifat anti-manusia. Berani sungguh mereka menuduh semangat minimalisme itu mematikan semangat kemanusiaan. Tuduh mereka rekaan yang minimal ini tidak ergonomik. Tuduh mereka rekaan kita yang sempurna bulat atau berbucu menghina kesemulajadian alam ciptaan Tuhan. Malah mereka menafikan nabi Brockmann junjungan kita dengan mengangkat Gaudi sebagai nabi mereka. Lebih gasar, mereka membiarkan bulu pubik mereka tumbuh meliar seperti alam semulajadi yang kian pupus di luar sana.

Sidang Sabtu yang dihormati sekalian,

Jika ada di antara kawan-kawan atau ahli keluarga saudara dan saudari yang menampakkan ciri-ciri Minimalas ini—yang berbulu pubik atau yang memakai seluar dalam bercorak batik pelangi—pastikan tindakan undang-undang diambil, laporkan kepada pihak berwajib, kerana ini sesungguhnya memalukan tanah air tercinta kita yang demokratiyyah.


Ridhwan Saidi

Sabtu, Februari 19, 2011

Berseorangan Dengan Semua Orang

daging menyalut tulang
dan mereka letak akal
ke dalam dan
kadang-kadang jiwa,
dan perempuan membaling
pasu ke dinding
dan lelaki togak
banyak
dan tiada siapa mencari yang
satu
tetapi terus
mencari
merangkak ke dalam dan ke luar
katil-katil.
daging menyalut
tulang dan
daging mencari
apa yang lebih daripada
daging.

tiada harapan
langsung:
kita semua terperangkap
oleh satu
takdir.

tiada siapa akan bertemu
yang satu.

sisa kota terisi
tempat buang sampah terisi
rumah gila terisi
rumah sakit terisi
tanah kubur terisi

tiada yang lain
terisi.


Charles Bukowski
diterjemah oleh Ridhwan Saidi

Khamis, Februari 17, 2011

Puisi Paling Sedih

Aku boleh menulis puisi paling sedih malam ini.

Menulis, misalnya: “Malam dipenuhi bintang,
dan bintang-bintang, biru, menggigil di kejauhan.”

Angin malam berputar di langit dan bernyanyi.

Aku boleh menulis puisi paling sedih malam ini.
Aku mencintainya, dan kadang-kala si dia juga mencintaiku.

Pada malam-malam sebegini, aku mendakapnya di dalam pelukanku.
Aku mencium dirinya berulangkali di bawah langit yang abadi.

Si dia mencintaiku, kadang-kala aku juga mencintainya.
Bagaimana mungkin aku tak menggemari matanya yang galak?

Aku boleh menulis puisi paling sedih malam ini.
Untuk berfikir bahawa aku tak pernah memilikinya. Untuk merasa bahawa aku telah kehilangannya.

Untuk mendengar kebesaran malam, lebih besar tanpanya.
Maka jatuhlah puisi ke jiwa sepertimana embun jatuh ke rumput.

Apakah penting cintaku tak mampu menampung dirinya.
Malam ini dipenuhi bintang dan si dia tidak bersamaku.

Itu saja. Di kejauhan, seseorang bernyanyi. Jauh.
Jiwaku hilang tanpanya.

Mataku mencarinya, seolah-olah membawanya dekat.
Hatiku mencarinya dan si dia tidak bersamaku.

Malam yang sama memutihkan pohon-pohon yang sama.
Kami, pada waktu itu, tidak lagi sama.

Aku tak lagi mencintainya, benar, tetapi betapa aku mencintainya.
Suaraku mencari bayu untuk menyentuhi telinganya.

Orang lain. Si dia akan menjadi milik orang lain. Sepertimana si dia pernah menjadi milik ciumanku.
Suaranya, tubuh cerahnya. Seri matanya.

Aku tak lagi mencintainya, benar, tetapi betapa aku mencintainya.
Cinta begitu singkat dan melupakan begitu lama.

Kerana pada malam sebegini aku mendakapnya di dalam pelukanku,
jiwaku hilang tanpanya.

Walaupun ini kesakitan terakhir si dia terhadapku,
dan mungkin ini puisi terakhirku buat dirinya.


Pablo Neruda
diterjemah oleh Ridhwan Saidi

Budak-Budak Zaman Sekarang

Macam 'fixie', penggunaan 'budak-budak zaman sekarang' ini juga satu bentuk rasa bangga diri bawah sedar bagi mereka yang cuba meletakkan diri mereka di satu takah yang lebih atas. Jika 'fixie' ini hanya digunakan oleh para newby menurut para fixter koya oldtai yang menggunakan 'fixed-gear bike', begitu juga kesnya dengan 'budak-budak zaman sekarang'. Mereka yang mewacanakan hal-hal 'budak-budak zaman sekarang' ini secara bawah sedarnya perasan bahawa mereka ini kononnya sudah oldtai dan lebih dahulu merasa garam walhal muka masih jambu berjerawat. Oleh itu dalam menjadi seorang manusia yang sihat, kita perlu kikis sifat prasangka dan stereotaip ini. Sesungguhnya semua orang bermula sebagai seorang poser. Penghijrahan dan proses pendewasaan daripada takah poser ini malah indah dan natural. Hey! Apa yang lebih indah selain rasa curiga dan ingin tahu berpaksikan emosi seorang remaja akil baligh baru lepas pantang bersunat?


Ridhwan Saidi

Selasa, Februari 15, 2011

Rupa ASCK (Antologi Surat Cinta Kita) dan BCSMTKRC

ASCK (96 muka surat; kertas kuning) akan dijual secara lambak pada 22hb Februari di KISS short film & Rojak (Versi BM) launch (klik untuk ke laman Facebook) dengan harga RM20. Bagi para penulis pula RM12 (+RM2 upah menjahit hehe). Para pembeli mungkin dapat penanda buku istimewa jeng jeng jeng. Oleh kerana kami tiada idea berapa ramai yang mahukan buku ini (termasuk para penulis), dengan modal yang serba ciput, siapa yang mahukan buku ini pada 22hb nanti bolehlah bagitau di Facebook ataupun emel: binfilem at gmail dot com. Sekarang ini kami sedang mengerjakan 20 buah buku yang secara logiknya tak masuk akal pasal penulisnya 22 orang. Mungkin jika kamu rajin, sudah boleh masukkan wang ke dalam akaun agar wang itu boleh diputar untuk menghasilkan lebih banyak cetakan nanti. Terima kaseh!
P/s: Untuk urusan pos pula lebih afdal kami lakukan pasca 22hb, diharap bersabar.

P/s/s: Filpen BCSMTKRC turut ditayangkan pada tarikh berkenaan.


Ahad, Februari 06, 2011

Alahai Accent Exhibitionist

The older sister who speaks English with a British accent tells her sister that British bands such as The Clash is way better than any American bands.

The younger sister who speaks English with an American accent does not agree. She says that The Ramones is way better and in fact The Clash are indebted to their influence.

They started to yell at each other.

Suddenly their mom comes in – wearing a white sarong, yellow kebaya, blue scarf with red nail polish – and said, "What is the because you fight just now?!"

What is the because we fight just now?!

"Takdaq ape Mak, Along nie haa mengadew..."

"Kecek molek sket seh, Along kabo yunk benar bah."

Khamis, Februari 03, 2011

Hollywood Yang Banyak Lapis Macam Kuih Lapis

Sejarah sinema dunia telah melangkaui usia 100 tahun dimulai adik beradik Lumiere. Walaupun ya, kita boleh katakan yang wayang kulit itu pra-sinema dan analogi Gua Plato itu antara salah satu konsep terawal sinema. Malah sebelum adik beradik Lumiere terdapat mereka yang lebih terdahulu menghasilkan foto bergerak, cuma mereka tidak menayangkan kepada umum. Apapun yang ingin saya bebelkan hari ini adalah mengenai sinema yang kita sedia maklum itu.

Sepanjang lebih 100+ tahun ini, pelbagai paten gerakan muncul. Antara yang paling menarik minat saya adalah gelombang sinema baharu tidak kisahlah samada Nuberu Bagu (Jepun), Nouvelle Vague (Perancis),  Free Cinema (Britain), JDF (Jerman), Parallel Cinema (India), Direct Cinema (Kanada), 'pasca-Neorealismo' yang tak bernama (Itali), Australian Film Rennaisance, Cinema Novo (Brazil), New Hollywood (US), Hong Kong New Wave, Taiwan New Wave, Czechoslovak New Wave, dan dan dan. Semestinya yang paling hip adalah French New Wave yang terinspirasi daripada Italian Neorealism. Tapi apa yang saya nak kupas di sini adalah sinema New Hollywood yang terinspirasi daripada French New Wave.

Tetapi sebelum itu kita waijb faham yang sinema gelombang baharu ini tercetus hasil tindakbalas penolakan terhadap sinema paten lama. Jadi setiap negara-negara ini harus mempunyai naratif agung yang hendak didekonstruk. Sinema gelombang baharu adalah satu bentuk dekonstruksi. Sebagai contoh French New Wave menolak naratif sinema klasik. Oleh kerana kebanyakan mereka ini terdiri daripada sinematikus dan pengkritik filem dunia, maka dengan itu, definisi klasik mereka luas; yang pasti terutamanya sinema Classical Hollywood.

Oh ya sebelum kita memasuki sinema New Hollywood ini, ingin saya kongsikan pengamatan amateur saya ini. Ada perbezaan ketara secara jamaknya di antara sinema Barat dan sinema Timur—bagi saya-lah. Barat atau Timur ini terpulang kepada kamu mahu definisikan ia sebagai apa. Yang pasti, sinema Barat amat merayakan semangat realisme dan kesinambungan (termasuk Classical Hollywood Cinema dan Italian Neorealism) bertitik tolak seawal Nanook of the North (1922), manakala sinema Timur pula meraikan semangat montaj terutamanya di Jepun dan USSR (kini Russia) bertitik tolak seawal Battleship Potemkin (1925). Tradisi ini malah berterusan sehingga ke hari ini malah di Malaysia sekalipun. Tak percaya? Cuba kira berapa banyak fade to black yang takde kesinambungan. Malah, disebabkan ini juga penonton kita yang terdidik dengan gaya 'Barat' akan komen tang plot hole sebab tak realistik. Walau bagaimanapun ini bukan soal realistik atau tidak, tetapi kerana garapan kebanyakan filem Malaysia sendiri yang hampeh. Ini pendapat saya-lah, tak tau betul ke tidak.

Berbalik kepada New Hollywood (1960-1980s), ia adalah hasil tindakbalas terhadap sinema Classical Hollywood (Zaman keemasan: 1930-1960s) yang bernadikan sistem studio seperti MGM, RKO, Warner Bros., Twentieth-Century Fox, Paramount dan dan dan. Di era kegemilangan Classical Hollywood ini, realisme dan kesinambungan dirayakan dengan suntingan yang halimunan. Wujudnya orde-orde seperti hukum 180 darjah, eye-line match, match on action, bunyi diagetik, dan dan dan. Jika kamu ke sekolah filem, kamu akan belajar ini. Jika kamu mahu belajar tanpa ke sekolah filem pun boleh. Cuba tonton filem porno profesional, kontinya dijaga dengan teliti malah lebih teliti daripada produk filem tempatan.

Jadi bagaimana boleh berlaku pertukaran paten sinema di Hollywood daripada Classical Hollywood kepada New Hollywood? Begini, Classical Hollywood telah merudum jatuh disebabkan oleh dua perkara, pertama kes United States v. Paramount Pictures, Inc. (1948) yang saya kurang faham kenapa. Boleh jadi atas sebab kuasa monopoli yang dipegang oleh studio-studio gergasi ini sehinggakan ada yang mengatakan ia adalah paku pertama keranda Classical Hollywood. Sebab kedua? Televisyen.

Dengan kemunculan peti bernama televisyen, mereka yang dahulunya berhibur dengan ke panggung wayang kini telah beralih pula di rumah. Siapa yang mahu ke panggung wayang jika kualiti hiburan yang ditayangkan itu boleh ditonton di rumah. Seperti burung Phoenix yang mati menjadi abu untuk hidup sekali lagi, dalam kekiamatan sistem studio ini maka muncul-lah golongan-golongan baharu yang terdiri daripada mereka yang muda, counter-culture dan terdidik dengan ilmu filem di sekolah filem. Daripada producer/studio-oriented, kepada kesegaran, tenaga, seksualiti, dan semangat serta minat terhadap medium filem itu sendiri. 

Bak kata Jean-Luc Godard, untuk buat filem kamu perlukan pistol dan perempuan. Elemen keganasan dan seksualiti seperti dalam filem Bonnie and Clyde (1967) yang melangkaui apa yang dibenarkan di kaca televisyen telah membuatkan filem ini berjaya (secara ekonomi dari sudut pandang penerbit dan artistik dari sudut pandang pengkritik.) Penonton-penonton muda terutamanya telah membanjiri kembali panggung wayang. Filem-filem berhawa hippies, yang paparkan LSD bagai, atau yang koboi, tinju, elemen seks, dan ganas mendapat tempat di hati penonton. Dennis Hopper, Martin Scorsese, Francis Ford Coppola, Terrence Malick, Woody Allen, Stanley Kubrick, Milos Forman, George Lucas, Roman Polanski, dan dan dan adalah penggerak sinema New Hollywood ini. Robert De Niro, Al Pacino, Clint Eastwood, Mia Farrow, Peter Fonda, Harvey Keitel, Jack Nicholson, Jon Voight, Christoper Walken dan dan dan pula adalah pelakon yang muncul di era New Hollywood. Ah! Pendek kata di era ini filem-filem dan lakonannya deep belaka.

Jika televisyen adalah antara paku pertama keranda sinema Classical Hollywood, ada dua filem yang menjadi paku terawal keranda sinema New Hollywood pula iaitu, Jaws (1975) dan Star Wars (1977). Ianya seperti satu bentuk revivalism terhadap sistem studio lama era Classical Hollywood di mana ia secara tak langsung mengembalikan kuasa kepada para produser – producer-oriented. Filem-filem berkonsep tinggi dengan mentaliti block-buster, ada sequel atau prequel, siap ada spin-off dengan iklan tv atau produk atau patung permainan (sekarang permainan video) jadi hip. Para produser kembali tersenyum kerana kuasa kembali kepada mereka untuk memainkan peranan yang lebih besar (di era New Hollywood pengarah lebih berkuasa menentukan hala tuju sesebuah filem). Secara ringkasnya inilah yang berlaku di Hollywood sana:

Hollywood Silent Era (1910-1930s)
|
V
Classical Hollywood Narrative (1930-1960s)
|
V
New Hollywood (1960-1980s)
|
V
Hollywood Block Buster (1975-sekarang)

Maka dengan itu, pabila istilah 'Hollywood' dilemparkan, ianya bukan sekadar filem block buster yang kita lihat di pawagam itu. Ada beberapa lapisan seperti di atas. Ya kita nampak yang penerbit-penerbit kita kini amat berkiblatkan Hollywood Block Buster, malah ada satu tu konon Jerrry Brukheimer. Tetapi malangnya mereka tidak berminat dengan sejarah sebaliknya pulangan wang semata-mata. Kadang-kala saya runsing memikirkan kenapa filem kita yang kononnya berkiblatkan Hollywood ini tidak realistik? Yang membuatkan Hollywood berjaya adalah kerana ia dibikin secara realistik dengan kontinuiti yang tegar agar kita penonton larut ke dalam dunia ciptaan mereka. Kebanyakan filem kita pula sebaliknya penuh dengan suntingan yang menerajang kita keluar terduduk di dalam panggung, membuatkan kita perasan medium filem tersebut. Ini... ini aneh! Saya benar-benar tidak faham, apa yang pembikin kita perlu lakukan hanyalah meniru bulat-bulat bagaimana dalam sesebuah babak yang banyak syot, suntingannya dighaibkan. Takkan meniru pun kantoi? Atau mereka terlalu bebal untuk tahu ini.


Ridhwan Saidi

P/s: Rujuk bukan sebarang rujuk, rujuklah filem yang 'betul'.

Khurafat dan Haq Yang Tak Cukup Sifat

Persis to the point, jika Great Day dapat 60/100 markah; Khurafat saya beri 40/100 manakala Haq dapat 10/100. 10/100 ini adalah markah terendah yang saya berikan, ianya dalam erti kata lain bermaksud 'markah kasihan'. Filem-filem 10/100 lain yang pernah saya tonton atau tertonton antaranya Antoo Fighter, Dua Hati Satu Jiwa, Papadom; ya betul, filem-filem yang unwatchable itu. Bagi saya ianya unwatchable, tapi tak tahu la kamu bagaimana, kita manusia ni citarasa lain-lain ha ha ha. 

Filem-filem unwatchable ini adalah filem-filem yang membuatkan saya tidak boleh duduk diam, berpaling ke kiri dan kanan, diri saya seakan terasa seperti tidak suci selepas menontonnya, terasa seperti berada di dalam kondisi hadas besar, saya... resah tak bertempat. Paling penting, selepas itu saya wajib menonton filem yang bagus-bagus untuk menyucikan rohani saya yang telah terdedah kepada ______ tadi. Dalam kes Haq ini, sebagai filem ianya takde tauhid, no kidding.

Khurafat pulak dapat 40/100 kira lulus la, 39 gagal kan? Untuk menghayati filem ini kita perlu berhadapan dengan dunia Skop Production. Sejauh mana seorang anak mampu bergerak daripada legasi bapanya, cewah! Apa pun inilah yang membuatkan ia sekurang-kurangnya menarik. Kita sedia maklum yang dunia disko Skop Production ni satu macam sikit. Ini dipaparkan dalam syot-syot disko terawal yang begitu mencengkam feel Yusof Haslam-nya. Walau bagaimanapun dengan garapan Syamsul Yusof, ia perlahan-lahan berganjak membentuk montaj intelektual Eisenstein di mana secara bijak dan 'literal'nya empat orang lelaki mengapit Sabrina Ali yang sedang asyik menari dalam kemabukan dari utara, barat, timur dan selatan berpaksikan suara tok imam di surau. Untuk pembukaan filem Melayu, ini mendamaikan (walaupun dialognya macam filem Sembilu.)

Kepada yang tidak tahu, dialog ala Sembilu ini diucapkan sebutir-sebutir dengan kadar jeda yang panjang di antara ayat, sebab faktor dubbing. Teori praktikal mengatakan bahawa lebih mudah dubbing macam ini, walhal terbukti hampir semua filem-filem tempatan yang berkiblatkan teori ini, tak sync pun. Dalam ertikata lain, ini adalah alasan seorang pemalas.

Kemudian kita ada babak A. Galak (watak kegemaran saya dalam filem ini) yang di-exorcist. Walaupun saya tidak into filem seram tapi sekurang-kurangnya ia bukan babak bomoh filem-filem Ahmad Idham yang mengada-ngada dan diada-adakan. Efeknya juga berpada-pada tak membuatkan saya meluat atau termuntah. Kira okay la.

Syot yang paling saya gemari semestinya sewaktu Syamsul Yusof sedang mendukung mayat watak Sabrina Ali yang berbalut kain kapan di bawa masuk ke dalam hutan. Waktu ini kedengaran beberapa orang penonton yang tertekan sedang menasihati Syamsul Yusof (yang berada di dalam skrin) supaya meminta pertolongan di jalanraya terlebih dahulu.

Bagi saya, filem Khurafat ini umpama sebuah Inception dalam skala Melayu. Maksud saya dari segi naratif dan suntingannya yang rajin dan berlapis. Ianya seakan mencabar intelek penonton walau dengan daya yang sekelumit sekalipun; ini adalah satu usaha yang murni (memandangkan hampir semua filem Melayu lain membebalkan penonton). Paling penting ianya digarap secara berkesan dan dirayakan penonton. Malah saya merasakan penonton-penonton (bersama saya) ini lebih real daripada pseudo-intellect yang konon layan Inception. Tak tahu la betul ke tak ha ha ha.


Ridhwan Saidi

P/s: Tentang hantu bersolek yang suka menyergah itu saya tak ambil pot sangat. Jujur, saya rasa wajah Sabrina Ali yang ada feel nenek kebayan lagi seram.

Khamis, Januari 27, 2011

Singa Merah, Filem Buat Pedamba Revolusi


Senapang tewaskan pedang, logik. Ini pertempuran gaya lama antara dua simbol kuasa yang secara zahirnya berlainan parti. Kuasa baru dan moden menggantikan kuasa lama yang ketinggalan zaman. Tetapi kemudian senapang  yang dinafasi otoriti itu akhirnya ditewaskan dengan tarian cinta rakyat "it's okay, it's okay, nevermind" yang didepani golongan pelacur (geisha) dan anak-anak muda yang bersemangat tetapi naif. Filem samurai ini membariskan pelakon yang benar-benar bagus; malah ada pelakon tambahan dan sampingan yang punya karisma setara Toshiro Mifune. Paling comel, sari katanya berkoda warna! Wajib tonton bagi mereka yang kidal akal.


Ridhwan Saidi

Jumaat, Januari 21, 2011

Great Day Okay!



Kepada mereka yang mengalami dilema samada mahu menonton filem Damping Malam ataupun Khurafat, saya syorkan anda pergi tonton filem ini. Mungkin ada sesetengah daripada kita yang rasa was-was dengan filem 'Cina' ini seperti mana kamu masuk ke dalam restoran Cina dan mahu makan sesuatu. Tetapi percayalah filem ini dijamin halal! Ianya sebuah filem kekeluargaan yang meraikan semangat kenegaraan dalam ertikata sebenar tanpa perlu mengada-ngada melaungkan slogan 1Malaysia ataupun melacurkan pluraliti Malaysia itu sendiri. Ala, kamu tau kan? Filem-filem yang terlampau memaksa macam Crayon, Estet, 15Malaysia dan seumpama dengannya.

Turut dipuji adalah pemilihan barisan pelakon yang baik, sinematografi yang menjadi dan tataan seni yang lucu belaka. Walaupun saya syorkan filem ini, tetapi kita perlu kembali kepada rasional akal. Filem keluarga ini tidaklah sesinematik sampai tahap The Song of Sparrows yang memaparkan si bapa bawa pulang buah-buah berciciran lalu masuk ke dalam sungai. Ini sudah sentuh tahap langit. Jadi untuk memberikan anda gambaran di mana letaknya filem ini, saya akan gunakan sistem permarkahan yang adil lagi saksama.

Kamu semua pasti pernah menonton Papadom bukan? Sebuah filem keluarga yang telah memenangi filem terbaik FFM tidak lama dulu. Daripada 100 markah, Papadom ini saya berikan 10/100 (sama macam Appalam) manakala filem Majid Majidi, Song of Sparrows pula dapat 90/100. Jadi filem Great Day ini terletak di tengah-tengah – dapat 60/100 markah, yakni amat membanggakan buat sebuah filem komersial tempatan.


Ridhwan Saidi

Khamis, Januari 20, 2011

Pengalaman Takjub Bertemu Dengan Raqib dan 'Atid

Petang semalam aku ke Fitness First, Subang Jaya yang sesak dipenuhi manusia metropolitan. Dalam kesesakan itu sempat aku terlihat dua kelibat malaikat yang menyerupai dua pemuda hensem memakai sut yoga putih.

Melihatkan ini aku pun beri salam kepada mereka yang sedang berlari di atas treadmill sambil mendengar musik melalui iPod itu, lalu bertanyakan khabar, "Bang, buat apa kat sini, tak pergi catit dosa dan pahala ke?"

Malaikat yang sedang mendengar musik itu mematikan iPod-nya lalu menanggalkan earphone, "Sejak jabatan agama dan pihak berwajib ambil alih tugas kitorang, inilah aktiviti kitorang hari-hari—bina badan," katanya dengan wajah stoic + senyuman archaic sambil menunjukkan otot lengan kanannya.


Ridhwan Saidi

Rabu, Januari 19, 2011

Pengalaman Manis Bertemu Dengan Iblis dan Syaitan

Petang semalam aku ke arked permainan video di Subang Parade yang lengang tak dikunjungi orang. Kelihatan iblis dan syaitan yang kita sedia maklum berwarna merah, bertanduk, berekor dan berbogel sedang bermain permainan video Dance Dance Revolution.

Melihatkan ini aku pun beranikan diri menegur salah seekor daripada mereka yang sedang menari, memakai fedora berwarna hitam, "Bang, buat apa kat sini, tak sebarkan kejahatan, kekejaman dan kesesatan ke?"

Iblis yang memakai fedora hitam itu berhenti menari, berpaling memandang aku dengan wajah kusam, lalu mengeluh, "Sejak ahli agama dan ahli politik dah reti gunakan internet, tak banyak benda yang kitorang boleh buat."


Ridhwan Saidi

Isnin, Januari 17, 2011

Sinema Dakwah Yang Kadang-Kadang Tak Boleh Blah

Cara paling mudah untuk memaksa seseorang manusia itu kembali bertaubat, taat dan patuh adalah melalui ketakutan. Pendek kata manusia yang berada di dalam ketakutan paling mudah dimanipulasi. Dan dalam beragama, ketakutan ini taktik paling ampuh dalam menyampaikan sesebuah filem dakwah itu. Kita penonton akan ditakut-takutkan dengan gambaran api neraka yang diambil secara literal seketul-seketul. Tidak menghairankan ada di antara kita yang bertepuk tangan apabila terdapatnya filem-filem yang menggunakan teknik CGI menggambarkan kesengsaraan di neraka untuk menakut-nakutkan kita, agar kita kembali ke jalan yang benar katanya. 

Ini membuatkan saya terfikir, menggunakan akal yang dikurniakan Tuhan ini. Jikalau sebuah filem yang menggambarkan keadaan neraka yang semua orang tahu panas, berapi, mengerikan, dipenuhi kala jengking dan ular gergasi itu dianggap sebagai sebuah filem dakwah yang bagus dan baik, bagaimana pula dengan filem yang menggambarkan keadaan di syurga? Bagaimana jika gambaran nikmat di syurga itu diambil secara literal seketul-seketul sepertimana neraka tadi? Filem yang menggambarkan sungai-sungai susu, madu, arak dan air jernih serta bidadari yang dara selamanya dengan buah dada yang mantap berumur 33 tahun, baik-baik, cantik-cantik, suci, bersih, setia, harum dan hebat di ranjang bersama suami (protagonis kita). Adakah filem itu akan dianggap sebuah filem dakwah yang baik kerana memaparkan nikmat yang akan dinikmati oleh mereka yang memilih jalan yang benar? Atau sebaliknya filem itu akan dianggap sebagai sebuah filem porno?

Jika ditunjukkan filem dakwah yang memaparkan syurga dengan bidadari yang setia dengan suaminya tadi kepada pak lebai, tok imam, agamawan, ustaz dan ustazah atau sesiapa sahaja yang menganuti agama tersebut berlandaskan sistem ekonomi bisnes dosa pahala dengan Tuhan, sudah pasti mereka akan menganggap filem itu sebagai lucah. Atau mungkin alasan mereka, syurga tidak boleh digambarkan dengan akal manusia, ianya melangkaui jangkauan akal manusia. Baiklah, jadi jika gambaran syurga yang diambil secara literal itu bermasalah, kenapa gambaran neraka yang diambil secara literal tidak pula bermasalah? Sebaliknya menjadi peringatan dan pedoman kepada umat manusia supaya jangan melakukan dosa dan kesalahan. Kenapa tidak kita diperingatkan dengan gambaran nikmat di syurga untuk melakukan pahala dan kebaikan? Ternyata berlaku ketidakselarian di sini.

Di sini saya tidak menyeru pembikin-pembikin filem amateur di luar sana membikin filem yang menggambarkan syurga secara literal – tapi kalau ada Alhamdulillah, jangan lupa upload. Yang saya tolak di sini adalah sentimen menakut-nakutkan penonton dengan hukuman demi hukuman atas nama dakwah. Jika tidak di neraka, sewaktu saat-saat kematian si pendosa atau waktu pengebumian jenazah. Bagi saya ianya taktik murahan yang memualkan. Jika kita perhatikan filem-filem Iran yang bagus, ia tidak menghukum sebaliknya hanya memaparkan cerminan kemanusiaan di duniawi ini. Ini penting, ini sangat penting! Lebih penting, filem-filem ini bukan dibikin atas nama dakwah, tapi sinema. Saya rasa selagi ada niat lain selain sinema baik dakwah atau apa-apa pun yang bersarang di kepala pembikin kita, selagi itu filem-filem yang terhasil berpotensi menjadi bangang.


Ridhwan Saidi

P/s: Lagi syok bercinta daripada buat bisnes.

Jumaat, Januari 14, 2011

Rabu, Januari 12, 2011

Poster Arcade and Cigarette (2011)


Sepatutnya novel dah siap baru adaptasi. Ini tengah tulis dah keluarkan fragmen buat filem pendek. Dihasilkan secara spontan untuk memenuhi tuntutan tarikh akhir sebuah festival filem pendek.


Ridhwan Saidi

Selasa, Disember 21, 2010

Sinema Char Koay Teow

“How can something so messy taste so good?” 
– Anthony Bourdain dalam No Reservations selepas makan char koay teow.

Selaku seorang anak muda yang akan menjangkau usia 22 tahun menjelang tahun hadapan, saya merasakan wujudnya satu keresahan tak bernoktah di dalam diri saya. Keresahan ini timbul kerana tiada filem berjiwa muda dengan gaya muda yang betul-betul menyeronokkan untuk ditonton setakat ini di negara ini. Filem-filem dengan jiwa dan suara muda ini bukan tidak ada, ada, cuma kebiasaannya ia disampaikan dengan gaya orang tua. Sikap atau attitude kemudaan itu nil.

Esensi punk rock as fuck mustahil kita ketemui di dalam sinema di negara ini. Jika ada pun mungkin gaya sinema muda budak koir. Tetapi rata-rata semuanya datang dengan gaya orang tua. Jadi apa bezanya gaya sinema orang muda dan orang tua kamu tanya? Jawapannya mudah, seperti dapat kamu perhatikan, apa beza ketara diantara orang muda dengan orang tua? Tenaga fizikal!

Kita faham kebiasaannya sinema orang tua meraikan kematangan melalui ketenangan. Tenaganya datang dari 'dalam' dengan syot dan suntingan yang kemas, stabil dan skema. Kita boleh analogikan gaya sinema orang tua ini dengan sebungkus nasi lemak. Nasi setempat, sambal setempat, ikan bilis setempat, kacang setempat, timun setempat, telur rebus setempat. Wujudnya orde, displin dan keharmonian mutlak dalam mempersembahkannya.

Ini sudah tentu berbeza dengan gaya sinema orang muda yang boleh kita analogikan dengan sepinggan char koay teow. Koay teoy, udang, kerang, sotong, lap cheong, taugeh, daun kucai, sos soya disekalikan secara rambang dan comot. Intensiti tenaganya undogmatik – rawak keromo.

Saya tidak kesah jika seorang pembikin filem tua menghasilkan filem dengan gaya orang tua yang bagus, tetapi saya runsing dengan pembikin filem muda yang menghasilkan filem dengan gaya perlahan orang tua. Memang tiada salahnya tetapi di negara ini, ia sudah jatuh ennui. Ini barangkali boleh kita kaitkan sendiri dengan sifat anak muda di negara ini yang rata-rata represif sifatnya. Segalanya dipendam sampai padam. Bara kemudaan itu disia-siakan begitu sahaja. Harapan comel seorang anak muda ghaib.

Filem-filem seperti Tokyo Story (1953) oleh Yasujiro Ozu dan Ali: Fear Eats the Soul (1974) oleh Werner Rainer Fassbinder merupakan antara filem yang benar-benar telah memberikan kesan yang mendalam terhadap diri saya. Tetapi saya juga terinspirasi dengan Breathless (1960), Bara no Soretsu (1969), The Evil Dead (1981), Man Bites Dog (1992), dan La Haine (1995) umpamanya. Kemanakah perginya paparan punk rock as fuck – sinema char koay teow – yang menyentuh perasaan sebegini di negara ini? Bak kata Amy Ikram, tepuk dada tanya selera.


Ridhwan Saidi
P/s: A la Siti Jarum, muak makan nasi lemak hari-hari.

Sabtu, Disember 18, 2010

Fiksi al-Pulpa

Aku mula belajar makan babi semasa usia aku lapan tahun. Waktu itu aku sangka apa yang aku makan itu ayam. Kawan cina kelas aku yang bagi makan masa kat kantin. Ok ke ni? Ok jangan risau, ini makanan halal punya, saya makan hari-hari, mak saya masak. Aku angguk tanda setuju. Masakan mak, patutlah sedap, walaupun daging itu sedikit mentah masih hanyir berdarah. Kringgg! Loceng bunyi rehat pertama berbunyi. Kami semua pura-pura mengeras seperti patung. Kawan cina aku tadi di hadapanku sedang ternganga ingin menyuap suapan terakhirnya. Aku pula sedang kemam daging babi separuh masak hanyir berdarah itu. Sedikit sebanyak rembesan darah itu mengalir keluar dari penjuru kanan bibirku. Aku cuba hirup balik darah babi itu cepat-cepat. Slurp. Kringgg! Loceng kedua berbunyi. Semua pelajar mula bergerak kembali ke bilik darjah masing-masing. Aku meludahkan gumpalan daging terakhir itu ke dalam cawan plastik yang berisi air sirap. Kemudian aku minum air sirap itu sampai habis. Aku berlari mendapatkan tangan kawan cina aku; aku genggam erat tangan kecilnya menariknya ke arah kelas kami di tingkat tiga. Setibanya di koridor di hadapan kelas, aku gelak kepadanya. Si dia pula tersenyum kepadaku sambil menyeluk kocek seluar cuba membetulkan kedudukan seluar dalamnya.


Ridhwan Saidi

Rabu, Disember 15, 2010

DVD Filpen Bin Filem


Sambil mengemaskini cakera keras laptop cabuk saya, membersihkan ruang-ruang terbuang bagi menghadapi projek dengan skala yang lebih besar. Ya, bermula tahun depan saya mahu explore dunia trans-cereka filem panjang pula. Maka dengan itu, dengan adanya kompilasi filpen ini, cukuplah proses pembelajaran dan eksperimen mandiri. Walaupun selalunya saya merasakan filpen-filpen saya ini naif dan mengada-ngada nak mampus, tapi syukur ada segelintir manusia yang berkemampuan untuk layan. Saya rasa-lah...

Malas nak bermelankolia, mari kita berkongsi harapan pathetic saya yang kononnya sinematikus ini. Sebenarnya saya sudah susun beberapa projek filem yang akan dilaksanakan – ada yang sudah berskrip, ada yang sudah ber-treatment, dan ada yang baru bertajuk; takde satu pun yang diadaptasi, cuma kalau ada loose-adaptation secara tak sedar itu tak tahu-lah. Projek-projek ini akan saya hasilkan bukan untuk mencapai kejayaan atau suckcess, tetapi lebih kepada meraikan kegagalan-kegagalan baru lagi menyegarkan. Maaf, saya cukup pantang dengan cara lama.

Setelah beberapa tahun buat-buat sibuk mengenai filem melalui blog ini dan menjadi quasi-antropologis di sebuah universiti awam tempatan, saya telah berkenalan dengan beberapa orang susuk yang membolehkan projek-projek filem saya ini menjadi kenyataan – ditambah dengan teknologi masakini yang terbuka, alhamdulillah.


Ridhwan Saidi

Selasa, Disember 07, 2010

10 Filem Malaysia Pilihan Hati

Sepuluh filem yang tertera di bawah ini merupakan filem-filem yang secara peribadi telah memberikan kesan yang “ ‘mendalam’ ” terhadap diri saya – tapi awas! Ini bukan soal sempurna atau tidak sesebuah filem itu. Saya bukanlah seorang cineaste, cinephile, filmster, film-holic, film buff, film theorist, film critic, moviegoer ataupun kaki wayang, tetapi hanya sekadar seorang sinematikus; ibarat seekor tikus yang konon buat-buat sibuk berkenaan hal-hal sinema. Sepuluh filem yang dipilih ini disusun mengikut huruf pasal malas nak menentukan yang mana lebih " 'mendalam' " daripada yang mana. Malah jangan pula melatah jika pilihan ‘filem Malaysia’ saya ini melangkaui sempadan geografi dan politik:

6horts (2002) – Amir Muhammad
Himpunan filpen di dalam 6horts ini menyedarkan saya bahawa idea dahulu, produksi kemudian. Filem boleh dihasilkan dengan mudah semudah mudahnya. Satu imej pegun Mona Fandey pun jadi-lah. Sedihnya, baru saya sedari teman-teman 'production-oriented' saya yang tak sudah-sudah berbicara tentang jib-arm, yang terus menerus menghasilkan drama radio, rupanya tidak pernah tahu mengenai filem ini. 

Bukak Api (2000) – Osman Ali
Barisan pelakon (yang bukan pelakon), art direction, mainan kata yang tertera pada skrin, semua ini menyumbang kepada keseksian filem ini. Saya tidak begitu ingat bagaimana filem ini bermula, tetapi pengakhirannya begitu... bermutu. Saya tidak pedulikan sangat detik-detik didaktik yang ditanam di dalam filem ini, pasal ianya diaksikan oleh mereka yang benar.

Dari Jemapoh ke Manchestee (1998) – Hishamuddin Rais
Jika ada satu filem Malaysia atau Melayu yang berjaya menyatukan visual dengan musik, inilah filemnya. Sebenarnya untuk mengesan keberjayaan sesebuah filem itu, rahsianya terletak pada syot pertama dan syot terakhir. Untuk filem ini, ianya akan kekal di dalam ingatan saya sepanjang hayat – dari bumi ke langit, itulah cita-cita anak muda (sepatutnya).

Gedebe (2003) – Nam Ron
Filem ini adalah satu kegagalan yang menyegarkan, sekurang-kurangnya buat saya (ya mengilhamkan). Ianya bermula dengan baik, tetapi kemudian perlahan-lahan merudum ke pengakhiran yang tidak memuaskan nafsu sinema saya. Tapi yang membuatkan saya merasakan filem ini menarik, jika Haru-Biru (2007) menyampaikan suara muda dengan gaya orang tua, filem ini menyampaikan suara muda dengan gaya anak muda – tak kisahlah yang membikinnya secara harfiah tua atau muda, ini berkenaan jiwa! 'Gaya anak muda' ini rare ya amat di negara ini, sebab majoriti anak muda negara ini rata-rata berlagak seperti orang tua, dasar tak sedar diri. Oleh itu marilah kita anak muda bertaubat nasuha, lalu meraikan kemudaan.

Hang Jebat (1961) – Hussein Haniff
Ini tulus klasik. Babak tariannya yang digarap Siput Serawak, beat suntingannya, sinematografinya, muziknya, isi tariannya yang sudah pun memberi petunjuk Tuah dan Jebat bergasak, ini semua membuatkan diri saya malu ketika menonton filem seperti Sayang You Can Dance atau 'teater muzikal' seperti Uda dan Dara. Malu, seribu kali malu!

Kaki Bakar (1995) – U-wei Saari
Kesumo berlari menangis dalam gelap, Kakang sental permaidani pakai parang dalam tandas, Kakang mengeluh kepada anaknya Kesumo dalam perjalanan ke rumah Tuan Kassim. Semua ini, semua ini  – sinema!

Man Laksa (2006) – Mamat Khalid
Tiap kali filem ini dimainkan di tv, mesti saya terlekat, paling tak pun seketika. Jika Kaki Bakar bermain dengan alam kampung yang lebih serius, filem ini bermain dengan sisi-sisi komedi. Semua tipainduk kampung seperti village idiot, samseng kampung, tok penghulu dan lain-lain menjadi. Chah lakonan Sharifah Aleya dengan kulit putih, bertocang, di dunia nyata ini saya akui ciri-ciri sedemikian memang menjadi kegilaan pemuda-pemuda kampung lantas menjadi gadis pujaan ramai. Mengingatkan saat waktu berhingus, ini melucukan.

Rebels of the Neon God (1993) – Tsai Ming-liang
Kesannya dalam terhadap diri saya, kalau boleh nak buat filem macam ni. Lucunya filem ini direkomen abang penjual DVD tingkat atas Armcorp Mall.

Seman (1986) – Mansor Puteh
Tak pernah saya duga filem ini akan membawa saya sampai ke negeri matahari terbit. Tak pernah juga saya menonton filem Melayu atau Malaysia moden (pasca-studio) sebebas ini.

Tiga Abdul (1964) - P. Ramlee 
Ada dua faktor yang membuatkan filem ini menarik. Pertama ceritanya, kedua penceritanya. Dalam filem ini, penceritanya S. Shamsuddin belum apa-apa lagi sudah berdekah-dekah lawak. Tu belum apa-apa lagi tu.

Wasurenagusa – Yasmin Ahmad 
Tidak pernah dalam hidup saya membaca skrip atau lakonlayar sampai habis. Ini kerana sifat skrip itu sendiri yang skema dan membosankan. Tetapi untuk filem ini, ianya begitu memudahkan. Rupanya yang sah puisi dengan typeface Garamond, santak tengah, sekelip mata habis dibaca tanpa disedari. Membaca skrip tidak pernah seseronok ini.


Ridhwan Saidi
P/s: Belum tengok lagi Amok, Jimi Asmara, Sayang Salmah, Johnny Bikin Filem dan banyak lagi filem-filem Melayu atau Malaysia yang menarik. Kepada mereka yang merasakan hanya filem-filem Yasmin sebagai menarik (dalam negara ini), tolong explore lagi. Tenkiu. Oh! Btw entri ini adalah respon kepada 10 filem pilihan orang lain yang mana 4 daripadanya filem Yasmin. Mengelat betul.

Sabtu, Disember 04, 2010

3 Kesilapan Utama Menilai Filem

“Filem yang baik mesti bermesej”
Ada pepatah mengatakan, ‘kalau nak beri mesej tak payah buat filem, sebaliknya pergi ke pejabat pos.’ Cuma, dengan dunia serba canggih masakini tak perlu ke pejabat pos pun, kalau nak beri mesej gunakan SMS, Twitter dan seumpamanya. Tak perlu bebankan diri buat filem.

Ini penting, sangat penting kerana sesiapa yang berfikiran begini sebenarnya sudah terpesong daripada erti sinema. Sinema tidak beri apa-apa mesej, yang beri mesej adalah iklan (sinema cuma mengusulkan fikirasa.) Ada beza diantara iklan dan sinema, ianya tak ubah seperti membandingkan papan iklan Nescafe dengan catan Basquiat.

Oleh itu saya menyeru mereka yang meminati filem agar tahu, kenal dan faham sinema itu dulu. Untuk faham kena kenal, untuk kenal kena tahu. Kenali yang mana sinema dan yang mana iklan 90 minit. Kalau tak tahu cari orang yang faham, terus belajar dan belajar.

Bagi mereka yang membikin pula, ini baru tauhid. Dalam waktu yang sama, cara-cara pembuatannya (fikah) terutamanya suntingan, juga harus difahami. Suntingan ini amat penting kerana ia satu-satunya keistimewaan sinema. Dengan fotografi, sinematografi secara semulajadinya dipermudahkan. Dengan seni halus, mise-en-scene secara semulajadinya dipermudahkan. Dengan muzik, bunyi secara semulajadinya dipermudahkan. Maka setelah itu barulah proses pemurnian dilakukan.

“Filem mesti bermoral dan berbudaya”
Moral ditentukan oleh diri kita sendiri. Maka dengan itu kesepakatan umum untuk menentukan samada sesebuah filem itu bermoral atau tidak, tidak boleh dicapai. Filem sebagai filem tiada kena mengena dengan moral.

Budaya yang ditonjolkan di dalam filem pula tidak sepatutnya disamakan dengan budaya dunia yang dihabitat kita ini. Budaya yang wujud di dalam filem adalah budaya yang dikonstruk, ini sama kesnya dengan ‘drama realisme’ yang sebenarnya adalah realiti yang dikonstruk. Realiti yang dikonstruk dan realiti sebenar tidak sama.

Realiti yang dikonstruk menggunakan cahaya dan bayang ini boleh diibaratkan seperti mimpi. Kita tidak berkebolehan untuk masuk ke dalam dunia mimpi/filem itu, dan kita juga tiada daya dan upaya untuk mengubahnya (kecuali pengarah atau err produser). Ada yang mengatakan bahawa mimpi ini datang dari alam bawah sedar, lubuk kereptiliaan manusia, dan seumpamanya. Sebagai contoh, kamu bermimpi kamu sedang berlari dalam keadaan berbogel mengelak daripada dipatuk oleh seekor ular tedung gergasi. Sekarang, adakah mimpi kamu itu dianggap sebagai tidak bermoral atau tidak berbudaya?

Jika jawapannya ya, siapa yang akan kamu pertanggungjawabkan? Tuhan?!

“Filem mesti logik”
Bagi saya kalau nak logik tak payah tengok filem. Hidup di duniawi ini selogik-logiknya. Sesebuah filem tidak harus terikat dengan logik akal kerana logik juga dikonstruk (menggunakan akal) di dalam filem. Bagi saya yang lebih penting adalah keberkesanan pembawaan sesebuah filem itu.

Sebuah filem drama, period, historical atau berhaluan realisme sebaiknya logik dengan kontex (sejarah) dunia nyata. Ini ada benarnya, tetapi kadang-kala sentuhan artistik dari segi mise-en-scene yang dilakukan oleh Zhang Yimou dalam filem CURSE OF THE GOLDEN FLOWER (2006) ataupun muzik new wave yang disuntik Sofia Coppola dalam MARIE ANTOINETTE (2006) tidak ada salahnya selagi ia berkesan. Jangan pula satu hari nanti kamu terkejut andaikata tertonton babak Megat Sri Rama dan Dang Anum sedang bercinta diiringi muzik kugiran Carburetor Dung. Kenapa perlu gusar dengan sesuatu yang asing? Bak kata fixter, chillax*!


Ridhwan Saidi
* chill + relax

Khamis, Disember 02, 2010

Mencari Kegilaan Dalam Filem Pendek

Manusia moden sebagai individu hakikatnya hidup terselit di tengah dunia yang semakin tak ramah. Jadi untuk lolos dari hakikat ini, manusia wajib terus bergerak kehadapan dengan penuh keyakinan dan harapan. Model manusia masa depan ialah manusia yang sudah memupuskan garis pemisah antara individu dan kolektif. Persoalan yang timbul, bagaimana garis pemisah antara kedua ini, individu dan kolektif, dipupuskan? Apakah ia masuk dek akal? Lalu diceduk satu kata-kata manis penuh imbuhan dari Oscar Wilde, “only through the vision gained in works of art can the individual see beyond his or her subjective experience.”

Namun dengan segala macam bentuk orde Negara, individu tetap saja dituntut agar struggle menerima apa adanya dengan rutin hidup seharian. Ia lelah yang panjang. Kolektif pula diserkup dengan gebar ketakutan agar fikiran dan emosinya dikongkong, diacu, diseragam-hitamkan seterusnya dituntut agar jangan bangkit melawan. Akhirnya baik individu mahupun kolektif, tewas. Ramai manusia akhirnya terus-terusan jadi orang yang kosong melopong.

Kita semua barangkali tahu akan satu hakikat: kepincangan, ketidak-aturan, kecelakaan, kecacatan, kelemahan, kesakitan dalam tubuh badan Negara itu satu ‘rahmat’ bagi seniman. Banyak isu tergantung tak bertali yang memerlukan satu terjahan melalui seni, yang boleh diangkat, diterjemah, dicerna, untuk ditembus-pandang sisi subjektifnya, meminjam kata Wilde tadi, untuk direnung bersama, baik isu politik, ekonomi, agama, budaya, seksualiti, psikologi, dll. Seharusnya yang memiliki idea, ilmu, kemahiran dan kudrat melihat ini sebagai peluang mencuba, meneroka dan menghasilkan sesuatu.

Namun perlu juga bersikap awas, setiap yang dilakukan itu seharusnya berpandu pada daya intelek, selain perasaan yang luhur. Bukan main buat saja. Mula-mula, dimaafkan, main buat itu. Tapi sampai bila? Jadi kena belajar, dan belajar, walaupun agak leceh, sambil membuat itu, baru molek hasilnya. Ini kerana penyakitnya, jika boleh disifatkan sebegitu, ramai yang boleh bertindak, tapi malang pemikirannya semacam tertinggal (atau ditinggalkan?) ke belakang. Daya tindak dan intelek itu tak seiring dan sejalan, itu penyakit. Pemikiran yang baik menghasilkan hasil tindakan baik. Bertindak di luar lingkaran setan establishment hanya masuk akal dilakukan bertitik tolak dari berfikir di luar batas itu juga. Sebaliknya jika filem pendek yang dibuat itu cuba menempatkan diri ke ruang establishment, demi diterima menjadi ‘sebahagian,’ saya rasa ia satu kerugian yang amat.

Jadi melihat pada potensi yang ada dari penghasilan filem-filem pendek, saya percaya audien seharusnya diberi peluang dan pilihan melihat kepelbagaian naratif dari segi teknik penceritaan dan juga isi naratifnya. Peluang ini harus diambil sebagai satu sarana perubahan sosial yang melihat keupayaan filem pendek mengacau atau sekurang-kurangnya mengejek hagemoni kekuasaan Negara. Begitu juga idea-idea kehidupan yang bosan dan tua yang disaran oleh mekanisme kekuasaan, termasuk juga sebahagian kelompok masyarakat yang diikat fikirasa-nya itu harus ditemplak, dan gantikannya dengan idea-idea segar dan ranum. Ini satu agenda mulia mengoyak tirai tirani diserabuti dogma yang semakin lapuk.

Justeru tanpa keraguan, saya sangat percaya dalam Negara bertuah ini, banyak kesah yang berbaloi untuk difilemkan, yang mampu menjentik kesedaraan sosial, walau hanya menerusi persembahan filem pendek. Dan bila naratif itu cuba diangkat, angkatlah dengan bersungguh-sungguh, bukan sekadar main ‘cucuk-cucuk.’ Saya cukup ikhlas, bercakap dari sisi pemerhati sekali gus peminat.

Disebabkan itu, bila ditanya, apa ada dengan filem pendek? Maka katakanlah, yang ada ialah ‘kegilaan.’ Ini kerana mencari kesempurnaan dalam sesebuah filem pendek bukanlah sesuatu yang menarik, saya kira. Kita sebaiknya merayakan semua sekali, termasuk jua yang ada kekurangan dari genre yang pelbagai warna dan perisa. Bila menonton filem pendek juga, marilah kita mencari nikmat yang tiada didapatkan di format filem panjang. Dialog yang menarik, suntingan yang unik, gambar yang cantik, pelakon yang berbakat, arahan yang artistik, segalanya, asal cuba lari dari idea-idea klise filem panjang. Inilah medannya untuk cuba menggarap apa yang mustahil atau sukar digarap di atas kanvas filem panjang. Atas dasar paduan ruang dan waktu juga, marilah kita tetapkan iman untuk mempercayai bahawa sa-nya filem pendek yang baik tidak wajar berhalkum dewasa.

Dan alangkah elok, andai filem pendek yang diberahikan itu lakunya persis anak-anak kecil yang penuh kenakalan, keberanian, keanjingan, juga kekeliruan kalau ada, yang sedang berlari-lari liar menuju taman kedewasaan. Sesuatu yang menghairahkan bila melihat sebuah filem pendek itu gila merentas segala batasan ‘normal’ seperti letusan ultra volkanik merah saga apinya, yang sentiasa bergelora menggeletek fikirasa.

Lepas dari segala karut-marut yang saya katakan tadi, ya, apa lagi makna ‘melakukan sesuatu’ itu andai tidak dilakukan atas nama meraikan sebuah kehidupan?


Mohd Ikhwan Abu Bakar

Isnin, November 29, 2010

Monolog Seorang Sinematikus

Aku tak paham dengan diorang ni... Kau tengok la, ada ke patut diorang nilai filem ni bagus ke tidak dengan sekadar melihat samada filem tu 'Malaysia' atau tak? Maksud aku, kalau filem tu cukup rempah-ratus 'Malaysia'-nya, maka filem tu confirm jadi sebuah filem yang baik. Sebagai contoh, apa pendapat anda mengenai filem ________ (Isikan tempat kosong: 1. Estet, 2. Appalam, 3. The Joshua Tapes 4. Crayon)? "Kira okay la, ada feel Malaysia, ada Cina, ada Melayu, ada India, ada semangat muhibah dan toleransi, kira 1Malaysia la filem tu, not bad." Ini penilaian seorang fasis, bila kau tengok filem, kau cari sinema; dan sinema ini don't give a fuck tentang Malaysia atau tak, Iran atau tak, Perancis atau tak, Amerika atau tak, Jepun atau tak, Melayu atau tak. For we are, the citizen of the world.


Ridhwan Saidi
P/s: Tenung dinding kosong lagi mendebarkan.

Sabtu, November 27, 2010

Kitab Bin Filem: Sinema (Hardcover) Re-issue


RM 20 (by donation), by hand. 10 keping sahaja. Hubungi binfilem at gmail dot com untuk mengetahui cara-cara mendapatkannya. Terima kasih.

Ada beberapa keping di sini: Pustaka Semesta


Ridhwan Saidi
P/s: 'By donation' dalam kurungan itu maknanya kalau nak kasi lebih pun boleh, untuk dijadikan modal ASCK.
P/s/s: Handcover itu terjadi secara tak sengaja, kertas kulit lama sudah out of stock.

Khamis, November 25, 2010

Plot Idea Rasa

Pada ketika ini, saya sudah tidak lagi bernafsu bersembang mengenai film studies atau film criticism atau gosip-gosip akademia yang berada di luar konteks pembikinan filem. Kini saya lebih syok berceloteh mengenai hal-hal pendekatan atau proses pembikinan sesebuah filem itu sendiri (malah menyentuh juga bagaimana seseorang blogger atau pengulas itu mengulas sesebuah filem – tetapi ini saya tidak kesahkan sangat kerana saya percaya kita sudah mempunyai beberapa orang pengulas yang baik; akan tetapi hal ini bertentangan bagi mereka yang membikin).

Essentially, bagaimana seseorang pembikin, pengarah, sutradara, filmmaker, realisateur, metteur en scene, atau apa-apa yang kamu mahu guna, bermain dengan 3 hierarki domain:
1. Plot
2. Idea
3. Rasa
Plot adalah domain pertama dimana hampir kesemua daripada kamu tersekat lalu tinggal selesa di dalamnya. Apa yang dulu dan apa yang kemudian disusun secara sistematik (kalau anti-sistem pun harus berteraskan sistem bukan?). Fungsi penyusunan plot ini bagi saya tidak lain dan tidak bukan adalah teknik dalam menyampaikan sesebuah cerita. Selain itu plot ini juga digunakan untuk pembikin bermain dengan 'jangkaan' penonton berlandaskan durasi (3 act structure adalah sistem yang paling harmoni tetapi masih lagi terkial-kial disempurnakan oleh kebanyakan pembikin filem kita). Antara kata kunci yang digunakan oleh pembikin/pengulas yang bermain di dalam domain plot ini adalah seperti predictable, klise, efektif, logik, flat, unrealistic, pacing, original bla bla bla.

Idea pula letaknya lebih dalam daripada plot. Domain idea ini bagi saya bermain dengan sisi-sisi intelek dan rasional—berfikir dengan akal; yang plot tadi pun kena fikir juga, tetapi bila beridea kamu perlu lebih kritikal bermain dengan makna, erti dan maksud. Ini secara tidak langsung akan memberikan nilai kepada werk kamu yang pada mulanya lompong hanya sekadar bermain dengan permukaan plot tadi. Tidak lagi bermain dengan persoalan ‘bagaimana’ kini seseorang pembikin/pengulas itu bermain dengan persoalan ‘apa’. Jika di domain plot tadi seseorang pembikin/pengulas itu mahu menggunakan teknik bokeh dengan wajah hero dalam fokus di depan tetapi latarnya kabur dengan menggunakan lensa 50mm; bagi seorang pembikin yang bermain dengan domain idea pula, teknik bokeh ini digunakan kerana hal ini menggambarkan perasaan dalaman watak hero itu yang (kononnya) sedang berada di dalam kekaburan. Setiap tindakan diberikan makna, setiap objek dan subjek yang wujud di dalam bingkai diberikan makna, segalanya diberikan makna.

Rasa pula letaknya lebih dalam daripada idea. Domain rasa ini bagi saya bukan sekadar emosi – emosi ini perasaan yang dizahirkan – tetapi lebih bersifat intuisi. Hal ini boleh berlaku pada kedua-dua praxis pembikin dan penonton. Untuk mencapai rasa ini, ia sesuatu yang tidak boleh difikirkan dengan rasional dan logik akal. Boleh digambarkan, jika sebuah prosa (sebenar) itu bermain dengan domain idea, sebuah puisi (sebenar) pula bermain dengan domain rasa; (prosa dan puisi olok-olok bermain di dalam domain plot kerana ia sekadar permainan teknik semata-mata). Jika akal itu menyerap, rasa ini mengalir – berfundamentalkan tauhid, pasti. Pabila saya menyatakan bahawa domain rasa ini berada pada tahap tertinggi, jangan pula kamu (terutama yang menulis sajak atau puisi pantas pendek) perasan. Kebolehan untuk rasa ini perlu ditelusuri secara berperingkat disertai usaha; jika adapun yang istimewa diberkati laduni, itu lain cerita.

Tidak mustahil juga bagi sesebuah filem itu menguasai ketiga-tiga domain plot, idea dan rasa. Sebagai contoh, All About My Mother (1999) oleh Pedro Almodovar bagi saya plotnya A+, ideanya A dan rasanya A+.

*****

Di sini ingin saya ‘ulas’ dua blog yang bermain dengan ketiga-tiga domain ini iaitu That Movie Blogger Fella (TMBF) dan Tonton Filem. (Asalnya saya berniat ingin mengulas kesemua blog filem yang ada di alam blogosfera ini, tetapi well—malas).

TMBF bermain diantara plot dan idea disertai humor Melayu Muslim-nya. Ini penting kerana jika kamu perasan, hampir kesemua pengulas filem tidak kira samada di blog mahupun di surat khabar yang berceloteh mengenai plot hanya tersekat pada tahap itu sahaja. TMBF melangkaui sempadan itu dengan mewacanakan idea serta dalam masa yang sama berkongsi teknik-teknik membikin filem seperti suntingan Gilligan, lol. Stay true kepada genre, TMBF melayan hampir kesemua filem-filem yang masuk panggung. Secara peribadi, saya seronok membaca ulasan-ulasan filem (terutamanya Melayu) dengan rating 2 bintang ke bawah. Kalau 3 bintang ke atas saya lebih seronok membaca kupasan blog seterusnya, Tonton Filem.

Tonton Filem bermain diantara idea dan rasa. Jika pengulas lain sekadar filmster, mamat ini cineaste. Ini bukan puji suka-suka kerana kami pernah makan KFC bersama, tetapi seorang cineaste mamahami apa itu ‘sinema’ dan Tonton Filem tahu. Ulasannya kencang kritikal menelusuri daerah-daerah terpendam malah paling menarik, Tonton Filem juga mempunyai kebolehan merenung potensi seseorang pembikin/sesebuah filem itu. Walaupun gaya penulisannya kadang-kala kering, well yang basah-basah itu saya sentiasa ada Roman Kodian ataupun Bin Filem.


Ridhwan Saidi

Selasa, November 23, 2010

Monolog Seorang Hijabster

Hijabster luar cermin: Ni apa, shawl ke tudung? Cantik la you pakai.

Hijabster dalam cermin: I pun tak pasti, hari tu I ada cuba ikut video Hana Tajima, tapi I lilit-lilit tak jadi. So ni I main lilit je ni, okay ke?

Hijabster luar cermin: Okay apa, lain daripada yang lain.

Hijabster dalam cermin: You pun apa kurangnya ;-)

"We ain't no hijabsters" - Hana Makhmalbaf & Bakhtay Noroozali


Ridhwan Saidi

Isnin, November 22, 2010

Fixie-Gear Bike

Tajuk sengaja ditulis sedemikian, pun intended. Seorang hipster – baik fixter, filmster mahupun hijabster (bear in mind, tiada hipster yang mengaku dirinya hipster, kecuali jikalau mereka ada kesedaran ironi) – dirinya akan sentiasa dibelenggu ketidakyakinan. For example, seorang fixie rider akan menganggap sesiapa yang menggunakan istilah ‘fixie’ (seperti yang baru saya gunakan) sebagai seorang newbie, budak baru, noob etc. Basically ini semua B.S. Apabila ada ‘budak baru’ bermakna ada ‘budak lama’ yang kononnya sudah merasa garam terlebih dahulu, koya-pioneer. Menariknya apabila kita lihat ia secara menyeluruh, tindakan melabel sesiapa yang menggunakan istilah ‘fixie’ ini sebagai noob (second-class), menyerlahkan insecurity jemaah yang lebih ‘pro’ itu. Ini kerana mereka yang tidak yakin dengan diri mereka (rujuk pathetic) sahaja akan downgrade orang lain. Wacana intelektual ini sengaja saya ketengahkan kerana ada suatu perkara yang menarik berlaku di alam blogosfera ini. 2009 saya cuba mock blog Aku Tak Peduli melalui Gua Tak Peduli (ianya blog syok sendiri mengasah skil menulis). 2010 encik Melayu Minimalis meninggalkan komen berunsur nasihat pada salah satu esei tersebut, “dan ingat, hanya noobs yang memanggil fixed gear bikes sebagai fixie.” Baiklah abang pro!


Ridhwan Saidi